Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Kesebelas)
Dalam suasana
getir seperti sekarang, perjuangan para doktor dan jururawat memberikan kita
harapan dan inspirasi. Di Melaka, hubungan antara pengamal perubatan (tabib
atau bomoh) dan masyarakat sudah wujud semenjak zaman Kesultanan Melaka lagi.
Sejarah Melayu
menceritakan bagaimana khidmat tabib digunakan ketika Tun Hamzah terkena luka
akibat diparang oleh seorang Benggali bernama Mia Sama. Begitu juga tabib
digunakan ketika peperangan sengit antara tentera Melaka dan Portugis:
"Maka
tengah tigapuluh hulubalang Melaka yang pilihan mati, dan Seri Udani pun luka,
ari-arinya diradak Feringgi dengan tombak panjang. Maka gajah pun diderumkan,
Seri Udani pun diusung orang, dibawa kembali ke rumahnya. Maka disuruh Sultan
Ahmad lihati pada tabib. Maka diduga oleh tabib dengan ekor sirih, maka kata
tabib, 'Tiada mengapa, insya Allah taala dapat diubati. Jikalau sekerat beras
juga lagi masuknya, nescaya Seri Udani mati.'"
Antara cabaran
apabila seseorang jatuh sakit ialah merawatnya dengan sabar. Terdapat satu
kisah dalam Sejarah Melayu di mana Sultan Mahmud Syah gering dan beliau dijaga
dengan setia oleh para pembesarnya:
"Syahdan,
dengan takdir Allah taalah Sultan Mahmud Syah pun gering, sakit buang-buang
air, pada sehari dua tigabelas kali buang air. Maka Bendahara dan Laksamana
tiada bercerai dengan baginda; jikalau akan santap Bendahara Paduka Raja
menyuapi, jikalau buang air Laksamana membasuh. Maka pada sehari dua tigapuluh
kali Laksamana membasuh raja, dan Bendahara pun dua tigabelas kali menyuapi raja
pada sehari."
Ketika itu
terdapat seorang saudara Sultan Mahmud bernama Raja Tua yang ingin baginda
segera mangkat supaya Sultan Menawar Syah boleh naik takhta. Justeru apabila
Raja Tua ingin menghampiri baginda, maka beliau dihalang oleh Bendahara Paduka
Raja. Berkata beliau kepada Raja Tua:
"Sekali-kali
tiada anak Melayu bernama durhaka; jika Tuanku hendak bergagah juga mendekati
paduka cunda sahaja patik amuklah."
Comments