Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Kesepuluh)
Semenjak beberapa hari ini, saya sedar, saya banyak berkongsi karya penulis lama. Saya tidak menyebut langsung karya penulis kontemporari di Malaysia. Saya fikir itu perkara biasa, kita mudah tertarik dan terkesan dengan pengalaman yang datang dari zaman sebelum kita lahir. Selain pengucapan bahasa yang berbeza, terdapat pengalaman dulu yang tidak dapat ditempuhi oleh generasi hari ini, maka itu dengan sendirinya menarik kita masuk ke dalam sesebuah karya. Ibarat melangkah ke dalam sebuah mesin cahaya masa. Sebagai contoh, Pulau Pinang dalam karya Ahmad Rashid Talu ialah dunia yang tersendiri; kita tidak akan menemuinya lagi hari ini. Sama juga apabila saya membaca cerpen Hamzah, A. Samad Ismail, atau A. Samad Said. Dialog mereka ialah dialog zaman itu; realisme mereka ialah realisme zaman itu.
Adakah saya nak kata fiksyen hari ini tidak sebagus fiksyen dulu? Tidak.
Setiap karya yang lahir adalah produk zaman yang membentuknya. A. Samad
Said boleh menulis Sungai Mengalir Lesu kerana itulah zaman perang yang ditempuhinya. Tidak mungkin seorang A. Samad Said akan menulis Amerika atau Rebel
kerana dia bukan produk dari zaman ini. Suatu hari nanti (entah-entah
setahun dua ini) akan muncul pula novel yang membincangkan wabak
Coronavirus di Malaysia. Ini adalah peristiwa bersejarah yang tidak
mungkin kita akan lupakan. Sama seperti era reformasi pada lewat
sembilan puluhan memberi kesan besar terhadap saya sehingga saya menulis
Boneka Rusia Guido.
Syafiq Ghazali ialah antara penulis fiksyen paling fleksibel yang ada di
Malaysia sekarang. Saya sudah mengikuti tulisannya semenjak kali
pertama cerpennya terbit di akhbar Berita Minggu. Syafiq
mempunyai naluri penceritaan yang sangat semula jadi; kita jarang akan
berhenti apabila kita sudah mula membaca cerpennya. Salah satu cerpen
itu ialah "Eksposisi" yang terkandung dalam buku Debu Bidadari.
Barangkali Syafiq sendiri pun tidak sedar bahawa cerpen ini mempunyai
hubungan erat dengan suatu genre penulisan yang dicipta oleh Robert
Aickman iaitu Kisah Aneh (Aickman menyebutnya "Strange Stories").
Dalam bukunya berjudul The Weird and the Eerie, Mark Fisher menjelaskan perbezaan di antara Weird dan Eerie. Apakah terjemahan paling sesuai untuk Weird? "Pelik"? Saya pun tidak pasti. Eerie lebih kepada rasa seram, seperti waktu kita melintas kubur atau berada di dalam tempat yang "keras". Menurut Fisher:
"As we have seen, the weird is constituted by a presence - the presence of that which does not belong. In some cases of the weird (those with which Lovecraft was obsessed) the weird is marked by an exorbitant presence, a teeming which exceeds our capacity to represent it. The eerie, by contrast, is constituted by a failure of absence or by a failure of presence. The sensation of the eerie occurs either when there is something present where there should be nothing, or is there nothing present when there should be something."
Contoh paling mudah, perasaan seram yang kita rasa apabila kita terdengar bunyi gagak atau burung hantu pada waktu malam. Kita kenal bunyi tersebut, tetapi ia membuat kita gerun kerana kita rasa ada sesuatu menakutkan yang tersembunyi di sebaliknya. Ia sama juga apabila kita mengunjungi makam yang dikatakan keramat. Roh keramat itu tidak ada, tetapi ada sesuatu di situ yang membuat ia hadir.
Menurut saya, Kisah Aneh Aickman juga menepati ciri-ciri Eerie yang disebut oleh Fisher. Kebanyakan cerpen Aickman menampilkan seorang lelaki yang sedang melancong di tempat asing. Di situ nanti mungkin ada sebuah hotel, gereja, atau pulau misteri yang akan memikat hero Aickman ke arahnya. Dan sebuah cerpen Aickman tidak akan lengkap tanpa kehadiran seorang wanita. Sering kali godaan erotik wanita itulah yang bakal membawa kehancuran kepada si lelaki.
