Puisi Pilihan Fahd Razy

 
 
Puisi protes adalah pemberontakan kata-kata ke atas dirinya sendiri. Walaupun puisi protes sentiasa mempunyai pembaca sasaran, gema protes itu akan melantun kembali juga kepadanya. Saya terbaca baru-baru ini sajak Ruhi Hayat mengenai pengalamannya di dalam penjara melalui sajak berjudul Keseorangan:
 
Tembok batu keliling
jaring-jaring besi merata
tiada kawan berunding
tiada teman berkata-kata   
 
Kesepian kita rasa di sini bukan sahaja kesepian berada di dalam penjara, tetapi juga kesepian seorang penyair yang hanya ditemani oleh kata-kata. Di manakah nilai kata-kata apabila hanya dinding batu yang menjadi pendengar? Saya merasai kesepian sama apabila membaca sajak A. Samad Said yand dipilih oleh Fahd Razy.
 
 
Suara Dari Dinding Madrasah
Oleh A. Samad Said
 
 
Aku tidak marah kau mencekau dinding madrasah,
Mencungkil atau mengganti langsir lebih berbunga,
Anak-anak memang merindui iklim penuh bermakna,
Tidak juga kubantah kau simini retak lantai rumah,
Memolekkan sekeliling dan mempercantik taman seada,
Anak-anak amat memerlukan kebijaksanaan orang tua,
Tapi, kau merangsang mereka mengenepi rehal,
Mengganti muqaddam dengan kamus barat yang tebal,
Memuja dunia dan mereputkan kesetiaan sebangsa;
Sanubari anak telah dicerobohi sedemikian lukanya.
Aku tidak pun membantah madrasah memiripi pejabat,
Atau dijemur sejadah pada sidaian yang lebih kuat,
Asalkan sejemaah kita masih setia menghadapi kiblat,
Selamat ke matlamat syadu membahagiakan rakyat,
Dan bertambah teguh iman sesihat dunia akhirat.
Tapi, menggelincirkan tapak, menggoyahi hati nurani,
Kebal mendindingi penyonglap, pendedahnya dihukumi,
Tidak’kan kurela otak dan hati begitu berbalah,
Apalagi pesanan semanisnya hanya dalam pura-pura.
Memang kecewaku sebaik begitu mulanya kau bersuara.
Aku impi jujur kau serahi muqaddam dan sejadah,
Menghadiah selautan pasir dan segunung batu bata,
Bersama khalayak dapatlah kita perbanyak madrasah,
Kemudiannya berkhutbah tentang bahagia lara ummah,
Pernah terjajah, merdeka, tergugat, kini terdera,
Aku ingin kita sentiasa menghargai sekolah agama,
Berfikir dan berazam selari meluhuri suci aqidah.
Apa yang kupinta demi lesterinya sanubari Islami,
Memelihara madrasah dan Jawi yang mula dilupai-
Tidakkah begitu wajarnya laku bakti penganut suci?
* * *
Fahd Razy:
"Satu tabiat saya (yang mungkin ‘jahat’), apabila membaca satu puisi akan saya tanyakan pada diri “Boleh tak aku tulis sajak macam ni?” Mungkin ia satu cara saya menilai secara kritikal. Dan satu cara saya juga saya belajar mencintainya.
Puisi ini dengan cepat menyebabkan saya jatuh hati. Menulis metafora dalam sajak, antara perkara paling mudah. Betul. Tapi bagaimana menghidupkan metafora itu yang paling susah. Metafora itu bernyawa dan mengeluarkan emosi-emosi (mungkin sentimen, mungkin nostalgia, atau mungkin ‘marah-marah’) dari diri pembacanya. Seperti bunga, melepaskan aroma kepada penghidunya yang sedang memejam mata, dan haruman itu hidup dalam bayangannya.
Wangian itu menghantuinya. Dan kata-kata puisi ini menghantui saya!
Pak Samad memilih metafora dengan cermat sekali, dan memilih kata-kata yang untuk dihias bersamanya. Ia jadi harmoni, baik dari segi sebutan ataupun maknanya. Dan sajak ini, berpuluh kali saya baca, menjadi ‘textbook’ saya, tapi haruman emosinya tetap terasa. Setiap kalinya, lebih segar dari yang sebelumnya.
Banyak puisi protes, marah, kritik, yang saya baca akhirnya menimbulkan tak lain hanya kesakitan-kesakitan. Tak bermakna itu tak bagus... Ia kan memang puisi protes. Puisi kesusahan hidup. Tapi puisi A Samad Said ini berbeza. Lembut-pujuk dan protes; paradoks yang hidup serentak dalam puisi ini. Seperti mawar dan duri yang tumbuh atas batang yang sama.  
Sekali baca, tak terasa sukar.
Tapi akhirnya, ah, mustahil saya… atau sesiapa boleh menulis puisi ini."
 

Comments

Popular Posts