Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Kedua Puluh Lima)


Saya ingat nak tulis esei hari ini, tetapi saya sekarang terlalu kenyang untuk angkat pen. Oleh itu, saya serahkan pentas kepada Encik Christopher Morley (1890-1957) dengan esei klasiknya Tentang Menjadi Malas. 

Christopher Morley ialah pengarang esei, novelis, wartawan, dan penyair kelahiran Amerika Syarikat. 

* * *



TENTANG MENJADI MALAS, Christopher Morley

Hari ini kita bercadang untuk karang esei tentang Kemalasan, tetapi kita terlalu malas untuk melakukannya. 

Perkara yang dari tadi bermain di fikiran kita pasti dapat disampaikan dengan yakin. Kita ingin ketengahkan idea bahawa kemalasan patut lebih dihargai dalam perhubungan di antara manusia. 

Kita sedar apabila kita ditimpa masalah, puncanya ialah kita belum cukup malas. Malangnya kita lahir dengan sejumlah tenaga dalam diri kita. Selama bertahun-tahun kita berhempas-pulas bekerja, dan apa kita dapat akhirnya hanya sengsara. Justeru kita akan berusaha selepas ini untuk menjadi lebih santai dan tenang. Orang yang kecoh-kecoh selalunya akan diletakkan dalam jawatankuasa, dia akan diminta menyelesaikan masalah orang lain berbanding masalah dirinya. 

Orang yang secara tuntas, dan secara falsafahnya lembap ialah orang yang paling bahagia. Dunia hanya mendapat manfaat daripada orang yang bahagia. Kesimpulan ini tidak dapat dielakkan. 

Kita ingat kata-kata orang dulu bahawa dunia ini diwariskan kepada hamba yang rendah diri. Hamba paling rendah diri ialah hamba yang malas. Dia terlalu sederhana untuk percaya sebarang kata-kata atau kebisingan yang dia cetuskan mampu mempengaruhi seluruh dunia atau merumitkan lagi kewujudan manusia. 

O. Henry pernah kata kita patut dapat membezakan antara malas dan tidur yang bermaruah. Tapi itu cakap-cakap sahaja. Kemalasan sentiasa bermaruah, ia sentiasa melibatkan tidur. Maksud kita, kemalasan berfalsafah. Jenis malas yang dibina asasnya daripada analisis pengalaman. Kemalasan yang dikecapi. Kita tidak menghormati mereka yang dilahirkan malas, seperti mereka yang lahir sebagai jutawan: mereka tidak tahu menghargai kebahagiaan. Kita hanya memuji dan meraikan mereka yang telah mengukir kemalasan daripada batu-batu kehidupan yang paling keras.

Orang paling malas kita kenal - kita tidak ingin sebut nama, kerana dunia kejam ini belum sedia menerima seorang mandom sebahagian daripada komunitinya - ialah salah seorang penyair paling hebat di dalam negara kita; pengarang satira yang bersemangat; dan salah seorang pemikir tajam. Dia memulakan hidup dengan berhempas-pulas seperti kebanyakan orang. Dia sentiasa sibuk sehingga tidak punya masa untuk diri sendiri. Dia dikelilingi oleh orang yang datang minta masalah mereka diselesaikan. "Pelik betul," katanya, "tak pernah pula orang datang untuk menyelesaikan masalahnya." Akhirnya dia sedar. Dia berhenti membalas surat, dia berhenti belanja makan tengah hari kepada kawan-kawan dari luar bandar, dia berhenti meminjamkan wang kepada kawan masa universiti. Dia mula menyendiri di sebuah kafe bersama segelas bir, dan di situlah dia mengelus dunia dengan bakatnya. 

Kritikan paling tajam yang patut dikenakan ke atas orang Jerman ialah mereka tidak cukup malas. Di tengah-tengah Eropah, sebuah benua tua dan tidak bermaya, bangsa Jerman menjadi himpunan tenaga yang berbahaya. Kalau bangsa Jerman bersikap malas, dan mengamalkan gaya hidup santai dan berkecuali seperti jiran mereka, sudah terselamat dunia ini daripada masalah besar. 

Orang menghormati kemalasan. Sebaik sahaja anda dikenali dengan sikap kutu yang tegar dan tidak boleh digerakkan, maka orang akan biarkan anda dengan fikiran anda sendiri. 

Orang malas tidak menghalang kemajuan. Dia cuma melangkah ke tepi apabila kemajuan datang berlari-lari ke arahnya. Dia tidak (secara kasarnya) mencampak tanggungjawab kepada orang lain. Dia sebaliknya menunggu tanggungjawab dicampak kepadanya. Kita selalu diam-diam mencemburui rakan-rakan kita yang malas. Kini kita akan menyertai mereka. Kita telah membakar bot atau jambatan atau apa-apa benda yang dibakar di saat keputusan seperti ini diraikan.

Nampaknya mengarang tentang subjek menyeronokkan ini telah membangkitkan emosi dan semangat yang membara dalam diri kita.   


Comments

Popular Posts