House of Leaves (Bahagian Kedua)

Nota kaki Johnny Truant
 
Setelah berjalan-jalan di dalam House of Leaves sehingga ke bab empat, kita akan mendapati rumah ini mempunyai banyak lapisan. Lebih tepat: ia adalah rumah di dalam rumah.
 
Pertama, di peringkat atas sekali, kita ada rumah fizikal yang ditulis oleh Mark Z. Danielewski berjudul House of Leaves. Sebagaimana dijelaskan oleh Gaston Bachelard, rumah bukan sekadar pengalaman harian, tetapi rumah mengandungi naratif; memori mengandungi naratif. Kita sentiasa menulis novel di dalam sebuah rumah. Justeru perubahan tanda baca, perubahan topografi perkataan, perubahan ruang antara bab dan ruang antara kalimat yang berlaku dari halaman ke halaman ialah perubahan di dalam novel Danielewski. Apabila rumah berubah, sensualiti dan imaginasi kita juga terpaksa menyesuaikan diri.
 
Kedua, dokumentari berjudul The Navidson Record. Video yang dirakamkan oleh Navidson tidak pernah datang secara langsung kepada kita kerana setiap satu detail dan naratif daripada video itu hanya diceritakan semula dan diberikan komentar oleh Zampano. Aneh juga bagaimana kajian terperinci ini boleh dibuat oleh seorang lelaki buta. Selain mengumpul, mengkaji, dan membuat analisa terhadap bahan cerita paranormal, dia juga mesti mempunyai bakat sebagai pencerita. Kalau tidak mana mungkin Johnny Truant boleh menjadi gila dengan kerja yang ditinggalkan Zampano. Walaupun lapisan atau rumah kedua ini merupakan dokumentari, ia tidak rasa seperti sebuah filem, tetapi lebih kepada himpunan foto di dalam sebuah album. Navidson sendiri dikatakan seorang juru gambar berpengalaman; maka dia tidak melakukan rakaman rambang tentang kehidupan keluarganya di sebuah rumah baru. Sebaliknya dia memilih dan menyusun imej-imej paling bermakna.
 
Ketiga, bahan kajian Zampano. Pada peringkat awal Truant menggambarkan barang-barang Zampano sebagai timbunan sampah. Memori apabila sudah terpisah jauh daripada rumah memang akan menjadi objek terbuang. Kita boleh mengkaji dan memberikan komentar terhadap memori tersebut, tetapi jalinan naratifnya akan sentiasa terputus. Seorang pengarang biografi akan berusaha keras untuk menjahitkan semula jalinan memori yang terputus. Tetapi Danielewski bukan tukang jahit. Dia lebih mirip kepada seorang arkitek yang ingin membangunkan sebuah rumah daripada runtuhan memori manusia, seperti mana yang cuba dilakukan oleh Truant dengan himpunan kerja Zampano.

Keempat, nota kaki Johnny Truant. Satu kajian asing boleh dibuat tentang kehidupan peribadi Truant dan bagaimana nota kakinya menceroboh ke dalam ruang kajian Zampano sehingga nota kaki Zampano menjadi tidak relevan. Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi rumah di lapisan kedua iaitu The Navidson Record. Ada waktu nota kaki Truant sangat mendominasi ruang putih kertas sehingga kita jadi lupa sekejap akan dokumentari Navidson dan kajian Zampano. Ia seolah-olah Truant sedang cuba menghalang rumah-rumah di lapisan atas menenggelamkan rumah peribadinya.
 
Kelima, rumah fikiran pembaca. Ini rumah paling sukar dikawal oleh Danielewski kerana seorang pengarang tidak akan pernah dapat membayangkan rupa bentuknya. Seperti rumah berhantu yang dihuni oleh Navidson, rumah seorang pembaca juga berhantu kerana dia sentiasi mengisinya dengan hantu atau bayangan daripada memori orang lain.
 
Setakat yang sudah baca, saya tertarik dengan nukilan kata-kata yang dikutip dan dimasukkan ke dalam novel ini. Ada kata-kata daripada Dante, Shelley, Rilke, dan Heidegger. Zampano memulakan setiap bab dengan nukilan kata-kata oleh seseorang. Ini menunjukkan Zampano bukan sahaja pengarang yang bagus, tetapi juga seorang intelektual. Di tangan orang lain The Navidson Record akan menjadi bahan tabloid atau sumber untuk membuat filem seram. Namun buat Zampano ia menjadi pintu masuk ke dalam fikirannya sendiri. Kita tahu Zampano telah tersesat di situ seperti mana seorang pembaca akan tersesat dalam sebuah buku. Di manakah jalan keluar buat Zampano? Di manakah jalan keluar buat kita sebagai pembaca?
 
(bersambung)
 
 

Comments

Popular Posts