Syafiq Ghazali menggunakan teknik bingkai untuk cerpen "Eksposisi" di mana seorang watak mendengar cerita disampaikan melalui watak yang lain. Teknik ini juga digunakan oleh Aickman kerana ia sangat sesuai untuk menyampaikan sebuah cerita hantu. Contoh paling terkenal adalah novel Henry James The Turn of the Screw. Syafiq membingkaikan ceritanya dengan cara begini:
"Pertama kali dia menceritakan kisah itu, aku tak akan mempercayainya; aku pasti Suadi sama sekali tidak menipuku, tapi itu tak menghalang dahiku daripada berkerut. Pada waktu itu ceritanya sudah masuk separuh, dan aku tak dapat sembunyikannya - keningku, bila berkerut, ia jelas seperti kerut orang tua. Dan Suadi sedar akan hal itu. 'Kau perlu percayakannya,' kata dia, menghembuskan asap rokok. 'Ia cuma satu satu cerita'
Cerita itu timbul pada malam kami berdua diarahkan untuk meronda dan menjaga keselamatan di blok asrama perempuan, berikutan berlakunya kejadian histeria tiga hari sudah. Aku dah lupa bagaimana cerita itu tercetus atau kenapa Suadi begitu beria-ria untuk bercerita, tetapi ia bermula sewaktu kami duduk berehat - untuk merokok sebenarnya - di kerusi batu di bawah blok asrama perempuan."
Disebabkan teknik bingkai mesti dimulakan dari awal, maka ia mempunyai beberapa kelebihan besar: ia membina mood misteri, memperkenalkan sumber cerita yang meragukan, dan tanpa sedar mempersiapkan pembaca untuk masuk ke alam yang mungkin benar atau mimpi.
Suadi rupa-rupanya pernah bekerja di sebuah hotel empat bintang sebagai penerima tetamu di front desk. Suadi akan mendaftar dan mengambil kunci tetamu hotel. Masalah Suadi ialah jarak rumah dan hotel yang terlalu jauh. Maka dia perlahan-lahan membentuk suatu tabiat buruk dan tidak beretika iaitu dia akan curi tidur di salah satu bilik tetamu.
Di sinilah muncul unsur seram atau Eerie yang disebut oleh Fisher. Suadi menjadi obses dengan bilik yang dipilihnya setiap kali dia hendak curi tidur:
"'Aku seperti tertinggal sesuatu dalam bilik itu. Aku tak pasti apa dia tapi aku cuba mencarinya. Aku berharap aku akan menemuinya namun sebenarnya, sedikit sebanyak, aku sedar bahawa aku tidak akan menemuinya. Jadi, aku masuk ke bilik itu sekadar untuk memenuhi tuntutan jiwa aku, dan tanpa sedar, ia, dari hari ke hari, mula menjadi sebahagian daripada hidup aku, daripada diri aku. Aku tahu kedengarannya agak gila, tapi percayalah, itu yang aku rasa pada masa itu. Bilik itu adalah tempat persembunyian aku dari dunia luar, kubu yang melindungi daripada sentuhan manusia di sekeliling aku."
Apakah sebenarnya kuasa yang mendorong Suadi ke bilik ini? Kita tidak tahu dan ia tidak dijelaskan. Mungkin ia adalah bilik dalam fikirannya; suatu kaedah pertahanan diri yang minda Suadi cipta bagi menampung tekanan kerja yang terlalu berat.
Keadaan menjadi bertambah pelik apabila muncul seorang wanita secara tiba-tiba ke dalam bilik tersebut. Suadi cuba mengelak dan menyembunyikan diri, tetapi wanita itu tidak peduli pun. Seolah-olah dia tidak nampak Suadi berada di bilik itu. Pada hari lain, apabila Suadi datang semula selepas habis bekerja, dia akan menemui wanita sama sedang duduk di atas katil menghadap komputer riba. Suadi mendekatinya seperti seorang lelaki halimunan. Dia akan memerhati kelopak mata wanita itu, dia akan mendengarnya mendengkur, dan dia akan curi-curi membaca cerpen Chekhov bersamanya.
Saya tidak akan spoil kesudahan cerpen hebat ini. Cukuplah saya kata bahawa Robert Aickman akan sangat berpuas hati kalau rohnya dapat membaca cerpen Syafiq dari dalam kubur.
Comments