Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Kedua Puluh Empat)


Kenapa nak keluar rumah? 

Apabila kita sibuk bekerja, kita mencari pelbagai alasan untuk duduk rumah pada hujung minggu. Tetapi apabila kita terkurung di rumah, kita mencari pelbagai alasan pula untuk keluar. Nak beli roti, nak hantar barang, nak pergi jogging. Tetapi betulkah kita ingin keluar rumah? 

Nak bersosial, ya, semua orang perlu bersosial. Tetapi perlukah kita bersosial setiap hari dengan orang-orang yang sama? Golongan pencen selalunya tidak kisah. Mereka sanggup keluar rumah tiga kali sehari, dan lepak di kedai kopi sama, asalkan boleh jumpa kawan-kawan, dan bincang secara serius isu-isu semasa. Padahal isteri dan anak-anak ada di rumah. Waktu inilah nak berbual dengan mereka, bila lagi? Dulu sibuk di pejabat, sekarang sibuk di kedai kopi. 

Nak keluar basuh baju. Satu sejam boleh selesai. Setengah jam atau dua puluh minit untuk lipat dan simpan baju. Kemudian angkat bakul masuk kereta. 

Nak basuh kereta. Tetapi kenapa nak keluar kalau buat di rumah bersama ahli keluarga? Buat rumah macam carwash: agih-agihkan tugas kepada anak-beranak. Abang tembak air; ayah sidai kain; adik sabun kereta; mak vakum tempat duduk. Jimat duit. Aktiviti untuk satu keluarga. 

Nak dating. Atau dalam kata-kata lebih manja: nak cuddling. Peluklah bantal, peluklah patung bear yang besar itu. Nak dating setiap hari pun kena keluarkan duit. Itu belum kira bergaduh di dalam kereta atau waktu beratur panjang sebab pasangan lambat booking tiket wayang. Di rumah tidak ada sesiapa akan kritik atau merajuk dengan sikap kita. Kita tidak perlu berpura-pura untuk jaga hati pasangan kita. Tidak perlu fikir pasal mekap. Tidak perlu nak Google restoran paling viral. Kerinduan juga bahagian daripada komunikasi perhubungan intim; bukan peluk dan pegang tangan semata-mata. 

Nak gunting rambut. Ini malas nak cakap. 

Saya membesar dengan seorang ayah yang jarang keluar rumah. Walaupun selepas pencen. Bagi ayah, kenapa dia nak keluar? Dia boleh baca surat khabar; makan goreng pisang; berbual dengan mak; berbual dengan anak-anak lelaki; tengok filem Van Damme atau Seagal kegemarannya; dengar muzik Kenny G; melukis; tidur; siram pokok; makan kacang. Kalau perlu keluar, dia akan keluar dengan keluarganya. Tetapi kalau dia keluar sendiri, dia akan cepat-cepat balik rumah apabila kerjanya selesai. Selalunya kami tidak tahu bila ayah balik rumah. Dia akan parkir kereta, kemudian duduk di kerusi laman. Kononnya nak baca surat khabar atau majalah. Baru selak satu halaman, kaca matanya sudah jatuh ke riba. 


Comments

Popular Posts