Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Keenam Belas)


Dalam satu forum tidak terlalu lama dulu, saya dan Fadli Al-Akiti bertengkar bahawa permainan video juga adalah karya seni. Fadli tidak bersetuju dan dia menyandar pada pendapat heronya Roger Ebert. Saya punya argumen ialah Ebert menolak permainan video pada zaman teknologi masih terbatas kepada konsul 16-bit. Tetapi industri permainan video hari ini telah berkembang pesat dan jauh meninggalkan game bercorak platform ketika era kegemilangan Sonic dan Mario. Game hari ini mempunyai dunia tanpa batas, sistem permainan yang canggih, dan ada ketikanya mampu menawarkan naratif penceritaan yang kompleks.

Tetapi bolehkah game paling canggih bersaing dengan novel paling hebat? Boleh. Game itu ialah 80 Days. Sekejap, bukankah game ini adaptasi daripada novel klasik Jules Verne? Bukankah itu bermaksud game ini hanya subset kepada novel asal? Tidak juga. Asalkan apabila ia berpindah medium, ia boleh memperkayakan lagi pengalaman sumber asal, maka ia dengan sendirinya sudah menjadi makhluk seni yang mandiri. Lagipun, novel Jules Verne hanya mempunyai satu jalur naratif dari mula hingga hujung. Sementara game 80 Days menawarkan jalur naratif yang tidak terhingga; anda tidak akan membaca novel sama setiap kali anda mula bermain. 



80 Days menggunakan sistem interaktif di mana kita sebagai pembaca menentukan ke arah mana naratif akan bergerak. Kita memegang watak Passepartout iaitu pembantu kepada Monsiuer Phileas Fogg. Objektif kita mudah: mengelilingi dunia selama 80 hari atau kurang. Apa jalan kita akan pilih? Itu terserah pada kita. Tempat permulaan sentiasa sama, London, tetapi perjalanan kita selepas itu akan berubah-ubah dengan setiap permainan. Game ini direka oleh Jon Ingold dan Meg Jayanth daripada syarikat game Inkle. Mereka turut memasukkan game ini sistem nyawa, wang, dan bagasi Fogg. Nyawa Fogg akan dipengaruhi oleh kesukaran sesuatu perjalanan. Setakat ini saya belum pernah lagi tewas sebab Fogg mati. Wang pula digunakan untuk membeli barang, sewa hotel, dan bayar pengangkutan. 


80 Days berlangsung dalam waktu semasa di mana kelajuan perjalanan dari satu kota ke satu kota akan dipengaruhi oleh jenis pengangkutan dan jaraknya. Hampir kesemua kota besar di dunia (sedihnya, Kuala Lumpur atau Melaka tidak termasuk) boleh dikunjungi dalam game ini. Anda tidak akan sempat melawat kesemua kota dalam satu permainan kerana anda masih perlu mengejar 80 hari. Saya memuji pereka game ini dalam menulis dan merangkakan cerita yang detail untuk setiap kota. Malah apabila saya berkunjung ke kota sama untuk kali kedua atau ketiga, ceritanya tidak akan sama. Turut memikat saya ialah unsur steampunk yang dimasukkan ke dalam dunia game ini. Anda akan menemui kereta api yang boleh menyelam ke dalam air, kapal belon, kereta kuasa wap, dan kota yang boleh berjalan!

80 Days ialah fiksyen interaktif terbaik saya pernah baca (dan main). Di samping mengekekalkan ciri-ciri konvensional sebuah buku (kita masih perlu membaca teks), ia berjaya menggabungkannya dengan sistem permainan yang ringkas dan menyeronokkan. Adakah 80 Days sebuah novel sama seperti Around the World in Eighty Days? Kalau kita faham novel sebagai suatu karya yang menawarkan pengalaman penceritaan yang baharu, maka ya, 80 Days ialah sebuah novel, dan lebih daripada itu.

80 Days boleh dimainkan melalui platform iOS, Android, dan Window. 

Comments

Popular Posts