Berjalan Di Kuala Lumpur (Bahagian Pertama)
Menara Dewan Bahasa dan Pustaka sangat tinggi dan ikonik bagi warga Kuala Lumpur kerana kubahnya berbentuk buku dengan halaman tengah yang terbuka, dan ia juga semacam simbol kepada tradisi bahasa dan sastera di negara kita. Namun ia ada satu masalah besar: lokasinya terpencil, tidak strategik, dan ia berada di persimpangan Jalan Hang Tuah dan Jalan Maharajalela yang merupakan antara kawasan paling sibuk di Kuala Lumpur pada waktu pagi dan petang. Satu lagi masalahnya ialah pengankutan awam. Tidak ada bas yang lalu di Jalan Maharajalela kerana di kiri dan kanannya memang tidak ada bangunan komersil atau bangunan pejabat yang sibuk. Kalau Stadium Merdeka dibuka kepada warga Kuala Lumpur dan kawasan di sekitarnya dibangunkan sebagai pusat rekreasi mungkin Jalan Maharajalela akan lebih hidup dan bas awam akan mula masuk. Namun kita tengok sahaja apa yang sedang berlaku kepada Stadium Merdeka. Nasib bangunan bersejarah ini lebih parah daripada Menara Dewan Bahasa dan Pustaka; pandangan kita di Jalan Maharajalela dihalang oleh stesen Monorail; ia seolah-olah Stadium Merdeka tidak wujud lagi di ruang fikiran warga Kuala Lumpur. Ada kemungkinan tinggi kita akan melupakan Stadium Merdeka suatu hari nanti seperti mana kita sudah melupakan penjara Pudu.
Saya datang ke Dewan Bahasa dan Pustaka hampir setiap bulan kerana ia mempunyai pusat dokumentasi yang bagus. Kuala Lumpur mempunyai dua buah perpustakaan besar iaitu Perpustakaan Negara dan Perpustakaan Kuala Lumpur, tetapi ini bukan tempat anda boleh pergi untuk membuat kajian tentang sastera Melayu dan Indonesia. Anda terpaksa pergi ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Seperti saya kata tadi, mencari pengankutan awam ke sini bukan kerja mudah. Ya, ada dua buah stesen kereta api berhampirannya, tetapi anda masih perlu berjalan lebih kurang lima belas minit dari mana-mana satu stesen itu, merentas jalan raya yang sangat sibuk, bising, dan panas. Itu belum mengambil kira jumlah kos perlu dibayar untuk menaiki kereta api kalau anda tinggal di Setiawangsa seperti saya. Kadang-kadang kerana nak jimat belanja, saya menaiki LRT ke Pasar Seni, dan dari situ berjalan melalui Jalan Panggung untuk masuk ke Jalan Maharajalela. Tetapi penat berjalan kaki ini saya masih boleh terima. Benda saya paling tidak berpuas hati ialah waktu operasi pusat dokumentasi itu yang hanya dibuka pada hari kerja. Saya menulis sepenuh masa, jadi saya memang boleh datang pada bila-bila masa saya nak. Tetapi bagaimana dengan warga Kuala Lumpur yang lain? Terasing dan tersembunyi di dalam bangunan satu hal, nak datang pada hujung minggu pun tidak boleh. Satu kerugian besar memandangkan ia mempunyai koleksi buku sastera yang banyak.
Apabila saya selesai menghantar dan meminjam buku, kadang-kadang saya akan singgah sebentar di Jalan Petaling atau Jalan Panggung. Bangunan-bangunan di kawasan ini memang sudah tua dan dibiarkan sahaja tanpa ada sebarang usaha untuk memelihara nilai warisannya. Ia bukan soal cat dan simen baru semata-mata kerana nilai sebuah bangunan bukan bergantung pada kondisi fizikalnya, tetapi bagaimana ruang jalan raya di sekitarnya dimanfaatkan. Mari kita bandingkan sebentar suasana Jalan Petaling dengan suasana di atas anak tangga bangunan Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman. Kalau nak ikutnya Jalan Petaling dan Jalan Tunku Abdul Rahman sama-sama menjadi laluan utama bas pengankutan awam. Tetapi pernahkah kita nampak golongan keluarga kelas menengah berkumpul di sekitar Jalan Petaling pada hari apa-apa pun? Nak mencari pasangan kekasih atau budak-budak universiti di Jalan Petaling pun susah. Sebaliknya kalau kita pergi ke tangga bangunan Sogo pada waktu tengah hari atau lewat petang, kita akan menemui ramai orang sedang duduk di situ. Kaki limanya lebih luas, kita tidak perlu nak berhimpit-himpit dengan orang. Pencahayaan pun sederahana, terutama sekali kalau kita duduk minum di Medan Mara atau menikmati nasi padang di Capital Cafe. Jalan Petaling pula suram cahayanya kerana di mana-mana kita pergi kita akan dikepung oleh gerai dan bangunan. Hal ini diburukkan lagi oleh reputasi Jalan Petaling sebagai sarang gangster dan barang-barang tiruan. Padahal Jalan Petaling (atau Chinatown) adalah antara tempat pertama pelancong asing akan cari apabila mereka berada di Kuala Lumpur. Jadi kalau ia mempunyai nilai pelancongan yang tinggi, kenapa kawasannya dibiarkan tertutup dan kotor sebegitu?
Tetapi saya harus membuat pengakuan: kalau Jalan Petaling atau Jalan Panggung tiba-tiba dibangunkan dan menjadi Jalan Ampang yang baru, mungkin saya akan kurang berjalan di situ. Antara sebab saya masih datang ke Jalan Petaling untuk berjalan dan minum kopi ialah sifatnya yang gelandangan itu. Ia seakan-akan tidak malu untuk jujur dan membogelkan dirinya kepada semua warga Kuala Lumpur. Dan kita tidak boleh dinafikan: kejujuran ialah satu sifat yang sukar dicari di kota yang berpura-pura ingin menjadi maju dan mewah ini.
Comments