Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Pertama)
Pergerakan kita dibataskan. Kita menutup tingkap dan menguncikan pintu untuk beberapa minggu. Bekalan dapur sudah siap tersusun. Tisu, beras, air mineral, dan bungkusan Maggi. Kita letak botol sanitizer di dalam setiap bilik tidur dan bilik mandi. Asalkan internet tidak disekat, kita percaya kita tidak akan mati kebosanan. Inilah waktunya untuk binge kesemua filem keluaran Studio Ghibli. Kita percaya kita akan selamat daripada sebarang ancaman.
Namun kenapa kita masih gelisah? Kenapa pada waktu malam kita masih dikejutkan oleh deru angin? Kenapa selang beberapa minit, kita akan buka telefon untuk mengetahui berita terkini? Kenapa kita masih takut menghadapi kematian?
Hubungan manusia dengan waktu bermula dengan tubuhnya sendiri. Dalam filem Doctor Strange, Stephen Strange asalnya ialah seorang pakar bedah yang angkuh dan riak dengan bakatnya membedah pesakit. Segala-galanya berubah apabila dia mengalami kemalangan kereta yang ngeri sehingga kedua-dua belah tangannya lumpuh. Pandangan dunia Strange terus terubah. Dia kini terkurung dalam kecatatan tubuhnya sendiri. Latihan seni mistik akhirnya yang membebaskan Strange daripada penjara tubuhnya. Bukan itu sahaja, dia boleh menjelajah merentas waktu dan alam semesta. Tubuh bukan lagi penjara kepada minda dan roh Strange.
Tetapi berapa ramai yang mampu mencapai tahap transendental yang luar biasa ini? Kebanyakan daripada kita akan jatuh sakit dan kita akan terlentang tidak bermaya di atas katil sebuah bilik. Kesakitan menakutkan kita kerana tidak ingin terperangkap dalam tubuh yang sudah rosak. Kesakitan membuat jiwa kita meronta-ronta. Kita menjadi binatang yang tiba-tiba sedar dia bukan lagi binatang yang bebas berlari di hutan.
Namun apa yang kita boleh buat? Nak keluar rumah kita akan hanya membahayakan diri dan juga orang lain. Lebih baik kita mencari jalan untuk mententeramkan hati. Setiap orang pasti ada ubat atau latihan meditasi tertentu. Tetapi apa salahnya kalau kita membaca puisi juga. Salah satunya ialah puisi Latiff Mohidin berjudul "setiap ruang yang telah penuh":
setiap ruang telah penuh
oleh bayang-bayang kita
tangga-tangga berlengkar sesak
mendesak ke pintu kecemasan
setiap dinding telah penuh
oleh gumpalan angka-angka
simpang-siur huruf berita
telah merempuh setiap meja
setiap almari telah penuh
oleh banjiran suara-suara sepi
denyutan yang terpendam
menusuk setiap kulit dahaga
setiap ruang telah penuh
dan kita ingin dapat kembali
berdiri pada yang belum terisi
tapi tidak sebelum ini
Dalam waktu kecemasan seperti sekarang, kenapa kita patut membaca puisi? Saya tidak boleh bercakap bagi semua pihak, tetapi untuk saya sendiri, apabila saya membaca puisi Latiff, fikiran saya menjadi lapang. Ini bukan bermaksud semua masalah dalam diri saya telah hilang. Puisi bukan arak atau dadah yang membuat fikiran kita melayang ke dunia lain. Puisi sebenarnya menjernihkan segala emosi yang bergumpal dalam diri kita. Kalau "setiap ruang telah penuh," maka puisi membuka ruang baharu untuk kita bernafas semula dengan selesa.
Esok saya akan kongsi kisah pengembaraan paling hebat, iaitu kisah pengembaraan di dalam sebuah bilik oleh Xavier de Maistre.
Comments