Terkurung dalam Hujan Rudi Mahmood
Tetapi kenapa saya menyalakan batang mancis itu kalau saya akhirnya akan membiarkan ia terpadam? Mungkin saya ingin dikecewakan. Mungkin saya mencari pisau dan epal. Mungkin saya sedang membaca luka di telapak tangan. Mungkin saya takut keseorangan di dalam sebuah rumah. Tidak ada puisi yang boleh memberikan jawapan. Kita hanya boleh melihat seorang penyair bermain api lalu membakar dirinya menjadi abu.
Puisi lirik memerlukan penonton. Di situlah terletak dramanya. Tanpa drama, puisi lirik menjadi bosan. Kenapa puisi moden di Indonesia bermula dengan Chairil Anwar? Kerana dia ialah penyair pertama yang mengatakan secara terbuka bahawa dia ingin menghentikan waktu. Dia ingin melawan kematian dengan puisi. Penyair tidak lagi bersembunyi di belakang susunan rima pantun dan syair. Penyair menulis lirik untuk mengatur takdirnya sendiri.
Saya merasai pergelutan sama apabila saya membaca puisi-puisi Rudi Mahmood dalam Bara Hujan. Ada 40 buah sajak dan boleh kata hampir kesemua puisi Rudi adalah puisi lirik. Tetapi pergelutan Rudi sebagai penyair lirik bukanlah pergelutan dengan tubuh seperti Chairil. Atau pergelutan dengan alam seperti Latiff Mohidin. Pergelutan Rudi ialah pergelutan dengan ingatan. Di manakah terletaknya ingatan ini? Bukan dalam diri seorang Rudi Mahmood atau dalam rongga-rongga bahasa. Ingatan yang beliau pertahankan sering meniti di “tebing” yang berada di antara kematian dan masa lalu. Siapakah diri yang berjalan-jalan dalam puisi Rudi? Kalau saya membesar sezaman dengan Rudi, mungkin saya akan anggap orang itu ialah saya sebagai penonton. Namun ada jurang besar yang memisahkan saya dengan bayang-bayang tersebut. Ingatan Rudi ialah ingatan bayang-bayang itu, maka dia adalah penonton sebenar Rudi. Dia adalah rahsia dalam setiap puisi Rudi. Tetapi kita tidak tahu rupa bayang-bayang ini. Ketika kita baru nak mengejarnya, dia sudah berangkat meninggalkan pelabuhan.
Sekali pandang, kita mungkin rasa kematian ialah ancaman terbesar dalam puisi Rudi. Namun kubur dan keranda hanya objek kaku. Yang lebih menakutkan adalah perubahan waktu. Setiap penyair ada cara tersendiri apabila menghadapi waktu: T. Alias Taib dan Joko Pinurbo mengetawakan waktu; Afrizal Malna menterjemahkan waktu menjadi kucing, mentega, dan kipas. Dalam dunia Rudi waktu turun dari langit dan bertaburan di halaman rumah. Kerap kalinya sebagai basah hujan. Atau selendang malam. Pisau, hujan, dan luka mungkin akan mengingatkan kita kepada puisi Sapardi. Tetapi Rudi bukan seorang penyair imejan. Beliau tidak mahu memberikan kita pengalman puisi yang sederhana. Rudi menggunakan objek alam sebagai simbol untuk melastik pembaca ke dalam pengalaman yang transendental. Di sini bahasa Rudi lebih mirip dengan bahasa Sitor Situmorang. Kita ambil contoh puisi “Bara Hujan” yang diletakkan oleh KataPilar di sampul buku:
hujan dan sunyi kini membesar di halaman
kami. dua kalimah hidup tak pernah surut.
ramadan basah, bara asyik
menyala
tuhanku, di mana saja kupilih arasy-Mu
langit yang teduh. tak terjarak dengan makna,
aku masih di sini. tergenggam
dalam maksudmu
Sekarang kita bandingkan puisi Rudi dengan puisi Sitor berjudul “Hujan.”
Sudah berbilang bulan
Ia pun pergi ke dalam hujan
Lalu mekar
Di embun pagi terlalu seminar
Cintaku, cintaku burung undan
Layar putih sesudah hujan
Dalam kedua-dua puisi keberadaan hujan sebagai objek alam tidak penting. Mereka tidak ingin kita melihat hujan semata-mata. Mereka ingin kita tenggelam dalam perasaan. Inilah pendekatan yang sering dibawa oleh puisi-puisi simbolisme. Dalam Oeuvres Completes (1891), Mallarme menerangkan simbolisme sebagai seni mengupas objek “sedikit demi sedikit sehingga lahir suatu mood.” Jika hidup ini hanya sementara dan terdedah kepada perubahan waktu, maka puisi mengabadikan pengalaman masa lalu ke dalam bahasa puisi yang ideal. Inilah impian penyair simbolik seperti Swedenborg, Baudelaire, Sitor, dan Rudi. Mereka mengaburkan realiti dengan warna-warna imej yang abstrak. Rudi, misalnya, gemar menggunakan hiperbola untuk menggambarkan sudut pandang peribadi beliau sebagai penyair: “ada seribu matahari/ di hujung negeriku,” atau “kupetik seratus mawar/ kauberikan kami setitis racun.” Ya, drama demi drama. Apabila Rudi membaurkan secara seimbang drama emosi dan permainan simbol bersama objek-objek alam, maka akan lahir pengalaman lirik yang indah. Antara puisi terbaik Rudi dalam Bara Hujan ialah “kulihat rumahmu, kulihat tangga terakhir, “embun permata,” “dari atas panggung,” dan “hujan dan kapal pun berangkat.”
Tetapi secara kesuluruhan, Bara Hujan agak mengecewakan saya sebagai buku sulung Rudi Mahmood. Ia tidak ada kena-mengena dengan bakat lirik beliau. Lebih kepada pengalaman total sebagai sebuah buku. Bara Hujan terlalu rawak susunannya seolah-olah penyunting buku ini tidak tahu ke mana ingin membawa pembaca. Sekajap kita duduk di dalam rumah, kemudian terperangkap di tengah hujan, sekejap di tepi kubur, sekejap turun ke pantai, kemudian terperangkap di tengah hujan lagi. Ini tidak dibantu pula oleh bahasa puisi Rudi yang abstrak. Antara masalah puisi simbolisme ialah ia beranggapan semua orang ada masa untuk melayan drama emosi seorang penyair. Menurut saya proses ini sepatutnya terbalik. Biar drama berlaku dalam diri pembaca, bukan penyair yang berdrama.
Saya ingin kembali kepada imej kotak mancis di permulaan esei ini. Secara idealnya, kita mahu semua mancis di dalam kotak itu mampu menghidupkan api. Tetapi bahasa puisi tidak mungkin akan mampu menampung pengalaman hidup kita yang rencam dan kompleks. Kerap kalinya kita menemui kotak mancis yang kosong. Atau lebih teruk: batang-batang mancis yang terpatah.
Comments