Cerita-Cerita Dari Bangku Stesen

Before Sunrise
 
Kereta api adalah perjalanan yang anakronistik. Ketika seorang penumpang sedang enak duduk di kerusi sambil melepaskan matanya terbang di luar tingkap, dia akan perasan, kereta dan motosikal di atas lebuh raya sedang meluncur lebih laju daripada kereta apinya. Maka akan terdetik sejenak di hatinya persoalan: kenapa aku ada di sini? Orang lain mungkin lima jam sudah boleh sampai di Kuala Lumpur; dia pula terpaksa menempuh perjalanan dua belas jam. Tetapi ini bukan kali pertama dia menaiki kereta api. Dia sudah biasa menempuh perjalanan jauh yang tenang dan perlahan.
 
Dia sudah biasa menjadi penumpang yang melengahkan waktu.
 
Justeru apabila saya menemui babak kereta api dalam filem atau buku, saya akan merasai sekali lagi waktu yang dilengahkan itu. Cerpen terkenal Hemingway berjudul Hills Like White Elephant mengisahkan pasangan kekasih yang berbual panjang sambil menunggu ketibaan kereta api ke Madrid. Semasa kali pertama membacanya dulu di universiti saya tidak terfikir pula yang mereka mungkin berbual panjang kerana masing-masing sudah bosan menunggu (lelaki Amerika itu bosan menunggu kereta api, sementara perempuan Sepanyol itu bosan menunggu lelaki itu memahami kedukaannya). Mungkin sebab bosan juga Jesse dan Celine mula berbual dan berkenalan di atas kereta api dalam filem Before Sunrise. Kalau dalam konteks berbeza (menunggu kapal terbang misalnya), adakah mungkin mereka akan berkenalan?
 
Saya serahkan kepada A. Samad Said untuk menjawab. Dalam cerpennya Kereta Api ke Kuala Lumpur kita menemui situasi sama di mana seorang lelaki berkenalan dengan seorang perempuan di atas kereta api. Cerita terlebih dahulu bermula di stesen di Singapura apabila si lelaki menerima telegram mengatakan isterinya sedang sakit dalam kandungan. Ketika sedang menunggu ketibaan kereta api ke Kuala Lumpur, dia tersempak dengan seorang kawan lama. Mereka berbual panjang dan seperti biasa A. Samad Said sangat cekap mengaturkan dialognya. Dia tidaklah bermain simbol seperti Hemingway. Dialog A. Samad Said hanya sekadar berfungsi sebagai topeng suara kepada watak-wataknya. Tetapi bukankah topeng itu begitu menyakinkan? Suara kedua-dua lelaki ini memang ada gaya dan nada orang kelas bawahan yang kerja buruh bercakap.
 
Mereka naik kelas ketiga. Di hadapan mereka ada seorang perempuan yang "muda, gemuk dan gempal, perempuan itu merokok dan bibirnya merah pula. Matanya liar macam pencuri." Saya kira ini perspektif si lelaki yang bercerita dan bukan kawannya. Tanggapan kasar mana-mana lelaki yang melihat seorang perempuan ranggi, atau mungkin ia memberikan gambaran kasar kepada kita tentang pengalaman si lelaki yang bekerja di Singapura itu. Kereta api sampai di Johor dan pegawai kastam datang memeriksa bagasi. Ternyata hasil pujukan perempuan gempal itu, pegawai kastam tidak memeriksa barangnya. Kawan si pencerita memang tidak berpuas hati kerana pegawai kastam memerika barang mereka dan tidak perempuan itu.
 
Perjalanan diteruskan. Tidak lama kemudian kawan si pencerita tertidur. Lalu bermulalah babak pandang-memandang antara si pencerita dan perempuan gempal itu. Kita jangan lupa, pencerita kita ini sudah berkahwin, dan dia sedang gelisah mencari jalan untuk menegur perempuan itu. Adakah perempuan ranggi yang menghisap rokok itu sangat menggodakan buatnya? Mungkin juga, lagipun bukan senang nak duduk menghadap seorang perempuan cantik di atas kereta api. Isteri sarat mengandung di rumah pun boleh lupa. Atau mungkin pencerita kita dan perempuan itu memang bosan, lalu ia membuka jalan lagi untuk mereka mula berkenalan.
 
Kereta api terus berjalan. Mereka sama-sama membeli kopi daripada penjual yang masuk ke gerabak mereka. Wang syiling perempuan itu terjatuh dan dia bantu memungutnya. A. Samad Said menambah satu detail lucu melalui watak pasangan suami isteri yang memerhati gelagat si pencerita: "Tentulah pada hematnya saya ini seorang penjarah." Perlahan-lahan mereka mula berbual dan berkenalan:
 
"Ke mana awak?" Saya mengulangi.
"Marilah ke sini," katanya mengajak, "Saya tak dengar."
Saya datang duduk di sebelahnya lalu melanjutkan pertanyaan saya itu.
"Oo, saya hendak ke Kuala Lumpur, mak saya sakit kuat. Dan awak ke mana pula?"
"Kebetulan saya juga hendak ke Kuala Lumpur. Isteri saya sakit kuat." Saya menjawab.
"Isteri awak?"
"Ya, ya, isteri saya."
"Senasiblah kita ni," katanya.
Saya mengangguk sambil ketawa.
 
Dan cerita berakhir dengan kawan si pencerita bangun dan tercengang melihat mereka sedang berketawa. Sangat ringkas dan sangat menangkap suasana perbualan di atas kereta api. Kita boleh membayangkan kisah perselingkuhan yang akan berlaku sebaik sahaja mereka turun di Kuala Lumpur. Boleh jadi satu filem. Ada banyak lagi cerita dari bangku stesen yang saya akan kongsikan.
 
        

Comments

Dalam filem The Tourist, babak singkat dalam kereta api antara Elise Ward & Frank Tupello sepanjang perjalanan dari Gare de Lyon ke Venice juga cukup mengesankan..

Popular Posts