Bacaan Terbaik 2023: Pengenalan


Adakah blog masih relevan sebagai sebuah medium? Dari sudut SEO, blog adalah antara cara terbaik untuk menambahkan kata kunci lalu meningkatkan trafik pengunjung ke laman web anda. Maksudnya artikel panjang mempunyai tempoh hayat lebih lama di alam digital berbanding status ringkas di media sosial. Namun blog saya, Kritikus Sastera, adalah sebuah pulau; ia bukan sebahagian daripada sebuah laman web. Justeru saya tidak pasti apakah SEO sebuah laman blogspot apabila ada orang mencari (jika ada orang mencari) kata kunci berkaitan sastera dan penulisan. Setahu saya, blogger buku pertama England, Stephen Mitchelmore masih menggunakan blogspot This Space. Kalau bukan kerana blog beliau, saya tidak akan menemui pengarang seperti Lars Iyer, Blanchot, dan Thomas Glavinic. Pembacaan adalah penyakit berjangkit. Kekaguman seorang pembaca berpontensi menjadi sumber kegilaan pembaca lain. 

Kenapa saya ingin kongsi buku apa saya baca setiap tahun? Adakah ia terlalu penting sehingga saya perlu umumkan kepada seluruh dunia? Saya percaya ia tidak penting untuk sesiapa pun; namun ia sangat penting dan menyeronokkan untuk saya. Seperti budak baru mendapat mainan hari jadi, saya tidak sabar untuk membawanya ke padang permaian. Akhirnya, itu benda paling asas yang kita boleh lakukan sebagai penulis dan pembaca: berkongsi berita gembira dan semoga berita itu akan tolong membuat hidup orang lain lebih seronok dan bahagia. 

Tahun ini saya ingin cuba benda berbeza. Sebenarnya, ada banyak jenis content saya pernah cuba di blog ini, dan disebabkan faktor-faktor tertentu, saya sering gagal menyempurnakan projek tersebut. Tapi apa salahnya mencuba? Mungkin ia akan membuka ruang baru, dan kita boleh sama-sama menikmati dan bermain dengan idea tersebut. Seperti biasa, saya akan kongsi novel-novel terbaik saya telah baca sepanjang tahun. Dan seperti biasa, saya perlu mengingatkan pembaca bahawa pilihan saya tidak tertakluk pada tahun sebuah buku diterbitkan. Maka "terbaik" di sini merujuk kepada pengalaman pembacaan terbaik sepanjang sesuatu tahun, dan bukannya buku terbaik yang terbit pada tahun itu.  

Semenjak menjadi pengguna tegar platform Scribd dan Perlego, kadar pembacaan saya meningkat, dan bahan bacaan saya bertambah rencam. Saya kini boleh mengikuti dengan lebih aktif artikel majalah, jurnal, buku biografi, falsafah, dan kritikan sastera. Maka kenapa nak membataskan senarai terbaik saya hanya pada genre novel? Saya patut berkongsi juga senarai buku terbaik saya baca pada tahun 2023. Ini merangkumi buku falsafah, kritikan, esei, komik, dan apa-apa sahaja. Kemudian saya terfikir juga, kenapa tidak kongsi juga aplikasi, kedia makan, affogato, atau permainan terbaik? Tidak ada kaitan dengan sastera secara langsung, namun ada kaitan tidak langsung dengan memori dan peribadi saya secara keseluruhan. Kita tengoklah nanti sejauh mana saya boleh pergi. 

Bagi kategori wajib (novel dan buku terbaik) saya akan kongsi secara berkala. Lebih mudah dan lebih fleksibel berbanding longgok kesemuanya dalam satu post. Dalam masa terdekat saya akan kongsi novel kesepuluh dalam senarai saya iaitu 24 Jam Bersama Gaspar karangan novelis muda Indonesia, Sabda Armandio. Nantikan! 

    

Comments

iamSil said…
Suka betul dengan penulisan tuan! Semoga tuan boleh teruskan menulis dengan gaya tuan yang tersendiri.

Popular Posts