K

Apabila pembaca masuk ke dalam dunia Franz Kafka mereka akan terperangkap (seperti K, Joseph K, Gregore Samsa, dan watak-watak Kafka yang lain) dalam jaringan kuasa kehidupan yang tidak menyediakan jalan keluar. Kalau dalam dunia Borges kita sesat dalam labyrinth dan perpustakaan yang besar; maka dalam dunia Kafka kita akan sesat dalam makhamah (The Trial), istana (The Castle), dan terperangkap dalam bilik (The Metamorphosis) atau sangkar sarkas (The Hunger Artist). Pembaca yang ingin membaca Kafka, mestilah bersedia untuk diterjah neurosis mereka kerana Kafka akan memerangkap anda dalan dunianya sehingga kita akan tertanya-tanya, ada jalan keluarkah daripada dunia moden (atau pascamoden) ini yang mengasingkan manusia tanpa sebarang sebab dan penyelesaian?

Dalam buku berjudul K (gambar di sebelah), Roberto Calasso membincangkan dengan detail dunia yang dicipta oleh Franz Kafka. Pokok perbincangannya tertumpu pada watak K (dan Joseph K) yang muncul dalam novel The Trial dan The Castle. Calasso dalam buku ini telah mengupas setiap babak dan watak dalam dua buah novel ini dengan gigih seolah-olah dia sedang mencari makna sebuah lukisan abstrak. Dunia Kafka bukanlah dunia abstrak seperti yang kita temui dalam cerpen Zaen Kasturi atau Marsli N.O. Kafka memberikan kita watak-watak yang real, tapi latar masyrakatnya yang aneh dan abstrak. Dalam novel The Castle, misalnya, kita dilontar ke sebuah kampung yang sangat aneh budayanya. Agama di kampung ini hanya wujud secara kasar seolah-olah tidak wujud langsung. Semua kehidupan penduduk di situ terikat kepada kuasa mereka yang berada di dalam Istana. Dan seperti dalam The Trial, kita tidak tahu siapa sebenarnya yang berkuasa dalam institusi itu. Semakin dalam K masuk ke dalamnya, semakin sesat dia menjadi. Atau dalam kata lain, semakin tinggi K memanjat tangga kekuasaan masyarakat semakin jauh dia daripada kebenaran.

Siapa sebenarnya watak bernama K? Persoalan ini turut dibincangkan oleh Roberto Calasso. Baginya, K dan Joseph K itu adalah watak yang sama. Joseph K menerima hukuman dalam The Trial. Kemudian K menerima jemputan dalam The Castle. Tapi dalam kedua-dua novel, watak K tidak tahu motif sebenar peristiwa yang menimpa hidupnya. Dalam The Trial, Joseph K ditangkap tanpa sebab dan sehingga akhir cerita, dia tidak tahu kenapa dia ditangkap. K mungkin boleh diatafsir sebagai Franz Kafka sendiri. Roberto Calasso menyebut dalam bukunya bahawa watak K ini tidak digemari oleh Franz Kafka sendiri:

"I find Ks ugly, almost repugnant, and yet I keep on writing them; they must be very characteristic of myself."

K mungkin juga mewakili manusia moden yang terperangkap dalam karenah birokrasi, permainan politik pihak yang berkuasa, penindasan golongan atasan, dan mangsa dunia moden yang tidak boleh dibezakan lagi antara yang benar dan illusi. Franz Kafka sememangnya penulis yang original dan membaca karya-karyanya mengingatkan kita kegelapan yang menyelimuti dunia moden yang sekular.

Comments

Salam,Sabtu ni tentu pergi DBP, kan? Teringin nak pergi tapi Jumaat exam sampai pukul tujuh, tak sempat nak pergi. Selamat berdiskusi.
Wan Nor Azriq said…
Salam jamilah,tak pe.Pada masa depan akan ada diskusi lagi.Semoga berjaya dalam exam.

Popular Posts