Subjektif

Pengalaman seni sememangnya subjektif. Apabila kita membaca karya sastera, kita melihat sebuah lukisan, atau menonton filem, pengalaman setiap orang berbeza. Di kalangan orang sastera juga sama. Lain penulis lain citarasanya. Ada karya apabila dia selesai membaca, dia akan rasa emosi, intelektual, dan rohaninya (ini yang paling sukar) diangkat ke tahap yang lebih tinggi berbanding sebelum dia membaca karya itu. Tapi bukan semua karya sastera akan memberi kesan begitu. Dunia seni sememangnya dunia yang memberi ruang kepada keunikkan individu.

Apakah antara soalan yang selalu ditanya kepada seorang penulis?

"Macam mana anda dapat idea untuk cerita ini?"

"Macam mana anda dapat inspirasi?"

Ada penulis yang akan jawab dengan senang hati. Dan ada juga yang tidak suka membincangkan karyanya. Bagi golongan kedua ini mereka ingin karya itu dilengkapkan oleh pembaca. Ada juga yang sanggup mengasingkan kehidupan mereka daripada mata masyarakat sehingga wajah mereka tidak dikenali oleh pihak media. Di Amerika, Thomas Pychon mengasingkan dirinya dan jarang sekali muncul dalam masyarakat. Maka, novel-novelnya yang pascamoden itu memang terserah kepada tafsiran pembaca.

Kedua-dua golongan di atas mempunyai satu persamaan: mereka tidak suka karya mereka dikritik. Siapa yang suka kan? Adalah lebih mudah melihat kelemahan orang lain daripada melihat kelemahan diri kita. Kenapa orang seni selalu sensitif? Jawapannya mudah sahaja: seni dan ego itu lahir daripada perut yang sama. Seni dan ego sangat erat dalam diri seorang penulis. Mereka (termasuk saya) tidak mudah menerima krtikan. Pujian itu yang selalu mudah didengar walaupun pujian itu kadang-kadang topeng yang dipakai untuk menutupi wajah sebanar. Krtikan itu bagi saya sangat penting bagi perkembangan bakat seorang penulis. Namun, itu tidak bermakna dia harus menerima semua kritikan yang diberi kepadanya. Bukan semua kritikan yang orang beri itu tepat atau jujur. Mungkin waktu orang itu membaca karya kita, dia tengah marah dengan kucingnya atau mungkin dia baru habis dating dengan pacarnya lalu karya kita yang mungkin tak romantik sangat itu terus dilihat sebagai novel cinta yang hebat.

Saya sendiri tidak kisah menerima kritikan. Pada mulanya mungkin rasa pedas, tapi di sebalik kepedasan itu ada pengajaran yang boleh dipelajari. Dan saya juga suka memberi krtikan terhadap karya orang lain. Saya akui kadang-kadang memang susah nak kawal emosi apabila memberi kritkan. Maka, akan ada kritikan yang bunyi kasar terutama sekali terhadap karya yang saya lihat tidak bagus dan tidak memenuhi standard peribadi saya. Para pembaca yang bijaksana, izikanlah saya nyatakan di sini bahawa tidak ada krtikan yang objektif. Para kritikus sastera sering menyebut bahawa krtikan itu mesti objektif dan tidak bias. Hakikatnya, setiap kritikus mempunyai standard dia yang tersendiri. Apabila dia menulis krtikan secara objektif, dia hanya menyembunyikan dirinya di belakang tirai bahasa. Bagaimana dengan teori sastera? Orang sangka teori sastera itu objektif sifatnya. Tapi semua teori itu asalnya dicipta oleh individu tertentu, yang mempunyai ideologi tertentu. Maka, teori sastera juga subjektif sifat azalinya. Sebab itulah para krtikus selalu dikecam oleh para sasterawan dan khalayak sastera yang melihat mereka sebagi buta seni atau prejudis. Kita sangka mereka memberi krtikan objektif yang harus diterima oleh semua orang. Tapi hakikatnya bukan begitu; mereka juga seperti orang lain. Krtikan mereka hanya pendapat peribadi seperti penulis dan pembaca.

Jadi kalau semuanya subjektif, perlukah kita dengar pendapat orang lain? Ya perlu, kerana kesempurnaan manusia itu bergantung kepada hubungannya dengan orang lain. Kita adalah makhluk tidak sempurna yang tinggal dalam dunia yang tidak sempurna. Kita saling melengkapi. Khalayak sastera perlukan sasterawan kerana ada banyak perkara dalam hidup ini yang mereka terlepas pandang atau tidak ambil kisah. Sasterawan perlukan kritikus kerana karya sastera itu perlu dilihat daripada pelbagai perspektif agar ia menjadi objek kreatif yang dinamik. Dunia seni ini adalah dunia yang subjektif. Tidak ada yang muktamad. Setiap genre seni itu mempunyai kelemahan dan kekuatan masing-masing. Dan setiap seniman akan pilih genre seni yang dia dapat menggunakan bakatnya sebaik mungkin. Ada seni yang lebih baik daripada seni yang lain? Jawapannya: tidak ada siapa yang tahu. Semua orang ada pendapatnya. Dan semuanya subjektif.

Comments

Sarah said…
...dan setiap karya sebenarnya tak pernah siap. kritikan memanjangkan hayat sesebuah karya seni, seperti sepohon pokok yang membesar dan rendang...

Popular Posts