Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Kelapan)

kematian Seneca

ASMA, Seneca

Sakit - selama saya menghidapnya saya dapat berehat dengan agak panjang - kini ia menyerang tanpa pesan. "Penyakit apa abang?" awak mungkin bertanya. Saya faham kerisauan awak kerana tidak ada penyakit yang saya tidak pernah alami sendiri. Tetapi terdapat satu penyakit yang selalu memilih saya sebagai mangsanya. Tidak ada sebab kenapa saya patut sebut nama Yunaninya, cukuplah saya menggambarkan ia sebagai kesukaran bernafas. Serangannya hanya sementara, seperti guruh, kerana selepas sejam ia sudah berakhir. Lagipun, lama mana seseorang itu boleh menahan nafas, betul tak? Sepanjang hidup saya sudah bermacam-macam rungutan dan masalah yang datang berkunjung, tetapi tidak ada yang lebih menyusahkan daripada penyakit ini. Kalau fikir balik, ia tidaklah mengejutkan, kerana dengan musibah lain, kita sekadar jatuh sakit, sementara penyakt ini  membuat kita sesak nafas. Sebab itu doktor telah menggelarnya "nafas maut" kerana lambat-laun nafas itu akan melunaskan amanah yang telah diberikan kepadanya dari awal. Adakah awak membayangkan saya tengah gembira di saat mengarang surat ini kerana berjaya meloloskan diri daripada serangannya? Tidak, ia terlalu absurd untuk bergembira seolah semunya sudah berakhir - seolah saya kembali sihat - sama seperti seorang yang sangka dia sudah memenangi perbicaraan, padahal dia hanya mendapat tempoh lanjutan daripada makhamah. 

Walaupun saya sedang berjuang untuk bernafas, saya tetap mendapat kebahagiaan dan ketabahan melalui renungan panjang. "Apa kejadah ini?" saya tanya pada diri. "Maut nak cuba mencabar saya, ya? Biarkan saja! Saya juga pernah mencabar Maut dahulu." "Bila pula abang cabar?" awak mungkin bertanya. Sebelum saya lahir. Maut hadir bukan sahaja waktu kita hidup. Saya tahu erti kesusahan itu. Perasaannya akan sama ketika saya mati dan sebelum saya lahir. Sekiranya terdapat sebarang kesengsaraan ketika kita hendak mati, maka sudah tentu ada kesengsaraan ketika kali pertama kita menatap cahaya; padahal pada masa kita baru lahir, kita tidak rasa pun sebarang kesakitan. Saya nak tanya awak, adakah bodoh seseorang yang percaya bahawa sebuah pelita lebih sengsara ketika ia hendak dipadamkan berbanding ketika ia hendak dihidupkan? Kita pun sama, ada waktu dipadamkan, ada waktu dihidupkan. Kita hanya sengsara di ruang antara kedua-duanya, tetapi di setiap penghujung, kita menemui ketenangan. Sebenarnya Lucilius, dan ini kalau tanggapan saya tidak terpesong, kepercayaan kita bahawa Maut menyusul kemudian adalah salah, kerana ia mendahului dan juga menyusul. Maut ialah segala-galanya yang ada sebelum kita. 

Saya bercakap tentang perkara ini kepada diri saya secara berterusan - dalam diam, kerana mustahil untuk mengungkapkan sebarang kata-kata. Perlahan-lahan penderitaan dalam nafas saya datang pada kadar yang lebih lama dan kemudian menyusut. Walaupun serangan itu reda, tetapi saya masih tidak dapat kembali bernafas dengan normal. Saya rasa nafas saya tersedak dan tersekat-sekat. Biarlah dia nak buat apa pun, asalkan kesakitan itu tidak parah. Saya beri jaminan kepada awak tentang hal ini: saya tidak akan takut apabila waktu yang dinantikan sudah tiba. Saya sudah siap menanti, bukan merancang, sehari lebih awal. Lelaki yang awak patut kagumi, dan contohi, ialah lelaki yang berani untuk meraikan hidup dan di samping itu tidak teragak-agak untuk mati. Sesungguhnya, di manakah maruah melangkah keluar, kalau dari awal lagi kita sudah ditendang? Dan inilah hikmah masalah saya: tidak lama lagi saya bakal ditendang, itu pasti, tetapi ia akan kelihatan seolah saya melangkah keluar. Seorang bijaksana tidak akan ditendang, kerana ditendang bermaksud dia dihalau dari tempat dia teragak-agak untuk tinggalkan, dan seorang bijaksana tidak pernah teragak-agak dalam apa-apa perkara. Dia melepaskan diri daripada takdir kerana dia menerima takdir yang bakal diapaksa ke atas dirinya. 
   


Comments

Popular Posts