House of Leaves (Bahagian Ketiga)

 
 
Bab 9. Holloway dan rombongannya sudah semakin dalam menerjah ruang kegelapan rumah itu. Bab ini ialah bab Danielewski mengembangkan idea sebuah labirin. Dia melakukannya bukan sahaja melalui rujukan yang dibuat oleh Zampano di bahagian nota kaki, tetapi reka letak perenggan juga semakin rumit disusun dan bergeser antara satu sama lain.
 
Salah satu nota kaki menarik di sini ialah kutipan daripada kata-kata Derrida tentang pusat struktur sebuah teks:
 
"This is why classical thoughts concerning structure could say that the center is, paradoxically, within the structure and outside it. The center is at the center of the totality, and yet, since the center does not belong to the totality (is not part of the totality), the totality has its center elsewhere. The center is not the center."
 
Ibarat seorang pengkaji sastera, Holloway memburu makna dalam ruang kegelapan tanpa batas itu. Ia menjadi sangat sukar dan mencabar kerana dia masih tidak dapat membayangkan apakah rangka luaran tempat ini. Dia tahu ruang ini bukan lagi sebuah rumah dan ruang ini bukan pusat graviti rumah tersebut. Sementara kita sebagai pemerhati di lapisan paling atas, mengetahui rangka luaran ruang ini, tetapi menghadapi masalah untuk memahami bahagian dalamannya. Holloway akan sentiasa berada di tingkat paling bawah teks, dan kita masih mengejarnya dari tangga tingkat paling atas.
 
Kalau kita dapat masuk ke dalam rumah fikiran watak-watak Edgar Allan Poe, barangkali, ruang dalamannya adalah seperti yang terdapat dalam rakaman The Navidson Record. Fikiran manusia sentiasa menghimpit dan menekan dan mengubah ruang memorinya. Tangga sepuluh tahun lalu diruntuhkan dan digantikan dengan tembok dan pintu-pintu di tingkat dua mengecil menjadi jendela kepada sebuah kamar yang masih terang-benderang cahaya dindingnya. Fikiran manusia adalah sebuah labirin, atau kita boleh juga kata ia sama dengan Gua Mulu di Sarawak seperti yang dijelaskan oleh Zampano dalam nota kaki 159:
 
"So the trio marched out into the dark expanse, maintaining a compass course through a maze of blocks and boulders until they reached a level, sandy plain, the signature of an underground chamber. The sudden awareness of the immensity of the black void caused one of the cavers to suffer an acute attack of agoraphobia, the fear of open spaces. None of three would later reveal who panicked, since silence on such matters is an unwritten law among cavers."
 
  

Comments

Popular Posts