Novel Terbaik 2023 (No-10): 24 Jam Bersama Gaspar
Google sekarang telah menggunakan AI dalam sistem pencariannya. Ia masih di peringkat eksperimen, namun Google nampaknya sedang perlahan-lahan masuk ke dalam perlumbaan revolusi AI. Setakat ini, Preplexity menawarkan enjin pencarian AI yang paling canggih. Kita tidak sekadar mendapat gumpalan maklumat; kita menerima penjelasan dan sumber kepada maklumat tersebut. Dalam dunia digital, perubahan dan revolusi boleh berlaku dalam jarak waktu yang sangat singkat. Namun di manakah genre novel? Jarak di antara kemunculan Cantik Itu Luka dan 24 Jam Bersama Gaspar terasa begitu jauh dan perlahan. Sastera ialah teknologi purba apabila diletak bersebelahan ChatGPT, Runway, dan Midjourney.
Kita membaca novel Sabda Armandio seolah menanti kiraan menuju sebuah peristiwa getir. Ibarat menonton filem High Noon atau Baby Driver. Sabda tidak memberi jalan mudah kepada pembacanya. Ada banyak penyimpangan - cerita dalam cerita - dan simpang dan tempat-tempat yang pembaca perlu berhenti bersama Gaspar. Teman rompakan perlu dipujuk; motif rompakan perlu direnung dan diperdebatkan. Sebagai sebuah novel yang canggih dari segi permainan naratif dan struktur pemceritaan, novel Sabda tidak pernah membosankan kita.
Namun, di sebalik segala humor dan permainan yang novel ini tawarkan, ke mana ia ingin membawa kita? Sepanjang membacanya, itu saya fikir dan nantikan. Kita faham Gaspar ingin merompak bersama motornya Cortazar, tapi kenapa kita sebagai pembaca perlu ikut? Apa pentingnya kotak hitam itu kepada kita? Sepanjang membacanya, saya mencari jawapan, dan sehingga akhir saya tidak menemui apa-apa kecuali rasa kosong.
Comments