Novel Keempat: Mood Indigo
Jutseru kita membaca sastera kerana kita tidak dapat mencipta semua kata-kata di dunia ini. Masa kita terbatas; memori kita terbatas. Buku membenarkan kita untuk meminjam memori orang lain seolah-olah ia adalah memori kita. Atau dalam kata lain: buku membenarkan kita untuk gagal dan terus mencari jawapan.
* * *
Keseriusan hidup membunuh pengalaman memori. Kita sesat; kita tenggelam dalam arus hidup. Tanpa kita sedar. Apabila kita telah bangun kita sudah menjadi tua dan lupa dari mana kita bermula. Novel Boris Vian Mood Indigo mengingatkan saya supaya jangan berhenti bermain walaupun ketika dunia sudah hendak jatuh terbalik dan manusia mula melayang ke angkasa. Dalam novel ini, watak utamanya (lelaki kacak Perancis bernama Colin) menipta minuman istimewa melalui nota muzik sebuah piano. Dia mencari jalan di kota menggunakan sapu tangan yang dibawa lari warnanya oleh angin lalu jatuh ke atas sebuah bangunan. Dia berpacaran bersama kekasihnya Chloe dalam awan merah jambu yanag memeluk tubuh mereka apabila mereka berjalan-jalan.
Bukankah sangat membahagiakan kalau kita boleh hidup setiap hari dalam imaginasi Boris Vian?
Comments