Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Ketujuh Belas)
Ajikik ialah antara cerpenis Malaysia yang tidak dibaca lagi sekarang (termasuk Razak Mamat dan Abdullah Tahir). Cerpenis kelahiran Melaka ini juga seorang penterjemah penting pada zamannya. Saya masih ada novel Fitzgerald, kumpulan cerpen James Joyce, dan puisi-puisi Sanskrit yang pernah diterjemahkan oleh Ajikik. Sahabat baik saya Anas Mohd (juga orang Melaka) pernah melawat ke rumah Ajikik ketika lewat usianya, dan Ajikik dikatakan mempunyai perpustakaan yang kaya. Tetapi menurut Anas, selepas Ajikik meninggal dunia, buku-buku di perpustakaan itu telah dibeli secara pukal oleh seorang pemilik toko buku bekas yang selfish dari Kuala Lumpur.
Kerugian besar, menurut saya, kerana kehilangan koleksi buku peribadi seorang penulis ialah ibarat kehilangan sebahagian daripada sejarah silamnya. Ia juga akan menyukarkan pada masa depan sarjana (kalau ada) yang ingin mengkaji karya dan kehidupan Ajikik.
Kesedaran kita tentang pentingnya dokumentasi bahan sastera masih terbatas, lebih-lebih lagi pada era digitial di mana semua maklumat dicari dan disimpan di atas talian. Kemudahan teknologi seperti Google Drive dan Cloud sepatutnya dimanfaatkan agar khazanah perpustakaan seorang penulis tidak lenyap begitu sahaja.
Ini mengingatkan saya kepada tulisan A. Wahab Ali dalam bukunya Kritikan Estetik Sastera yang mengingatkan pentingnya dokumentasi kepada mana-mana calon pengkritik. Bukan pengkritik sahaja sebenarnya, mengumupul bahan dan menyimpannya sebagai dokumentasi adalah tanggung jawab yang patut dipukul oleh semua pihak, penulis dan pembaca.
Jadi, sementara kita ada banyak masa di rumah, apa kata kita susun kembali buku dan kertas di dalam perpustakaan peribadi masing-masing. Kalau bukan untuk kita, ia adalah untuk generasi seterusnya.
* * *
15. DOKUMENTASI DAN PERPUSTAKAAN, A. Wahab Ali
Membina perpustakaan dan pusat dokumentasi sendiri merupakan satu tuntutan wajib bagi seorang calon pengkritik dan pengkritik. Perpustakaan dan dokumentasi ini perlu sebab sebagai seorang pengkritik kita selalu merujuk buku-buku, potongan akhbar, majalah, dan sebagainya. Oleh itu kita perlu ada perpustakaan peribadi. Perpustakaan ini menjadi bertambah penting lagi apabila jadual waktu kita menulis tidak menentu.
Perlu ditegaskan di sini bahawa apabila disebut perpustakaan peribadi, janganlah pula dianggap membina satu gedung. Perpustakaan itu boleh dibuat di sudut rumah. Adakah almari supaya bahan-bahan bacaan kita tersusun baik dan senang dirujuk. Kalau tidak disusun dengan sistematis sukar bagi kita untuk mencari bahan yang hendak kita gunakan dengan segera, sebab kita tidak pasti di mana tersimpannya bahan-bahan yang sesuai yang hendak digunakan. Sebaliknya kalau tersusun dengan baik, dalam beberapa saat sahaja kita boleh menemui bahan yang hendak kita gunakan itu. Susun buku-buku kita mengikut jenis kritikan, jenis majalah ataupun nama pengarang dan sebagainya. Beli buku panduan perpustakaan. Di situ ada ditunjukkan cara mengindeks, menyusun dan merujuk buku untuk perpustakaan.
Untuk mengadakan perpustakaan peribadi, terlebih dulu kita perlulah mempunyai hobi sukakan buku dan membeli buku. Kita bole merujuk buku sepanjang masa. Memanglah hobi membeli buku ini merupakan hobi yang amat mahal, berbandin dengan bayaran tulisan kritikan yang akan diterima. Satu lagi, dunia kritikan sastera Melayu itu terlalu kecil. Penghargaan orang kurang. Bayaran untuk tulisan kritikan amat murah. Aneh dunia sastera Melayu; kita mahu orang lain menghargai hasil sastera kita, justeru penghargaan orang terhadap sastera kita kita itu adanya pengkritik. Pengkritik yang mendakyahkan sastera kita itu.
