Sastera, Politik, dan Kuasa

Saudara Lutfi, anda bertanya tentang hubungan sastera dengan politik dan kuasa. Ini satu persoalan yang menarik dan kadang-kadang terlepas pandang oleh para sasterawan dan kritikus. Hakikatnya sdr Lutfi, sastera dan politik tidak boleh dipisahkan. Sastera itu sendiri adalah politik kerana kita menulis untuk mempengaruhi orang lain tentang ideologi dan prinsip yang kita perjuangkan. Dan sastera itu sendiri, yang sama ada kita sedar atau tidak, sebenarnya bersandar pada politik sebagai sumber kritikannya. Ernst Bloch ada menyebut bahawa kesusasteraan ialah letupan gunung berapi politik sesuatu zaman.

Sastera dicipta untuk kemanusiaan. Tidak ada sasterawan agung yang menulis demi kepuasan diri semata-mata. Sedikit sebanyak apa yang ditulisnya pasti ada sumbangan penting kepada manusia dalam konteks aspirasi seni kehidupan. Saya sebenarnya tidak suka dengan slogan ASAS 50 iaitu "sastera untuk masyarakat," kerana sastera itu bukan alat yang diukir atas kehendak masyarakat atau mana-mana parti politik. Ia sebenarnya merupakan alat seorang seniman yang diukir oleh seniman itu sendiri demi kebaikkan manusia sejagat. Dan matlamat penulisannya tidak boleh dibatasi oleh kehendak masyarakat semata-mata kerana sebagai pemikir dan pujangga bahasa dia harus menulis apa yang terbaik untuk masyarakat, bukan sebaliknya. Selain itu, konsep sastera sebagai "cermin masyarakat" yang pernah diperjuangkan oleh puak Marxis seperti Lukacs dan para sasterawan realisme sosial seperti Kassim Ahmad, sudah tidak relevan dalam konteks dunia hari ini.

Kita sekarang berada dalam zaman pascamodenisme. Kuasa politik tidak lagi berada di tangan pemerintah atau pihak kapitalis sahaja. Kuasa kini menjadi milik jagoan wacana sosial. Kita sangka Presiden Amerika sebagai orang paling berkuasa di dunia, tetapi hakikatnya wacana Barat itu sendiri yang lebih berkuasa. Televisyen, filem, radio, iklan, pakaian, kenderaan dll yang datang dari Barat turut membawa ideologi mereka bersama. Kita melihat iklan Barat lebih daripada kita mendengar ucapan retorik Presiden Bush. Jadi siapa yang lebih berkuasa? Presiden atau wacana-wacana Barat yang berada di kakinya? Sebagai orang Islam, kita tahu Islam itu agama yang membawa kesejahteraan kepada seluruh alam. Tetapi apabila kita mencerminkan diri dengan media, kita melihat wajah-wajah bengis yang suka bom sana bom sini, bunuh orang, dan menindas wanita. Siapa yang membawa imej-imej palsu atau perspektif yang "bias" ini? Media Barat, bukan Presiden Bush itu sendiri. Sesiapa yang menguasai wacana global akan menguasai dunia secara tidak langsung, kerana suara pihak yang dijajah akan disenyapkan. Inilah dilema pascamodenisme yang dihadapi oleh umat Islam. Saya tidak melihat pascamodenisme sebagai falsafah dikonstruksi seperti yang diperjuangkan oleh Derrida dan pengikutnya. Saya lebih cenderung melihatnya sebagai dilema sosial/politik yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam.

Sebagai kesimpulan, saya sekali lagi menegaskan bahawa sastera dan politik tidak boleh dipisahkan. Seorang penulis pada zaman sekarang mestilah peka dengan suasana politik dan mempunyai ideologi perjuangan yang kuat. Dia tidak boleh jadi penulis "YES" (istilah yang diguna oleh seorang penulis kita) yang hanya tahu tulis benda-benda baik sahaja. Kita mungkin tinggal dalam sebuah "negara Islam," tapi itu tidak bermakna semua benda yang berada di sekeliling kita juga Islamik sifatnya. Kita tidak tinggal dalam utopia atau distopia, kita tidak tinggal dalam syurga atau neraka, tetapi kita tinggal dalam realiti dan realiti itu hitam putih sifatnya. Dan dalam era pascamodenisme ini, garisan antara hitam dan putih itu sudah tidak jelas. Masing-masing meletakkan garis mereka sesuka-hati.

