Menemui Cinta Sejati
BUNGA
Bunga di atas batu
Dibakar sepi
Mengutas indera
Ia menanti
Bunga di atas batu
Dibakar sepi
Penemuan diri ialah kemuncak pengalaman hidup manusia. Realiti kehidupan ini bukan gambar kaku yang bersifat universal, tetapi ia adalah aliran kreatif yang berterusan yang membawa pelbagai rahsia kehidupan di dalamnya. Intelektual manusia hanya mampu memecahkan rahsia-rahsia ini ke dalam komponen-komponen kecil, ia tidak mampu memberi kekuatan kepada diri (atau ego) untuk mencapai tahap kesempurnaan individu (insan kamil). Hanya cinta (intuisi) yang mampu mengikat segala rahsia kehidupan dan memberi kekuatan kepada manusia. Maka, eksistensi manusia ialah membina kekuatan diri yang terlebih dahulu mestilah bermula dengan menjadi individu yang sejati. Perbincangan saya akan mengajak pembaca melihat puisi Sitor Situmorang di atas dari kaca mata eksistensialisme.
Menurut Agus R. Sarjono, puisi-puisi Sitor Situmorang "berkisar di antara cinta, pemandangan dan renungan tentang alam, maut, rasa iseng dan kesunyian." Dalam buku berjudul Sosok Peribadi dalam Sajak, Subagio Sastrowardoyo menyatakan bahawa Sitor dipengaruhi oleh aliran simbolisme Perancis, dan juga aliran eksistensialisme. Penggunaan simbol ini memang kita boleh perhatikan dalam kebanyakkan puisinya seperti Bunga, Mawar, Paris Novembre, Surat Hijau, Anak, dll. Simbol yang sangat digemari oleh Sitor ialah bunga yang memberikan kita konsep abstrak seperti cinta, kasih, gembira, alam, dan mungkin juga kasih Tuhan. Dan apabila simbol ini diasosasikan dengan objek-objek lain, maka kita mendapat makna yang baru dan berlapis-lapis. Dalam puisi Bunga, misalnya, simbol bunga itu telah diasosasikan dengan batu iaitu objek keras, kaku, dan tidak indah. Maka, makna yang dibawa oleh bunga itu tidak lagi terhad kepada konsep cinta; ia boleh dikembangkan kepada makna kehidupan yang lebih besar.
Manusia berasa sepi apabila dia merindui rasa cinta. Tanpa cinta, manusia tidak mempunyai kekuatan bagi membimbing hidupnya menuju kepada kesempurnaan diri. Menurut Muhammad Iqbal, menjadi insan kamil (atau manusia sempurna) menjadi matlamat diri manusia yang sentiasa rindukan cinta Illahi. Namun, manusia mestilah dahulu menemui cinta itu dalam dirinya. Maka, ia harus berusaha menjadi individu sejati, bukan makhluk sosial yang hidup seperti biawak yang menukar-nukar kulitnya bagi memenuhi tuntutan sosial. Dalam puisi Bunga, Sitor memberitahu kita bahawa cinta (bunga) itu memang sudah ada dalam diri kita. Bunga yang dilihatnya dalam realiti hanyalah manifestasi perasaan cinta yang memang sudah tertanam di dasar hatinya. Tetapi cinta itu tidak dirasai oleh intuisinya kerana dirinya tidak hidup. Dirinya hanya batu yang tidak bernyawa. Seperti kebanyakkan manusia moden, dirinya bergerak di atas dunia ini dengan perasaan yang kosong kerana manusia itu sering mengharapkan cinta dari luar. Akibatnya, mereka menafikan kewujudan diri mereka bagi mendapatkan cinta yang tidak kekal.
Kesepian yang membakar batu itu ialah rasa rindu pada cinta yang sejati, iaitu cinta kepada Tuhan. Rasa sepi itu ingin memecahkan batu yang selama ini mengurung diri daripada menjadi makhluk yang hidup, makhluk yang akan menjadi dirinya sendiri, dan makhluk yang akan berusaha menjadi manusia sempurna. Hanya apabila batu telah pecah, maka manusia akan menumui cinta sejati dalam dirinya.
Comments