Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Kedua)
Semasa umur saya sepuluh tahun, saya pernah rasa sangat bosan sehingga saya menangis. Masa itu cuti sekolah. Abang-abang saya berada di Kuala Lumpur. Rumah kami belum ada komputer. Nak main Sega, sudah bosan; nak buka permainan meja, tidak ada teman; nak tengok video, sudah bosan. Maka saya minta mak hantar saya ke rumah sepupu. Saya tinggal di sana selama beberapa hari. Kami membayangkan pelbagai pengembaraan di dalam bilik kecil itu: memandu kapal angkasa ke bulan, mengemudi kapal lanun, menjadi polis dan mengejar perompak. Imaginasi seorang kanak-kanak tidak ada batas. Masa di rumah sepupu saya itu menyelamatkan saya daripada kebosanan.
Tetapi apabila kita menjadi dewasa, kita sering mengabaikan imaginasi yang dahulunya begitu liar dan menyeronokkan. Barangkali sebab itu filem animasi, sebahagian besarnya, ditonton oleh orang dewasa. Selain memuaskan rasa nostalgia, filem animasi mengingatkan kita tentang kebebasan imaginasi yang sudah hilang atau dilupakan.
Pada tahun 1790 Xavier de Maistre ditahan di rumah selama 42 hari sebagai hukuman kerana bertarung ("duel") dengan seseorang. Maistre menggunakan sebaik mungkin waktu lapang ini untuk menulis sebuah buku pendek berjudul Pengembaraan Di Dalam Bilik. Sesuai dengan judul, ini adalah pengembaraan yang tidak pernah orang buat, dia mengembara di dalam biliknya.
Satu perkara yang unik tentang novel ini ialah hubungan langsung antara pengarang dan pembaca. Ia diceritakan dengan kesedaran bahawa kita membacanya seolah-olah pengarang menjemput kita untuk sama-sama mengembara di dalam biliknya.
Setiap bab ditulis dengan ringkas dan diberi judul khusus seperti "Katil," "Kepada Ahli Metafizik," "Tentang Kawan," dan lain-lain. Setiap satu bab ini adalah renungan pencerita tentang hidup dan juga permainannya dengan pembaca. Kita boleh lompat dan baca mana-mana bab yang kita inginkan.
Saya telah terjemahkan salah satu bab daripada buku ini berjudul "Latitud dan Topografi." Saya juga kongsikan di bawah pautan untuk sesiapa yang berminat untuk membaca teks penuh dalam bahasa Inggeris. Selamat membaca dan selamat berkurung di rumah masing-masing.
IV: LATITUD DAN TOPOGRAFI
Bilik saya terletak pada latitud 48 darjah timur, menurut ukuran Father Beccaria. Ia terletak di timur dan barat, dan, kalau saudara berdiri rapat dengan dinding, akan terbentuk paraleogram dengan tiga puluh enam langkah. Namun pengembaraan saya akan lebih lama dari itu; saya akan menjelajah dari atas ke bawah, dari penjuru ke penjuru, tanpa peraturan atau perancangan. Malah saya akan merewang sesuka hati, mengikut, jika perlu, apa-apa garisan geometri. Saya tidak menyenangi orang yang pandai mengatur setiap langkah dan setiap idea sehingga orang itu boleh kata: "Esok aku akan buat tiga panggilan, tulis empat pucuk surat, dan habiskan kerja itu atau kerja ini." Maka saya bukakan hati kepada segala macam idea, cita rasa, dan perasaan; hati saya punyalah tamak ia menerima apa-apa sahaja yang datang dahulu, ini... tetapi kenapa saya harus menafikan kebahagiaan yang bertebaran di sepanjang liku-liku kehidupan? Jarak antara setiap bukannya jauh, maka masuk akal untuk kita berhenti, malah menoleh, lalu mengutip segala kebahagiaan yang boleh dicapai dengan tangan. Di antara semua jenis kebahagiaan, tiada, menurut saya, yang lebih menggodakan daripada mengikut kehendak hati seperti mana seorang pemburu mengikut corak permainannya sendiri, tanpa mematuhi sebarang laluan khusus. Justeru, apabila saya mengembara di dalam bilik, saya jarang berada di atas jalan yang lurus. Dari meja saya akan berkelana ke arah lukisan yang terletak di penjuru; kemudian saya akan melencong ke arah pintu; dan kemudian saya akan rebah di kerusi sandar, walaupun asalnya niat saya ialah untuk kembali ke meja, tetapi tanpa teragak-agak, saya menurut kemahuan saya di saat itu. Lama-kelamaan seorang bijak akan menyedari betapa bernilainya sebuah kerusi sandar. Ketika musim dingin yang panjang, saudara boleh meregangkan badan dengan enak dan selesa, tanpa diganggu oleh suasana keramaian yang hiruk-pikuk. Api yang sederhana, beberapa buah buku, dan sebatang pen; perlindungan terbaik menghadapi kebosanan! Dan betapa seronoknya melupakan, sekali lagi, buku dan pen bagi membangkitkan api, sambil memberi peluang kepada diri untuk merenung, atau menjalin irama lagu untuk hiburan kawan-kawan, ketika waktu perlahan-lahan menggelincir dan jatuh ke dalam pelukan keabadian, tanpa membuat kita merasai kedukaan pemergiannya.
Comments