Adaptasi Cerpen Chekhov Ke Filem


Adakah cerpen-cerpen Anton Chekhov sesuai diadaptasikan ke filem? Kalau drama-drama Shakespeare boleh, kenapa tidak cerpen Chekhov? Namun, hakikatnya kita jarang menemui cerpen Chekhov muncul di layar sinema. Padahal dunia Chekhov sangat sesuai dengan perfileman Merchant Ivory, sebagai contoh, yang kita tahu sering mengadaptasi karya klasik abad kesembilan belas. Adakah faktor bahasa? Mungkin. Justeru, apabila saya menemui adaptasi cerpen terkenal Chekhov "The Lady with the Dog" oleh pembikin filem Rusia sendiri, maka saya tidak melepaskan peluang untuk menontonnya. 

Saya tidak akan mengupas secara terperinci cerpen ini. Hasrat saya ialah untuk membuat bandingan di antara cerpen Chekhov dan versi filem yang dikeluarkan pada tahun 1960 (diarahkan oleh Iosif Kheifits). Saya akan juga akan membataskan perbincangan kepada bahagian awal di Yalta. Chekhov menulis cerpennya pada tahun 1899. Ia mengisahkan hubungan sulit seorang lelaki bernama Gurov yang menemui seorang perempuan cantik bersiar-siar di persisiran pantai Yalta. Macam Langkawi barangkali Yalta ini untuk orang Rusia zaman itu. Seperti Gurov, Anna Sergeyevna datang ke Yalta untuk melarikan diri daripada kebosanan hidup berumah tangga.


Pertama, kita lihat versi filem. Kekuatan utamanya ialah kesan visual dan bunyi.  Suasana pekan itu terasa benar-benar hidup dengan cuaca panas, deru anginnya yang kencang, kapal-kapal yang keluar masuk ke pelabuhan. Gurov dilakonkan oleh Aleksey Batalov, sementara Anna dilakonkan oleh Iya Savvina. Masing-masing membawa watak mereka dengan baik, terutama sekali Iyya Savvina yang menggambarkan kerapuhan emosi Anna melalui ekspresi muka dan lontaran suara garau yang halus. 

    

Filem ini juga setia pada sumber asal dengan memfokuskan naratif melalui sudut pandang Gurov. Namun apa yang membuat watak-watak Chekhov menarik bukanlah sangat apa mereka lakukan, tetapi suara dalaman dan pandangan hidup mereka. Tanpa monolog Gurov, filem ini kehilangan makna dan konteks kenapa pengalaman sekejap di Yalta itu sangat penting kepadanya selepas dia pulang ke Moscow (dan berpisah dengan Anna). Kita ambil contoh monolog ini ketika Gurov dan Anna sedang duduk berduaan di lereng bukit menghadap laut yang terbentang luas (terjemahan oleh Constance Garnett): 

"Not a leaf stirred, the grasshopper chirruped, and the peace, of the eternal sleep lying in wait for us all. The sea had roared like this long before there was any Yalta or Oreanda, it was roaring now, and it would go on roaring, just as indifferently and hollowly, when we had passed away. And it may be that in this continuity, this utter indifference to the life and death of each of us lies hidden the pledge of our eternal salvation, of the continuous movement of life on earth, of the continuous movement toward perfection."

Memori, usia, kesementaraan cinta dan keberadaan kita di atas dunia. Chekhov tidaklah mencampakkan secara langsung segala idea ini ke muka kita. Tetapi apabila kita meletakkan setiap imej, dan setiap renungan dalaman Gurov, sebelah-menyebelah, maka kita akan nampak ke arah manakah cerpen ini ingin membawa kita. Ini tidak berlaku dalam versi filem; kita hanya melihat di permukaan hubungan cinta Gurov dan Anna. 

Saya harus memuji percubaan pengarah filem ini untuk memberi sentuhan mistik kepada babak ketika Gurov dan Anna sedang bersiar-siar sekitar Oreanda berhampiran Yalta. Kamera menunjukkan bukit dan pecahan mentari di celah awan. Malah ada satu babak menunjukkan seorang Muslim sedang bersolat di tepi bukit. Tetapi malangnya unsur rohaniah ini tidak dibawa ke seluruh filem. Pengarah terlalu setia pada plot cerpen asal sehingga dia tidak menawarkan apa-apa sudut pandang baharu kepada tulisan Chekhov. 

     
Satu lagi perbezaan paling ketara di antara filem dan cerpen Chekhov ialah unsur detail. Dalam fiksyen, detail adalah nyawa kepada sebuah cerita. Tanpa detail, sebuah cerita hanya susunan babak dan aksi; ia tidak ada kaitan dengan kehidupan harian kita. Detail seperti ini: "A solitary fishing-boat tossed on the waves, its lamp blinking sleepily." Atau babak paling terkenal iaitu ketika Gurov memotong sehiris tembikai selepas berselingkuh dengan Anna. Dalam filem pun ada detail ini, tetapi kenapa impaknya tidak terasa? Ini kerana dalam filem tembikai itu hanya kelihatan seperti props. Sementara ketika kita membaca cerpen Chekhov, kita harus membayangkan tembikai tersebut; ia menjadi bahagian daripada imaginasi kita. Malah ia bertambah real kerana kita tidak sangka detail ini akan tiba-tiba muncul dalam babak selepas perselingkuhan.


Dunia Chekhov ialah dunia di mana manusia sentiasa terperangkap mendengar suara dalam fikiran mereka sendiri. Apa yang mereka dengar? Mungkin cinta; mungkin harta; mungkin usia; mungkin waktu; mungkin kematian. Justeru, mereka memerlukan seorang pendengar untuk melepaskan segala kegelisahan dalam diri mereka. Kalau cerpen, pendengar itu ialah pembaca. Kalau filem... kita belum tahu kerana kita masih menanti adaptasi yang benar-benar mendengar suara kepengarangan Anton Chekhov. 

Comments

Popular Posts