Kembali Ke Kota Desa

Saya telah tinggalkan kota raya, dan kembali ke kota desa. Bandar Alor Star kian berubah setiap kali hati saya berjalan berpegang tangan dengan kenangan masa remaja. Kenangan lama hanya dapat saya simpan dalam kamar bahasa yang dibina oleh kesenian sang pena.

Kepulangan saya bukan dengan tangan kosong. Saya turut membawa beberapa buah buku sebagai teman di waktu lapang:

  • Salju Shibuya oleh Muhammad Haji Salleh
  • Selected Poems of Emily Dickinson
  • Leaves of Grass oleh Walt Whitman
  • A Pocket Guide to Shakpeares' Plays oleh Kenneth McLeish
  • Metodologi Penilitian Sastra oleh Suwardi Endraswara
  • Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman oleh Anwar Ridhwan
  • Bila Nysrah Kata Tak Mahu oleh Aidil Khalid
  • Sosok Peribadi dalam Sajak oleh Subagio Sastrowardoyo
  • Crime and Punishment oleh Fyodor Dostoyevsky
  • Eksistensi Manusia oleh Prof. Dr. Bayraktar Bayrakli

Ada buku yang saya sudah baca, tetapi sahaja dibaca sekali lagi. Leaves of Grass saya bawa pulang bersama kerana ingin menjiwai keindahan alam yang digambarkan oleh Whitman melalui baris-baris puisinya. Puisinya sangatlah panjang (bahagian pertama, Song of Myself, mempunyai 1337 baris) tapi kita tidak bosan membacanya. Renungan Whitman terhadap alam sekelilingnya tajam, dan kadang-kadang pemikiran dia itu agak berbeza dengan masyarakat Amerika sekarang yang menyanjung kebebasan individu. Dia lebih menyerupai pemikiran Zen Buddhisme yang mengajak manusia bersatu dengan alam. Menurut Harold Bloom, dua orang penyair paling asli di Amerika ialah Walt Whitman dan Emily Dickinson. Penyair-penyair selepas mereka seperti Robert Frost, Hart Crane, dan Ezra Pound nampaknya masih terpengaruh dengan puisi Inggeris.

Ada juga buku dalam senarai di atas yang baru sahaja dibeli. Novel Aidil, misalnya, baru sangat dibeli dan saya belum mula membacanya. Saya harap novel ini akan habis dibaca sebelum saya pulang ke KL. Buku Eksistensi Manusia dan Metodologi Penilitian Sastra dibeli di Fajar Ilmu Baru, Masjid India, bersama dua rakan penulis iaitu Zulfazlan Jumrah dan Hazwan. Zul membeli kumpulan puisi Kahlil Gibran terjemahan Indonesia. Dia ingin beli Saudagar Besar dari Kuala Lumpur karya Keris Mas tapi malang sekali kami tidak jumpa buku itu.

Novel yang saya telah selesai membaca ialah Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman karya Anwar Ridhwan. Dan saya amat kecewa setelah membacanya. Kehebatan Anwar sebagai cerpenis tidak terpancar pada novel ini. Saya akan kongsi dengan pembaca pengalaman membaca novel ini pada blog akan datang.

Sebagai penutup, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Aidil Khalid kerana telah berjaya melancarkan novel pertamanya. Bagi mereka yang terlepas pelancaran novelnya di Petaling Jaya, silalah datang ke Majlis Diskusi Minggu Penulis Remaja di DBP pada 2 Ogos ini.


Comments

fadz said…
wah, samalah kita, saya pun tidak berapa suka dengan pengakhiran Hari2 Terkahir Seorang Seniman.
Wan Nor Azriq said…
Salam fadz

Ya ke,bolehlah kita bincang bila saya post artikel tentang novel tu.

Popular Posts