Novel Ketujuh: The Face That Must Die

 
 
 
Saya dengar kemarin seorang penulis kita kata membaca novel boleh dilakukan secara santai, sementara sebuah buku ilmu yang padat dengan kajian dan pemikiran perlukan waktu khusus, dan ia membuat saya sedikit ketawa kerana saya terus membayangkan orang itu membersihkan tangan dan kaki, mengambil wuduk, dan berdoa dahulu kepada Tuhan sebelum mula membaca buku sejarah di atas mejanya. Kalaulah pembaca memuja novel sama seperti mereka memuja buku sejarah atau agama, hidup saya akan jauh lebih senang, dan mungkin saya tidak perlu membuat senarai novel terbaik seperti ini lagi setiap tahun.
 
Tetapi hakikatnya kita tahu novel bukan objek sejarah. Kita tahu novel bukan kitab yang turun dari langit. Novel tidak ada kuasa mukjizat untuk mengubah orang buta menjadi celik. Apatah lagi membuat orang miskin menjadi kaya. Sebuah novel tidak lebih daripada idea yang telah dimasukkan ke dalam kotak badut, dan kotak itu kemudian kita berikan kepada seorang pembaca. Apa yang dia akan temui dalam sebuah kotak novel? Kejutan imaginasi. Seorang pemikir tidak boleh menulis novel kerana seorang pemikir tidak ada imaginasi dan keberanian untuk membunuh seorang pembaca.
 
Jadi kita sampai kepada Ramsey Campbell, akhirnya. Adakah Campbell seorang pemikir? Sudah tentu tidak. Tahun ini tahun paling banyak saya membaca novel horor dan tidak ada pengarang yang boleh membuat saya rasa takut seperti mana Campbell lakukan dalam The Face That Must Die. Ini adalah novel melalui sudut pandang seorang pembunuh dan homophobic. Latarnya mungkin di Liverpool, tetapi lelaki gila dalam buku ini mengingatkan saya kepada Edgar Allan Poe. Dia membunuh orang menggunakan pisau cukur. Selalunya orang gila tidak rasa dia gila kerana kalau dia memang gila, dia tidak akan membunuh. Hanya kita yang tahu cerita dan identiti sebenar orang ini.
 
Justeru kenapa nak membaca novel tentang seorang pembunuh? Alasan saya mudah: semua orang pernah menyimpan rasa benci pada seseorang, walaupun sedikit, dan kita tidak tahu hari apa kebencian itu akan bersarang menjadi ketakutan. Dan apabila kita takut, selalunya, kita akan cuba membunuh ketakutan itu.  

 

Comments

Popular Posts