Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Kedua Puluh Enam)
Adakah anda membaca esei ini sambil rebah? Jangan rasa malu, ia adalah tabiat semula jadi manusia. Selain peluang untuk rehat, waktu rebah di atas katil jugalah kita menjadi pengembara waktu. Fikiran kita melayang menembusi siling rumah. Kita kembali ke masa silam, atau kita melompat ke masa depan. Dalam eseinya, "Terlentang Di Atas Katil," Chesterton kata kalau boleh dia ingin mewarna siling bilik menggunakan pensil sambil rebah di atas katil. Pengarang Perancis, Marcel Proust, menghabiskan sebahagian besar hidupnya di atas katil, menulis, dan berehat akibat sakit asma.
Tetapi sebelum adanya katil, manusia terlebih dahulu rebah di tengah alam. Saya percaya, ketika rebah di atas rumputlah, manusia mula menanam cita-cita untuk terbang di angkasa seperti burung. Cuba lihat filem-filem Miyazaki. Kanak-kanaknya akan terlentang menatap angkasa, membayangkan diri mereka sebagai pilot hebat. Pantai juga tempat terbaik untuk rebah, asalkan cuacanya tidak terlalu panas. Saya gemar rebah selepas mandi laut. Apabila badan sudah terlalu sejuk, minum teh ialah pemanas yang terbaik.
Ahli falsafah China, Lin Yutang, ada menulis juga tentang kelebihan rebah di atas katil:
"Saya bingung masih sedikit orang menyedari tentang kepentingan seni rebah di atas katil, walaupun, menurut saya, sembilan daripada sepuluh penemuan di dunia, sama ada secara saintifik atau falsafah, datang kepada seorang ahli sains atau falsafah ketika mereka sedang enak merekot di atas katil sekitar jam dua atau lima pagi."
Tetapi apakah sebenarnya seni rebah di atas katil? Menurut Lin Yutang:
"Secara fizikal, maksudnya ialah pelarian ke dalam diri, menguncikan diri daripada dunia luar, dan pada ketika inilah saudara memilih postur badan paling aman untuk rehat dan bermeditasi. Terdapat juga cara-cara paling sopan dan mewah untuk rebah. Confucius kata kita 'tak patut rebah lurus' di atas katil 'seperti mayat,' sebaliknya kita patut memiringkan badan ke sisi. Saya sendiri pula percaya salah satu kenikmatan terbesar hidup ialah rebah di atas katil sambil memeluk kaki. Postur tangan saudara juga penting untuk mendapatkan kepuasan estetik mutlak dan kuasa minda. Saya percaya postur terbaik di atas katil bukan tidur terlentang, tetapi disokong oleh bantal lembut pada kedudukan tiga puluh darjah sambil sebelah atau kedua-dua belah tangan diletakkan di belakang kepala. Dalam kedudukan ini, mana-mana penyair boleh mengarang puisi keramat, mana-mana ahli falsafah boleh merevolusi pemikiran manusia, dan mana-mana saintis boleh membuat penemuan sezaman yang paling luar biasa."
Seni rebah ini mempunyai sejarah tersendiri bagi sesiapa yang berminat. Saya cadangkan anda membaca buku Bernd Brunner The Art of Lying Down. Kalau novel, ya, permulaan paling ideal ialah Oblomov karangan Ivan Goncharov. Selepas itu bolehlah cuba The Journey Around My Room yang saya pernah kongsikan sebelum ini. Dan buku Lin Yutang, The Importance of Living, bukan sahaja untuk belajar seni rebah di atas katil, tetapi menjadi manusia yang lebih bijak dan bahagia.
Comments