Pemikiran Dajal Generasi Dajal

 
Pada minggu lalu saya dengar seorang abang sasterawan kita memberikan pendapatnya tentang Zurinah Hassan yang baru sahaja menjadi sasterawan negara. Menurut abang sasterawan kita ini, dia mengukur nilai seorang penyair itu berdasarkan dua perkara: pertama, apakah puisi penyair itu yang dekat dengan dirinya? kedua, adakah buku penyair itu telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia? Jika seorang penyair tidak memenuhi kedua-dua syarat itu, maka menurut abang sasterawan kita ini, penyair itu belum layak diangkat sebagai sasterawan negara. Dalam kata lain: abang sasterawan kita merasakan Zurinah Hassan bukan penyair yang penting dan tidak pernah menghasilkan buku puisi yang bermakna.
 
Ketika saya mendapat tahu akan hal ini, reaksi saya adalah marah dan kecewa. Abang sasterawan kita itu sendiri bukan calang-calang penulis, malah saya sendiri pernah meminati cerpennya dari tahun lapan puluhan. Tetapi pendapatnya tentang Zurinah Hassan dan nilai seorang penulis adalah dangkal, angkuh, dan tidak berasas sama sekali. Justeru saya tidak boleh lagi memanggil orang ini abang kerana dia tidak layak menerima sebarang rasa hormat daripada saya. Dajal bermata satu adalah gelaran terbaik saya boleh fikir untuk dianugerahkan kepada seorang penulis yang mengukur kerja rakan seperjuangannya melalui anugerah dan kepuasan ego peribadi.
 
Tetapi fikiran dajal seperti ini bukan kali pertama saya dengar. Ia sebenarnya penyakit dan kanser yang sudah merebak dalam komuniti sastera kita. Saya boleh terima kalau fikiran atau ideologi dajal ini dijulang dan diperjuangkan oleh generasi ASAS 50. Saya boleh terima kalau ia dijadikan perisai oleh generasi tua sebagai cara untuk memaksa generasi muda tunduk hormat kepada mereka. Tetapi untuk mendengar generasi lapan puluhan dan sembilan puluhan berfikiran dajal dan berkelakuan dajal, lebih-lebih lagi apabila dajal itu sudah ada pengalaman dan mengetahui permainan absurd di belakang tirai dalam mana-mana sayembara dan anugerah sastera di negara ini, kulit saya terus naik gatal dan rasa seperti hendak melanggar kereta ke tembok.
 
Saya malas nak mengupas dengan panjang lebar di sini bagaimana anugerah sastera bukan kayu ukur utama dalam kita mempertimbangkan nilai sebuah karya seni. Dan saya malas nak menyebut judul-judul buku yang tidak pernah dipandang oleh pembaca pada zamannya, tetapi kemudian bangkit sebagai karya klasik di zaman lain. Ini adalah perkara asas yang patut diketahui oleh mana-mana sasterawan yang sudah layak dipanggil abang atau kakak. Kalau sasterawan itu tidak faham juga, atau memilih untuk tidak faham, maka dia bukan sasterawan. Dia hanya dajal yang menyemak dalam dunia sastera di negara kita.
 
Baik, dari tadi saya asyik bercakap tentang generasi di atas saya. Sekarang biar saya sebut sedikit tentang generasi saya iaitu generasi yang lahir dan membesar bukan di bawah payung ASAS 50 dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Rata-ratanya penulis generasi saya sekarang ini umur mereka adalah di bawah 35 tahun. Mungkin ada seorang dua yang melepasi sempadan itu. Perkara lebih penting di sini bukan umur, tetapi waktu kemunculan mereka sebagai pengarang. Hampir kesemua penulis terbaik generasi saya tidak pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan tidak pernah menerbitkan buku dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kalau tidak menerbitkan sendiri, mereka menerbitkan karya mereka dengan rumah penerbitan mandiri. Di kalangan penulis generasi saya tidak pernah ada amalan budaya abang-adik-kakak-adik seperti yang masih diamalkan oleh generasi dajal yang saya sebut tadi. Saifullizan Tahir, misalnya, jauh lebih tua daripada saya, tetapi saya tidak pernah memanggilnya abang dan dia pun tidak pernah minta dirinya dipanggil abang. Sama juga dengan Saat Omar, saya yakin dia jauh lebih tua daripada saya. Namun saya menghormati kedua-dua novelis ini kerana mereka memang pengarang yang bagus dan tidak pernah berkelakuan dajal dengan penulis lain. Saya percaya kita menghormati orang lain bukan berdasarkan umur, bukan berdasarkan tongkat di tangannya, bukan kerana dia pernah menjadi editor Dewan Sastera, bukan kerana dia telah memenangi ratusan anugerah sastera, tetapi kerana dia adalah manusia yang layak dihormati, atau sekurang-kurangnya dia adalah karyawan yang mencintai sastera secara total.
 
Saya tidak tahu jika suatu hari penulis-penulis generasi saya sampai ke usia generasi dajal sekarang dan memilih untuk menjadi dajal yang baru. Saya harap tidaklah. Saya harap penulis generasi saya akan meninggalkan terus legasi ASAS 50 dan tidak menjadi terlalu serius dalam berkarya, tetapi sentiasa serius dan sangat serius apabila hendak bermain.
 
        

Comments

Popular Posts