Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Kedua Puluh Tiga)


Larut dalam perasaan. Saya yakin semenjak dua minggu ini, kita lebih mudah termenung; fikiran kita lebih mudah melayang ke merata tempat. Di tempat kerja ia jarang berlaku kerana fikiran kita sibuk fokus pada tugasan. Tetapi di rumah, kita mempunyai banyak masa untuk berfikir dan merenung. Adakah sebab itu novel pada abad kesembilan belas di Eropah tebal-tebal belaka? Pengarang zaman itu mempunyai lebih banyak masa dan lebih dekat dengan alam, berbanding hidup kita hari ini. Pengarang seperti Ralph Waldo Emerson mengerti apa yang dikatakan sebagai pengalaman transendental.

Bunyi macam benda berat, tetapi sebenarnya hampir semua orang pernah mengalami suatu pengalaman rohaniah atau transendental. Solat ialah contoh paling mudah. Lima kali sehari, selama beberapa minit, kita akan kosongkan fikiran, dan menyerahkan diri kepada Allah. Masa seakan-akan terhenti. Dunia terasa sunyi. Hati terasa lapang. Jiwa kita akhirnya (kita percaya) telah bersatu dengan yang Maha Esa. Itulah pengalaman transendental, iaitu apabila kita dapat melangkaui (atau meninggalkan) sebentar, keterbatasan diri kita, dan bersatu dengan suatu pengalaman yang lebih agung atau suci. 

Bagi Paul Schrader, filem juga boleh melakukan perkara sama melalui teknik yang disebutnya sebagai "gaya perfileman transendental." Maksudnya seorang pembikin filem akan mengekang suntingan, dan membiarkan filem berlangsung. "Anda sedang mencipta waktu mati," katanya. Dalam waktu mati, tidak apa-apa perkara penting yang berlaku. Schrader memberi contoh menarik daripada filem Umberto D di mana seorang watak pembantu rumah sedang menggores mancis tiga kali pada dinding dapur. Kita sebagai penonton, dipaksa melihat, dan kita dipaksa ikut serta melakukan aktiviti banal ini. Menurut Schrader, "Pembikin filem sedang menggunakan kuasa sinema ke atas sinema sendiri."

Gaya transendental ini juga kita sering temui dalam filem-filem Jim Jarmusch. Kamera sering kali dibiarkan berjalan dan diiringi oleh skor muzik atau kesan bunyi. Antara saya paling suka ialah babak panggung wayang dalam filem Stranger Than Paradise. Tiga orang lelaki dan seorang gadis duduk menonton wayang. Kita tidak tahu apa yang sedang berlaku di layar. Kita hanya dengar bunyi yang serba kaos, antara desah nafas pemain silat dan suara erangan wanita. Kita melihat empat orang penonton ini. Kita merasai mood tempat itu. Kita melalui pengalaman mereka. Kita hilang ke dalam sinema. 

Tetapi adakak teknik ini sentiasa menjanjikan pengalaman yang transendental? Tidak juga. Saya fikir ada banyak aktiviti dalam kehidupan harian yang boleh memberi pengalaman sama (atau lebih hebat) daripada filem. Dan ia tidak semestinya pengalaman yang positif. Kemalangan dan kematian juga mampu mengubah pandangan hidup kita. Saya pernah kemalangan kereta sebanyak empat kali. Paling teruk ialah kemalangan yang berlaku kepada saya pada tahun lepas. Saya dan Azrin Fauzi masa itu dalam perjalanan pulang dari Puncak Alam. Sudah lewat. Lebuhraya MMR2 lengang. Kami menghampiri simpang ke bulatan Batu Caves. Ia berlaku dengan sangat cepat. Seperti lintasan petir. Azrin menjerit. Sebelum saya sempat melakukan apa-apa, suatu objek keras menghentam bumbung dan cermin depan kereta. Serpihan kaca jatuh ke atas tangan dan badan kami. Saya perlahan-lahan memberhentikan kereta. Objek itu ialah tiang lampu ( ia terpelanting entah ke mana). Serpihan tajam cermin sebelah tempat duduk Azrin hampir-hampir mengenai mukanya. Kami duduk di bahu jalan. Saya menelefon isteri saya. Azrin diam melihat bumbung kereta yang sudah terkoyak seperti bangkai seekor binatang.  

       

Comments

Popular Posts