Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Kedua Puluh)
PERBUALAN BERSAMA QURRATUL AIN
Beberapa tahun kebelakangan ini ialah waktu terbaik untuk menjadi seorang penyair muda. Bukanlah dari segi jualan buku. Tetapi dari segi kemeriahan dan sokongan di kalangan penyair-penyair baru kita. Sewaktu Karl Agan muncul dengan buku debut puisinya yang hebat itu, komuniti manakah yang mendukung namanya? Senyap. Sekarang acara puisi kembali dipenuhi oleh anak-anak muda (dan bukan lagi orang tua sahaja yang datang untuk makan percuma dan cium tangan para birokrat sastera). Salah seorang penyair baru kita yang semakin menonjol sosok kepenyairannya ialah Qurratul Ain, Finalis Sayembara Kata-Pilar 2.0. Buku debut puisinya berjudul "Momen." Saya berbual dengan Ain beberapa hari lepas melalui Twitter, dan saya sedikit sebanyak rasa bersalah, kerana membiarkan perbualan itu berlanjutan ke dinihari.
Wan Nor Azriq: Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mudah
tak untuk Ain membaca dan menulis?
Qurratul Ain: Kalau soal membaca, biasa-biasa sahaja, tidak terlalu sukar
atau mudah. Sebab sebelum ini pun sudah biasakan membaca setiap hari
sekurang-kurangnya satu atau dua halaman, sama ada buku fizikal atau melalui
internet. Cuma kurang mudah (dan agak mencabar) pada saya adalah menulis.
Walaupun boleh saja gali idea dari rumah melalui bacaan atau menonton filem,
tapi semasa PKP ini saya merasakan tulisan statik dan ikut terkurung. Atau
mungkin perasaan cemas kerana wabak pun boleh dijadikan sebab kenapa sukar
menumpukan perhatian untuk hasilkan karya. Jadi ya, mudah pada membaca, tapi
menulis pula sebaliknya.
W: Rutin harian berubah tak semenjak PKP?
Q: Tak banyak berubah. Lebih kurang sama juga seperti sebelum ini.
W: Saya perasan Ain gemar menaiki LRT, malah pernah tulis sajak
tentang LRT. Mungkin itu antara rutin yang dirindui. Keluar dan melihat tingkah
laku manusia di tengah kota.
Q: Ya sangat betul. Saya rindu rutin itu sebab masa itulah saya
jalinkan macam-macam hal dalam fikiran. Bunyinya macam klise, tapi rutin
berjalan di kota memang menawarkan banyak cerita. Setiap celah dan ruangnya,
walau seremeh bangku stesen dan pamplet atas tangga kita pijak tapi keadaan itu
beri peluang imaginasi bergentayangan. Mengasah kita pandang sekeliling dengan
sudut berbeza. Sama ada kita sendiri mahu pandang atau tak.
LRT
Oleh Qurratul Ain
ia menunggu waktu di stesen LRT
bersama bagasi, menyimpan petaka
niatnya, mahu berlari ke daerah sepi.
di bangku, sang algojo berjaket
duduk bersebelahan -
sambil menawarkan surat khabar
menyiar berita lusa hari.
namanya tertampal
pada halaman 20,
diikuti komentar simpati
kewujudannya tertindih
antara ledakan nama selebriti.
W: Boleh cerita sedikit proses kreatif untuk puisi
"LRT"? Adakah ia ditulis di luar atau selepas pulang ke rumah?
Q: Puisi “LRT” ini dihasilkan dua tahun lalu, 2018. Seingat
saya, ditulis di rumah, kalau tak salah. Ilham untuk menulis karya ini
sebenarnya bukan selepas keluar dari tren, tapi filem Jerman, berjudul Wings of
Desire (1987), arahan Wim Wenders. Secara ringkas, filem ini mengisahkan dua
malaikat yang turun ke kota Berlin, memerhati gelagat manusia. Yang memberi
kesan dan ilham pada saya adalah unsur existentialism, spirituality dan dialog
puitis, termasuklah cinematography. Ada babak malaikat berada dalam kesesakan
kereta api, sekaligus saya kaitkan dengan rutin ulang-alik menaiki LRT di Kuala
Lumpur. Dari situlah imaginasi saya bercampur dan terbina. Membayangkan bangku
stesen, kemudian sosok malaikat, manusia dan di antara kedua-dua ini, soal
kematian berbangkit. Maka terhasil puisi “LRT” ini.
W: Selalu ke dapat idea dari filem atau muzik?
Q: Ya. Sangat selalu. Rasanya sebahagian besar penulisan saya
dihasilkan sebab meneroka muzik. Dan saya memang kerap berkarya sambil dengar
lagu. Mula menulis pun sebab komposisi muzik dan lirik, dialog dalam filem.
W: Adrienne Rich kata menulis puisi bermula dengan memecahkan
kesepian. Tapi bolehkah mendengar muzik memecahkan kesepian untuk menulis
puisi? Mendengar muzik Pink Floyd misalnya.
Q: Saya berpendapat masing-masing ada cara tersendiri untuk
pecahkan kesepian. Bergantung pada orang juga tu. Pada saya, kesepian tak
semestinya secara lumrah kosong bunyi/suara. Ia kesendirian dan keterasingan
tapi belum tentu sunyi. Memang masa saya membikin puisi, selalunyalah sambil
mendengar muzik. Ikut mood, rasa dan pengalaman juga, ada ketika memilih untuk
tak dengar apa-apa. Muzik ini pada saya, macam perencah yang akan timbulkan
lagi rasa puisi itu. Muzik semisal Pink Floyd (dan banyak lagi) pula agak unik,
bernada psychedelic dan mistikal, seperti padan dengan fasa-fasa kesepian yang
saya alami. Saya cenderung melihat gandingan muzik dan puisi untuk mengolah
kesepian, berbanding merobohkannya.
