Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Keempat)


Ada apa di luar tingkap rumah anda sekarang? Cuba duduk dan lihat sebentar dengan tenang. Mungkin sepanjang tempoh larangan bergerak ini sahaja anda berpeluang melihat dunia bergerak di luar tingkap anda. Beruntunglah mereka yang tinggal menghadap sawah atau laut yang terbentang luas. Mereka boleh membawa mata mereka berkelana sehingga ke penghujung batas dunia. Tetapi bagi penghuni kota, benda-benda harian di luar tingkap anda juga menyimpan rahsia dan misteri hidup yang menanti untuk diterokai. 

Pengarang besar Norway, Karl Ove Knausgaard, menggambarkan pemandangan di luar tingkap biliknya di Sweden:

"Aku suka pengulangan. Aku suka melakukan benda sama pada waktu yang sama dan di tempat yang sama, hari demi hari. Aku sangat menyukainya kerana sesuatu akan berlaku dalam pengulangan: Lambat-laun timbunan persamaan ini, yang dikumpul setiap hari, akan meluncur. Ketika itulah penulisan bermula. 

Pemandangan di luar tingkap bilik sentiasa mengingatkan aku mengenai proses perlahan dan lutsinar ini. Setiap hari aku melihat laman sama, pokok epal sama, pokok willow sama. Ketika musim dingin, warnanya suram, tanpa sehelai daun, dan ketika musim bunga, hijau melimpah ke dalam taman. Walaupun aku melihatnya setiap hari, aku tidak perasan perubahan ini, seolah-olah ia berlaku dalam kerangka waktu yang berbeza, melangkaui capaian deria mataku, ibarat bunyi frekuensi tinggi yang berada jauh daripada capaian telinga. Kemudian meledak keluar bunga, burung, buah, haba dari mulut musim panas dengan pertumbuhan yang gila. Kemudian ribut mengganas dan epal gugur menjadi bulatan di bawah pokok. Kepingan salji cair sebaik sahaja ia menyentuh tanah, daun menjadi perang dan lincin, dahan membogelkan tubuh kurusnya, dan burung terbang membawa diri; musim dingin telah tiba kembali."

Ada semacam ketergesaan juga dalam nada suara Knausgaard di sini. Waktu melintas laju di luar tingkap biliknya kerana mata dan tubuhnya masih muda. Saya yakin sepuluh tahun akan datang Knausgaard akan melihat dunia di luar tingkap biliknya dengan pandangan berbeza.

Barangkali nada Knausgaard akan lebih tenang seperti yang kita dengar apabila kita membaca sebuah sajak pendek dan indah karangan seorang pengarang Amerika bernama Ted Kooser:

A HAPPY BIRTHDAY

This evening, I sat by an open window
and read till the light was gone and the book
was no more than a part of the darkness.
I could easily have switched on a lamp,
but I wanted to ride this day down into night,
to sit alone and smooth the unreadable page
with the pale gray ghost of my hand.  
   

Comments

Popular Posts