Comments

lutfi said…
salam sdr Azriq. Memang betul. Politik sangat akrab dan rapat, khasnya apabila kita menginterpretasikannya sebagai 'pengurusan kuasa'. Apa yang saudara ajukan tentang wacana barat itu memang benar. Sebab itu, Edward Said, pernah menyatakan perlunya intelektual Muslim dan Timur khasnya - belayar ke dalam - untuk memberikan satu alternatif dalam dominasi dan penjajahan kebudyaan Barat. Malah, hal ini pernah dilakukan oleh Hasaan hanafi, dengan dunia oksidentalisnya.
Yang menjadi persoalan di sini, kadang-kadang untuk belayar ke dalam, kita seharusnya mempunyai daya dan kemampuan intelektual kita sendiri. Hal ini harus ditampung oleh pelbagai ilmuwan. Namun, dalam masa yang sama, anylitical tools yang kita gunakan, masih berkonsepkan barat. Sebagai contoh, inti kepada dunia pasca modenisme itu sendiri, saya rasa sangat berlawanan dengan Islam. Lebih-lebih lagi apabila pascamodenisme melihat tidak adanya kebenaran, yang ada hanyalah intertpretasi. Hal ini, jika dihalusi, akan melempar kita ke lembah ragu-ragu, seperti yang pernah berlaku dan bertakhta dalam dunia falsafah yang diungguli oleh dolongan sophist itu.
Apapun, teruskan usaha saudara. Dunia sastera kita memang memerlukan anak muda macam saudara. salam wacana
Wan Nor Azriq said…
salam sdr Lutfi,saya setuju dengan pendapat sdr tentang saranan edward said agar negara-negara bekas kolonial membina jati diri mereka sendiri,dan memberikan alternatif kepada hegemoni kuasa Barat.Dan untuk mencapai objektif itu,kita mestilah kembali kepada ajaran Islam dan kebudayaan bangsa sendiri.

Tentang kehadiran pascamodenisme itu kita haruslah terlebih dahulu memahami tujuan asal kewujudannya.Ia merupakan reaksi kepada manusia zaman moden yang terlalu mengagungkan kebenaran rasional.Kesan daripada keangkuhan mereka itu telah melahirkan ideologi-ideologi besar (atau metanaratif) seperti Marxisme dan Fasisme yang mengheret manusia ke Perang Dunia Kedua.Maka,mengikut fahaman pasacamodenisme,tidak ada lagi kebenaran mutlak yang dicipta oleh rasionaliti manusia.Semua kebenaran yang dicipta oleh manusia terbuka kepada tafsiran umum.Dan ini sebenarnya ada kebaikkan yang kita boleh ambil kerana kalau kita perhatikan iklan-iklan yang ada sekarang,banyak makna-makna tersirat yang sengaja disembunyikan oleh pihak media untuk tujuan mengaut keuntungan.

Namun,ilmu apapun yang dicipta oleh manusia pasti ada kelemahannya.Bukan sahaja pascamodenisme,tapi juga ilmu-ilmu lain.Cuba lihat ilmu sains,walaupun ia membawa banyak kebaikkan (dengan pendekatan Islam dan bukan Islam) tapi keburukkan tetap ada sehingga kadang-kadang membawa kepada peperangan dan kesengsaraan.Maka,apa yang penting ialah memastikan setiap ilmu yang kita terima itu ditunjangi oleh ajaran Islam.Dan hanya kerana sesuatu ilmu itu dicipta oleh Barat,itu tidak bermakna kita harus menolaknya bulat-bulat.Ambillah yang baik dan buang yang buruk.
fadz said…
azriq, andalah org pertama yang saya jumpa yang menulis dgn matang sekali dan dgn objektif sekali akan satu-satu hal, dan saya setuju habis dgn pandangan saudara, malah idea begini yang banyak dicambah oleh para ulamak di pesanteren Indonesia seperti di Limboyo (tidak melihat pada satu2 perkara dgn selektif tetapi melakukan sintaksis yang teliti) dan bukan, maaf, bukan di Malaysia. Halnya akan pascamoden yg saudara keutarakan itu sungguh jelas, sehinggakan, jika berlaku pergolakan akan hal anti-pascamoden, saya boleh rujuk pada entri ini saja sebagai satu pemahaman tambahan. Pemikiran beginilah yg kita mahu,dan pemikiran beginilah yg sebenarnya diwar-warkan oleh Edward Said, mutlak tapi tetap melihat segalanya dengan hemah dan holistik. Terima kasih dgn pandangan ini.

Buat saya, yg sentiasa melihat realiti itu dalam kelabu..:)
Wan Nor Azriq said…
Terima kasih fadz atas pendapat anda.Saya masih baru dalam dunia sastera dan akademik ini.Maka,pendapat yang saya berikan mungkin tidak disenangi pihak tertentu.Sebarang betuk teguran atau saranan adalah sangat dihargai.

Ilmu milik semua individu dan setiap individu menjadi pelengkap kepada individu yang lain.

Popular Posts