W: Ain dah sebut berjalan, kota, filem, dan muzik sebagai
sumber ilham. Bagaimana pula dengan mimpi, doa, atau meditasi? Adakah
pengalaman rohani penting buat Ain?
Q: Mimpi juga antara ilham terbesar, bukan sahaja penulisan
tapi kehidupan sendiri. Saya kerap bermimpi seolah saya sebagai pencari. “The
seeker.” Tak tahu apa yang dicari, tapi saya anggap ia seperti kembara rohani.
Tak semestinya religious, tetapi perjalanan eksistensi. Kadang kalau sempat,
saya catat semula mimpi dalam nota untuk jadi kerangka karya, malah pernah juga
saya cerita semula di blog lama dulu. Doa pun termasuk hal yang mengilhamkan,
sebab masa tu datangnya kejujuran. Meditasi pula, saya anggap rutin saya
berjalan ke sana-sini, kota dan tren bentuk meditasi. Pengalaman rohani memang penting pada saya. Sebab ia
mengajak kita mengakrabi diri, itulah yang susah sebenarnya. Dan kerohanian
membuat kita bertanya. Itulah esensi hidup (termasuklah penulisan). Bertanya.
Keraguan. Barulah terbit segalanya: idea, pemikiran, perasaan dsb.
W: Rahimidin Zahari pernah kata, bukan penyair kalau belum ada
buku puisi. Sekarang Ain dah ada buku puisi. Adakah Ain sekarang lebih berani
sebut diri sebagai seorang penyair?
Q: Sejujurnya, belum berani. Kebanyakan masa tak rasa seorang
penyair, sebab berat sangat gelaran tu untuk pikul, malah penyair kedengaran
lebih besar daripada penulis (entahlah kenapa). Yang saya hanya berani adalah
untuk terus menulis lagi, tapi tidak untuk sebut diri saya ini apa.
W: Selepas menang Sayembara Kata-Pilar hari tu, ada belanja sesiapa tak?
Q: Soalan paling comel ni haha. Saya kongsi sebahagian kepada
keluarga dan kawan-kawan yang rapat. (Eh kira belanjalah tu kan? Haha!)
W: Ya, kira belanjalah tu hehe. Di rumah ada bela binatang tak?
Q: Tak ada dan tak pernah bela binatang. Keluarga tak izinkan (mungkin agak leceh).
W: Kalau Ain diminta tulis satu puisi tentang binatang, apa binatang Ain akan pilih?
Q: Mungkin kedengaran kelakar, tapi anjing Shiba Inu haha. Sebab comel dan Shiba
agak ekspresif juga.
W: Kalau diminta pilih skateboard, catur, dan congkak, mana
satu Ain akan pilih?
Q: Susah ni. Ketiga-tiga menarik dan setiap satu ada keunikan
saya suka.Tapi saya pilih catur atas sebab saya membesar dengan board games,
jadi lebih terbiasa dengan benda tu.
W: Kalau nak pilih sebagai ibu tiri, akan pilih Siti Zainon
Ismail atau Zurinah Hassan?
Q: Hmmm mungkin Zurinah Hassan. Mungkin.
W: Bunkface atau Hujan?
Q: Neither.
W: Marvel atau DC?
Q: Marvel.
W: Kalau terpaksa pindah keluar dari KL, Ain akan pilih tinggal di mana dalam negara?
Q: Mungkin di Perak. Macam okay.
W: Jack Malik seronok kalau dia baca ni. Dah dekat dengan Ipoh.
Q: Itulah dan orang pun kata Ipoh ni tempatnya sesuai untuk bersara. Tak sibuk.
W: Sebut tentang Jack, saya perasan ada ramai penyair di
kalangan generasi Ain. Jack, Karim, Awan, Ed.
Q: Yup, perasan juga. Sebaya-sebaya dan kebanyakan bawah 30.
Yang lagi muda pun, macam Awan. Baru umur 20.
W: Berapa draf selalunya Ain tulis sebelum siap? Bagaimana tahu
ia sudah siap?
Q: Bergantung, antara 5-6 draf. Saya suka siapkan karya dengan
cara seperti tidak siapkannya. Tidak jelas ke mana. Ada ambiguitinya atau
penamatnya seperti tak selesai. Bila saya sendiri baca dan tertanya kalau boleh
ada sambungannya dimuatkan dalam sajak lain, rasanya itulah tanda siap.
W: Siapa orang pertama akan baca?
Q: Jarang-jarang saya bagi orang baca. Jadi, kebanyakan masa, tak ada pembaca pertama.
W: Kalau Covid-19 masih merebak dalam tempoh lama, adakah
manusia akan selamat?
Q: Melihat apa yang dah berlaku sekarang pun, memang dah tak
selamat. Kalau berlanjutan lagi, bukan saja tak selamat, tapi huru-hara,
kacau-bilau. Yang terjejas besar tentu ekonomi. Ekonomi yang terjejas akan
gugah banyak benda, kelaparan, kedudukan, dan kepercayaan pun.
W: Selepas tamat PKP (kalau ia tamat), apa benda pertama Ain akan buat?
Q: Mudah saja - naik LRT. Lihat bagaimana suasananya selepas semua ini.
Comments