Pengenalan: Novel Terbaik 2015



Sesiapa yang mengetahui sepuluh novel terbaik pilihan saya, boleh abaikan pengenalan ini kerana saya akan lebih banyak merungut tentang penulisan eksperimental berbanding memberikan pengenalan.

Saya ingin memulakan pengenalan ini dengan sebuah puisi oleh Charles Simic berjudul The Melon:
 
 
There was a melon fresh from the garden
So ripe the knife slurped
As it cut it into six slices.
The children were going back to school.
Their mother, passing out paper plates,
Would not live to see the leaves fall.
 
I remember a hornet, too, that flew in
Through the open window
Mad to taste the sweet fruit
While we ducked and screamed
Covered our heads and faces,
And sat laughing after it was gone.
 
 
Puisi yang sangat mudah, tetapi berjaya menangkap dan melukiskan kepingan warna daripada memori kita. Bukankah hidup kita juga dibangunkan daripada kepingan-kepingan warna? Kalau tidak tembikai, mungkin secangkir kopi, atau segulung rokok daun, atau sepinggan  pisang goreng yang dinikmati bersama adik-beradik di halaman belakang rumah yang sudah lama hilang warna rumputnya.
 
Kalau puisi memberikan saya kepingan-kepingan warna, maka novel memberikan saya struktur untuk menyusun semuanya kembali. Tetapi idea atau visi untuk sebuah struktur tidak mungkin muncul begitu sahaja kerana struktur merupakan salinan atau kembar atau anak terbuang daripada imaginasi seorang pengarang. Sebelum struktur itu menjadi jelas dalam fikirannya, barangkali, dia terpaksa mencuri atau meruntuhkan struktur orang lain.
 
Adakah ini suatu pemberontakan? Adakah ini suatu eksperimen untuk menjadi aneh?
 
Saya dengar baru-baru ini seorang penulis mapan kita memandang negatif karya eksperimental. Katanya eksperimen adalah budaya lapuk dari zaman tiga puluh tahun lalu. Perkara lebih penting di masa kini adalah pemikiran. Aneh. Dia kata dia menolak eksperimen, tetapi sehingga ke hari ini dia masih belum berhenti menulis, dan sudah entah berapa ratus cerpen ditulis dan diterbitkannya. Ada dua penjelasan sahaja untuk masalah ini.
 
Pertama, dia terus menulis kerana dia tidak pernah berpuas hati dengan tulisannya dan dia sentiasa mencari bentuk dan bahasa baru untuk mencabar diri. Justeru dia bereksperimen secara tidak sedar. Kedua, dia rasa dirinya sudah cukup matang sehingga ke suatu tahap di mana tulisan pengarang lain tidak mungkin boleh mempengaruhinya. Maka dia berhenti bereksperimen. Dia hanya menulis kerana penulisan sudah menjadi alat tunggangan untuk dia menyerang dan menggempur kubu pemikiran orang lain.

Pendirian orang ini sangat angkuh sebenarnya kerana apabila dia kata tiga puluh tahun lalu, kita tahu, dia sedang merujuk kepada zaman muda generasinya di era lapan puluhan. Dia seolah-olah ingin kata, "Kami dulu dah puas eksperimen. Sekarang kau baru nak buat?" Eksperimen hanya kerja budak-budak belum makan garam, sementara karya matang ditulis oleh orang yang sudah dewasa dan punya pemikiran seperti mereka. Baik, katakanlah saya bersedia untuk menerima argumen penulis sombong ini, ia bermaksud dari era lewat 90an sehingga tahun 2010 merupakan zaman kemuncak generasinya.

Sekarang jawab soalan saya: di manakah karya-karya besar generasi anda yang mengubah landskap kesusasteraan Malaysia? Saya sedar saya sudah menyimpang jauh daripada judul asal tulisan ini, tetapi sebelum kita boleh bebas berbincang tentang novel, kita harus memadamkan api dan menghalau dajal-dajal pengacau.

Terlebih dahulu mari kita melihat puisi. Anda kata generasi anda telah puas bereksperimen, jadi bolehkah anda berikan kepada saya satu buku puisi yang kuasa kepenyairannya mengatasi Piramid T. Alias Taib dan Sungai Mekong Latiff Mohidin? Saya yakin anda akan menawarkan kepada saya buku terbaik Rahimidin Zahari, Zaen Kasturi, dan Shamsudin Othman. Lagi? Atau itu sahaja anda boleh tawarkan? Anda betul-betul ingin saya percaya yang mereka ini telah mencipta bahasa puisi yang jauh meninggalkan Muhammad Haji Salleh, T. Alias Taib, dan Latiff Mohidin? Terserah. Anda jawab sendiri untuk generasi anda.

