Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Ketiga)
Hari ini saya ingin membuat sedikit kelainan. Saya ingin membincangkan fotografi. Bukanlah subjek itu per se, tetapi hubungan fotografi dengan kehidupan penyair. Ada dua orang penyair saya ingin ketengahkan dalam lensa perbincangan saya: T. Alias Taib dab Philip Larkin.
Menjadi penyusun kepada buku kumpulan puisi T. Alias Taib ialah antara pengalaman paling bermakna dalam hidup saya. Selain dapat membaca sajak-sajaknya yang tidak pernah diterbitkan dalam bentuk buku, saya dapat melihat ruang kerjanya di rumah, dan barang-barang peribadi seperti koleksi setem, koleksi mancis, koleksi kaset, dan sudah tentu, buku-buku beliau. Tetapi satu lagi sudut kehidupan Alias yang kurang diketahui ialah minat dan bakatnya kepada fotografi.
Sayang sekali, saya tidak dapat kongsikan di sini gambar-gambar yang Alias pernah rakam sekitar Kuala Lumpur. Ternyata mata Alias ialah mata seoarang pemburu kota. Beliau mampu mengenal pasti bentuk dan ruang yang menjadi perwatakan sebuah bangunan atau sesuatu landskap sekitar Kuala Lumpur. Alias juga mempunyai banyak gambar potret dirinya. A. Samad Said dan Usman Awang, saya fikir, adalah antara pengarang Malaysia yang mempunyai aura apabila wajah mereka diabadikan ke dalam bingkai gambar. Alias pun sama. Dia jarang melihat secara langsung ke dalam kamera seolah-olah fikirannya sentiasa merenung jauh ke tempat lain. Latiff? Saya fikir tidak. Bukan wajah Latiff yang kita ingat apabila kita membincangkan riwayat hidup beliau sebagai seniman.
Dalam simpanan saya sendiri, ada beberapa keping gambar Alias yang saya ingin kongsikan dengan tuan-tuan. Sahabat beliau, Tuan Sharif Putera, telah berbaik hati untuk memberikan gambar-gambar ini kepada saya.
Seorang lagi penyair yang juga gemar mengambil gambar ialah Philip Larkin dari Britain. Ada persamaan yang agak ketara apabila kita membandingkan kehidupan Larkin dengan Alias. Mereka sama-sama pendiam, jarang menonjolkan diri dalam khalayak sastera, berbadan tinggi, pernah menjadi guru, dan sangat peka kepada perkara-perkara kecil dalam kehidupan harian manusia. Tetapi Larkin tidak hidup di kota besar seperti Alias. Sebahagian daripada kehidupan Larkin dihabiskan di sebuah pekan kecil bernama Hull, sebagai pustakawan.
Dokumentari BBC, "Through The Lens of Larkin," yang saya kongsikan di bawah menunjukkan kepada kita bahawa Larkin gila mengambil swafoto. Saya bersetuju dengan salah seorang pengakaji Larkin dalam video ini, swafoto beliau memberitahu kita emosi dan perwatakan peribadinya yang mungkin kita tidak akan temui dalam puisi beliau.
Salah satu episod yang agak tragik ialah apabila Larkin secara tidak sengaja membunuh seekor landak dengan mesin pemotong rumput. Larkin telah mengambil gambar landak itu sebelum ia terbunuh, malah dia telah memberikan ia makan. Kita melihat sekeping foto yang menunjukkan seekor landak sedang menikmati makanan di bawah tali ampaian dengan pakaian dalam Larkin tergantung padanya. Larkin mengabadikan pengalaman menyedihkan ini dalam sebuah puisi berjudul "The Mower":
THE MOWER
The mower stalled, twice; kneeling, I found
A hedgehog jammed up against the blades,
Killed. It had been in the long grass.
I had seen it before, and even fed it, once.
Now I had mauled its unobtrusive world
Unmendably. Burial was no help:
Next morning I got up and it did not.
The first day after a death, the new absence
Is always the same; we should be careful
Of each other, we should be kind
While there is still time.
Comments