Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Kedua Belas)
Pelajaran membaca ialah pelajaran yang tidak pernah berhenti. Bentuk dan struktur sebuah buku sama sahaja, dalam apa-apa jenis bahasa. Ada budaya membaca dari kiri ke kanan, dan ada budaya membaca dari kanan ke kiri. Keistimewaan sebenar menanti apabila kita masuk ke dalam dunia sebuah buku. Rebecca Solnit memberi deskripsi paling cantik mengenai roh buku yang berubah-ubah:
"Ada buku menjadi sayap. Ada buku menjadi kuda yang membawa kita lari. Ada buku menjadi pesta di mana anda dijemput, penuh dengan kawan-kawan yang akan ada situ walaupun anda tidak mempunyai kawan. Ada buku menemukan anda dengan seorang insan istimewa; sementara buku lain anda menemui sekumpulan orang atau suatu budaya. Ada buku menjadi ubat yang pahit tetapi melegakan. Ada buku menjadi hutan rimba dengan teka-teki yang melingkar-lingkar dari dahan. Ada buku menjadi pengembaraan, yang mengubah anda di penghujungnya berbanding ketika anda baru bermula. Ada buku menjadi alat suluh yang boleh menerangi apa-apa benda di dunia ini."
Pelajaran membaca memberi kesan paling penting pada zaman kanak-kanak atau remaja. Terutama sekali ketika kita kali pertama kita terdedah dengan kekayaan sebuah perpustakaan. Inilah yang berlaku kepada Anwar Ridhwan sebagaimana beliau ceritakan dalam memoirnya berjudul Cerita Saya.
KUTUBKHANAH
Ateh Suriah dan Andak Jamaluddin telah mengajar saya menulis serta membaca jawi dan rumi sejak umur saya lima tahun. Jadi sebelum saya bersekolah saya sudah boleh mengeja dan membatang perkataan serta ayat yang ditulis jawi atau rumi. Segala buku syair yang dahulu enak dendangkan, saya baca. Beberapa buah buku cerita dan komik milik Andak Jamaluddin, habis saya baca semuanya.
Begitu juga saya akan membaca akhbar Utusan Melayu jawi yang ayah beli, termasuk mengikuti siri komik Dol Keropok dan Wak Tempe karya Raja Hamzah. Menurut suatu kajian, Raja Hamzah muncul sebagai pelukis komik degan buku komiknya berjudul Piring Terbang ketika masih menuntut di Sekolah Agama Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Kemudian beliau bertugas sepenuh masa sebagai pelukis di syarikat akhbar Utusan Melayu. Di akhbar Utusan Melayu, siri komiknya Dol Keropok dan Wak Tempe mendapat sambutan hangat pembaca kerana kehalusan serta ketajaman sindirannya terhadap pelbagai isu budaya, sosial dan politik semasa.
Di sekolah rendah, saya selalu meminta kunci pintu khutubkhanah atau perpustakaan daripada Cikgu Rohani, kerana kunci pintu perpustakaan dalam simpanannya. Kalau saya bersekolah sesi pagi, saya datang ke perpustakaan waktu petang. Begitu pula sebaliknya. Aneh juga, sebuah sekolah di kampung terpencil pada tahun 1950-an dan awal 1960-an sudah mempraktikkan dua sesi persekolahan. Memang saiz sekolah itu agak sederhana, tetapi itu juga era the population boom di kawasan yang menjenakakan tamsil "tanam" apa saja akan tumbuh hasilya, kecuali tanam mayat!
Perpustakaan kecil Sekolah Umum Sungai Besar itu sebuah ruang aneh yang kelam, yang hampir tidak dikunjungi oleh sesiapa pun, kecuali debu yang berterbangan dalam jalur cahaya yang masuk melalui tingkap. Di dalamnya terdapat satu rak menyimpan buku-buku teks yang digunakan dari Darjah I hingga Darah VI, termasuk buku-buku tulisan Mohd. Hashim Haji Talib seperti Pelita Mengarang, Kitab Pedoman Guru dan Kitab Ilmu Kira-kira. Buku-buku dalam rak ini khas untuk bacaan dan rujukan guru-guru, tetapi saya mengambil dan membacanya.
Satu rak lagi, dan inilah yang selalu lebih menjadi tumpuan saya, menempatkan buku-buku terbitan Pejabat Karang Mengarang (seperti cerita-cerita Shakespeare, cerita Seribu Satu Malam, cerita-cerita dongeng Grimm dan Anderson, mitos-mitos Greek, dan cerita-ceritta binatang), serta karya-karya sastera Indonesia terbitan Balai Pustaka.
Jumlah buku di rak "Buku2 Cherita" itu tidaklah banyak. Dalam tempoh setahun dua, habislah semua buku itu saya baca. Ini termasuklah novel Nyawa Di-Hujong Pedang dan Zain Zawiyah karya Ahmad Murad Nasaruddin yang mula memberi kesan kepada jiwa kanak-kanak saya kerana ceritanya yang menarik serta boleh saya fahami. Tetapi ada juga buku yang saya tidak fahami sepenuhnya umpamanya buku-buku terbitan Balai Pustaka. Pada usia itu memang sukar saya memahami dan menghayati karya-karya Merari Siregar seperti Si Djamin dan Si Djohan, serta Azab dan Sengsara: Kisah Kehidoepan Seorang Gadis, buku Sutan Takdir Alisjahbana Dian Jang Tak Kundjung Padam dan sebagainya lagi. Sistem ejaan buku-buku terbitan Balai Pustaka yang agak berlainan dengan sistem ejaan buku-buku Pejabat Karang Mengarang sedikit banyak melambatkan saya untuk menghabiskan buku-buku cerita dari Indonesia itu.
[...]
Ketika itu timbullah angan-angan si pembaca kecil ini, bahawa kalau saya boleh menulis, dan tulisan saya pada suatu hari nanti diterbitkan, akan dibaca oranglah karya-karya saya itu kelak.
Angan-angan ingin jadi penulis!
Itulah angan-angan yang pertama dalam zaman kanak-kanak. Angan-angan yang datang dari kertas putih kekuningan, dari huruf-huruf hitam, dan buku-buku berjilid - sesetengahnya, dari agak baru dan sesetengahnya lagi telah lusuh. Lembar-lembar yang menghadirkan watak, cerita dan tunjuk ajar, dengan lukisan-lukisan yang menarik, atau teks yang membisikkan suara pengarang ke telinga saya. Bisikan yang mengeram dalam sukma saya untuk saya ingat sehingga beberapa tahun kemudian.
Comments