Kemudian novel. Setakat ini novel-novel terbaik Malaysia lahir daripada pena Shahnon Ahmad, A. Samad Said, dan Anwar Ridhwan. Antaranya adalah Tunggul-Tunggul Gerigis, Daerah Zeni, dan Naratif Ogonshoto. Baik, di manakah novel terbaik generasi anda? Saya tidak mahu novel yang suam-suam dan iseng-iseng sahaja bentuknya sebab anda kata anda telah puas bereksperimen dan anda sekarang sudah gemuk dengan pemikiran. Ya, novel-novel awal Faisal Tehrani memang bagus, tetapi tidak ada satu pun novelnya yang boleh mengatasi pencapaian tiga novel saya sebut tadi. Terserah. Anda jawab sendiri untuk generasi anda.

Kemudian teater. Tetapi perlukah kita bercakap tentang teater? Lebih baik kita abaikan sahaja.

Akhirnya, cerpen. Ini satu-satunya genre kesusasteraan Malaysia yang sentiasa subur dan tidak berhenti membesar. Ini juga satu-satunya genre yang generasi anda boleh banggakan kerana karya-karya terbaik anda adalah cerpen. Selain Roslan Jomel dan Zainal Rashid Ahmad, saya tidak nampak cerpenis lain daripada generasi ini yang mengubah cara kita bercerita dan cara kita membaca sebuah cerita. Lagiipun, bukankah anda sudah berhenti bereksperimen? Bukankah anda sudah berpuas hati dengan pencapaian anda sekarang? Terserah. Anda jawab sendiri untuk generasi anda.

* * * 

Setiap tahun saya membaca pelbagai jenis novel, dan secara tidak langsung, saya menemui pelbagai jenis pengalaman manusia. Ada waktunya pengalaman ini hanya sekadar mengukuhkan apa yang kita sudah sedia maklum tentang kehidupan, dan ada waktunya ia mengejutkan kita. Tahun 2015 boleh dikatakan antara tahun terbaik untuk novel Malaysia kerana kita dapat membaca novel baru seperti Brazil dan Rebel yang masing-masing bukan berbentuk "eksperimental" atau "avant-garde." Ridhwan Saidi dan Saat Omar membuktikan bahawa kita masih boleh mencipta sesuatu yang berbeza, walaupun melalui cerita yang realistik dan konvensional. Selain itu di tahun 2015 saya juga membaca novel terbaru penulis kegemaran saya seperti Karl Ove Knausgaard, Enrique Vila-Matas, Valeria Luiselli, dan Cesar Aira. Malangnya tulisan mereka mengecewakan saya dan tidak ada satu pun novel mereka yang masuk senarai akhir. Saya paling berpuas hati dengan tulisan pengarang fiksyen alternatif atau cerekawala seperti Ramsey Campbell, Adam Neville, dan Mark Danielewski.

Sebenarnya di tahun 2015 saya lebih kagum dan teruja membaca kumpulan cerpen berbanding novel. Antara buku kumpulan cerpen saya ingin cadangkan adalah The Things We Don't Do oleh Andres Neuman, The Conductor and Other Tales oleh Jean Ferry, can't and won't oleh Lydia Davis, dan Songs of a Dead Dreamer and Grimscribe oleh Thomas Ligotti.

Beberapa tahun kebelakangan ini suasana sastera Malaysia menjadi sangat meriah. Kita ada lebih ramai penyair dan novelis sekarang berbanding sepuluh tahun lalu. Penulis fiksyen di bawah umur 30 tahun juga bertambah dan sebahagian daripada mereka telah menunjukkan minat luar biasa untuk bereksperimen dan menghasilkan tulisan di luar bentuk kebiasaan. Syafiq Ghazali, Johan Radzi, Azrin Fauzi, dan Mohd Azmen adalah antara nama penulis baru yang kita harap akan menyesatkan kita dan melepaskan bom-bom nuklear dalam novel mereka.

Di tahun-tahun akan datang (seperti tahun ini juga) saya tidak mengharapkan sebuah novel yang mempunyai idea dan gagasan besar. Saya tidak mencari pemikiran apabila saya membaca sebuah novel. Saya hanya mencari sepiring buah tembikai, dan kalau bertuah, segelas teh hijau susu.




  

Comments

Popular Posts