Sastera Indonesia tidak akan terkenal jika tidak ada pengkritik dan pengkaji sastera. Adanya para pengkritik seperti H. B. Jassin, maka kesusasteraan Indonesia itu terkenal. Adanya pengkaji seperti A. Teeuw maka tersebarnya lagi kesusasteraan Indonesia itu ke seluruh dunia, sebab sastera Indonesia itu diperkatakan, diperbincangkan di bilik-bilik kuliah, di bilik-bilik seminar dan di lembar-lembar jurnal dan buku. Di samping membina perpustakaan, sebagai pengkritik kita juga perlu membina dokumentasi kita sendiri.
Membina dokumentasi ini memerlukan disiplin seperti juga halnya dengan disiplin menulis. Ertinya kita membinanya dengan berterusan. Kita menggunting tulisan-tulisan yang tersiar dalam akhbar kerana kebanyakan karya seperti puisi, cerpen dan kritikan serta maklumat sastera Melayu kita tersiar dalam akhbar.
Setelah digunting bahan-bahan pembicaraan sastera yang berkenaan, kita cari pula buku-buku tulis yang sudah digunakan. Umpamanya buku rampaian anak-anak sekolah. Kita tampalkan potongan-potongana akhbar itu pada halaman-halaman buku yang berkenaan. Dengan itu kita tidak payah mengeluarkan wang untuk membeli buku-buku tersebut.
Tampalkan bahan-bahan yang dipotong itu secara sistematis. Misalnya satu buku untuk sajak Berita Minggu, sajak-sajak yang tersiar dalam Mingguan Malaysia, satu buku. Demikian pula sajak Borneo Bulletin ditampalkan pada satu buku yang berasingan.
Kalau makalah atau tulisan itu dalam majalah tidak perlu digunting cuma disimpan sahaja majalah itu. Yang penting untuk majalah ini, kita membuatkan indeksnya. Indeks ini kita simpan dengan baik dan sistematis supaya senang dirujuk apabila kita memerlukan bahan-bahan bagi kepentingan tulisan kita.
Ada orang akan berkata, apa perlunya membuang masa membuat dokumentasi sendiri, membuat dokumentasi itu rumit dan cerewet; kita ada Dewan Bahasa dan Pustaka yang mempunyai dokumentasi yang lengkap. Pergi sahaja ke sana untuk membuat penyelidikan. Hujah itu ada benarnya, dan memang mustahil dokumentasi yang kita buat sendiri itu lengkap apalagi sempurna, dan memanglah kena kita kena pergi ke perpustakaan-perpustakaan, tetapi ada masanya kita memerlukan bahan dokumentasi itu dengan segera. Jika kita ke Dewan Bahasa dan Pustaka atau ke perpustakaan kita memerlukan masa, memerlukan waktu dan memerlukan keizinan.
Boleh jadi bahan yang kita perlukan sangat sedikit, dan belum tentu ada pula bahan yang kita mahukan itu telah tersedia di perpustakaan. Kerjanya berperaturan dan berperingkat-peringkat. Oleh itu, kalau ada dokumentasi sendiri tentu lebih baik.
Dalam hal dokumentasi ini, H. B. Jasin merupakan contoh yang terbaik dan terdekat dengan kita. Beliau mempunyai dokumentasi yang lengkap. Sarjana dan orang perseorangan dari seluruh dunia yang hendak mengkaji sastera Indonesia berkunjung atau menghubungi Pusat Dokumentasi Jassin. Pusat Dokumentasi ini akhirnya mendapat bantuan daripada pemerintah, diberikan satu ruangan untuk pengguna dokumentasi itu dan ruang yang lengkap untuk menyimpan bahan-bahan tersebut bagi memudahkan orang ramai menggunakannya. Apabila H. B. Jassin meninggal dunia nanti, dokumentasinya itu akan menjadi harta budaya bangsa Indonesia yang amat bernilai. Begitu juga apabila kita mati nanti, dokumentasi kita itu akan menjadi harta pusaka, diserahkan atau wasiatkan bagi diserahkan kepada negara. Bahan-bahan itu akan dimasukkan dalam arkib atau perpustakaan lain. Dengan cara ini barulah khazanah budaya kita abadi. Barat menjadi kaya dengan khazanah ilmu dan budaya kerana adanya usahan dokumentasi yang sedemikian rupa. Apabila mereka mati atau harta itu diserahkan sebagai derma bakti mereka kepada bangsanya.
Comments