Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Kedua Puluh Tujuh)
Seorang watak Anton Chekhov sedang berjalan keluar dari rumah yang disinggahnya untuk urusan kerja, dan ketika menghampiri pintu pagar, dia terfikir, "Tidak ada yang lebih berharga dalam hidup ini daripada orang." Dan tidak ada yang lebih berharga dalam cerpen Anton Chekhov daripada orang-orangnya. Mereka merenung dan mereka melihat hidup dengan kehalusan yang kita sendiri tidak pernah terfikir. Mereka mencintai kehidupan. Samalah juga, saya kira, dengan watak-watak Vladimir Nabokov. Tetapi membandingkan Nabokov dengan Chekhov ialah ibarat membandingkan sebuah piano dengan sebatang sungai. Nabokov menulis untuk menunjukkan dia ialah seorang penulis; sementara Chekhov menulis untuk hilang ke dalam wataknya.
Ketelitian Chekhov menulis bukanlah datang dengan sendiri-sendirinya. Kita dapat melihat dalam catatan buku notanya, beliau ialah seorang pemerhati dengan renungan mata yang puitis. Saya kongsikan di bawah petikan daripada buku itu. Sama seperti Lydia Davis, sebahagian daripada catatan ini mungkin adalah contengan draf untuk cerpen yang bakal ditulis.
* * *
BUKU NOTA CHEKHOV (1892-1904)
Sebuah bilik tidur. Cahaya bulan terang melimpah masuk melalui jendela sehingga dia boleh melihat butang pada baju tidurnya.
* * *
Tidak ada apa-apa dalam sanubarinya kecuali ingatan dari zaman persekolahan.
* * *
Anjing yang terhincut-hincut di jalanan itu berasa malu dengan kaki kudungnya.
* * *
Perbezaan antara lelaki dan wanita: seorang wanita apabila semakin tua, akan lebih cenderung untuk melibatkan diri dalam hal-hal orang perempuan; seorang lelaki apabila semakin tua, akan lebih cenderung untuk menjauhkan diri daripada hal-hal orang perempuan.
* * *
Seorang wanita hamil dengan tangan pendek dan leher jinjang, seperti kangaroo.
* * *
Saya tak tahan dengar budak-budak menangis, tetapi apabila anak saya menangis, saya diam.
* * *
Watak itu masih terlalu mentah sehingga kita tidak percaya dia telah pergi ke universiti.
* * *
Saya perasan selepas berkahwin, orang mula hilang rasa ingin tahu.
* * *
Selalunya masa yang diperlukan untuk bahagia adalah sama dengan masa yang diperlukan untuk memutar jam.
* * *
Seorang datuk diberikan ikan untuk makan, dan kalau dia tidak tertelan racun dan masih hidup, maka seluruh ahli keluarga itu akan makan ikannya.
* * *
Sastera bentuk baharu selalu akan melahirkan kehidupan bentuk baharu dan sebab itu ia sungguh menjengkelkan kepada orang berfikiran konservatif.
* * *
Seorang pelajar kampung di sekolah agama sedang belajar bahasa Latin dengan tekun. Setiap setengah jam dia akan berlari turun ke bilik orang gaji, dia akan pejam mata, lalu meraba dan picit mereka; orang-orang gaji itu akan menjerit dan ketawa; dia kemudian akan kembali menatap bukunya. Katanya ia "menyegarkan diri!"
Comments