Novel Keenam: The Cardboard House

 
E. M. Forster kata dalam sebuah novel selalu ada jam. Memahami naratif sebuah novel adalah memahami gelombang waktu yang bergerak di celah ruang kata-kata dan halaman bab (atau halaman tanpa bab). Tetapi di manakah terletaknya jam waktu itu sendiri? Di halaman pertama? Di halaman terakhir? Menurut saya kita tidak akan pernah dapat melihat jam itu. Setiap kali kita cuba mencarinya, ia akan dilarikan oleh seekor arnab putih. 
 
Sebuah novel - berbeza dengan sebuah cerpen - mempunyai banyak lubang dan pintu untuk si arnab putih merangkak, menyusur, dan mengelak daripada capaian imaginasi dan emosi kita. Pengulangan pembacaan mungkin akan membantu kita lebih memahami gerak-gerinya, tetapi kita tetap akan gagal. Si arnab putih selalunya lebih bijak daripada pembaca.
 
Justeru sebuah novel yang bagus akan sentiasa bersama kita. Berhari-hari, berbulan-bulan, malah mungkin bertahun-tahun. Kita membesar bersama sebuah novel yang memberi kesan kuat pada kita. Dan kita mencari, kita terus mencari, si arnab putih yang sedang bersembunyi.
 
* * *
 
 
Setiap kali saya membuat senarai saya akan pastikan ada juga satu novel makan angin. Tahun lepas saya pilih novel Tove Jansson The Summer Book. Kali ini saya ada pilihan antara novel Takashi Hiraide The Guest Cat dan novel Martin Adan The Cardboard House. Satu di Jepun dan satu di Peru. Seperti mahu pilih destinasi pelacongan. Saya yakin kedua-duanya seronok dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Eka Kurniawan sudah pernah membaca The Guest Cat dan ternyata dia sangat menyenanginya. Masa bergerak perlahan dalam sebuah novel Jepun sehingga kadang-kadang kita rasa seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Masa kehidupan mengalir bersama masa naratif. Saya kata kepada Eka yang The Guest Cat hanya mungkin ditulis oleh pengarang Jepun. Kalau sampai ke tangan orang Hungary, tambah Eka, barangkali ia akan jadi cerita yang sangat gelap dan murung. Sampai ke tangan orang Sepanyol akan ada unsur humor yang berlebihan. Sampai ke tangan orang Jerman akan ada meditasi yang berterusan. Dan sampai ke orang Perancis. Apa? Kucing bertukar menjadi simbol konseptual.
 
Tetapi akhirnya saya tidak memilih The Guest Cat. Depan apartmen saya sudah ada kucing kalau nak main atau tendang. Lebih seronok adalah menikmati laut musim panas di Lima. Dalam The Cardboard House, masa juga bergerak perlahan kerana Martin Adan menyusun naratif secara episodik seolah menyusun foto percutian di dalam album keluarga. Namun tekstur bahasa Adan lebih tebal dan banyak warna berbanding Hiraide. Baris-barisnya padat dengan imej yang sensual.
 
"A nighttime stroll. We have found a street hidden from the sky by dense, serious foliage. Now the sky does not exist, it has been rolled up like a rug, leaving barren the floorboards of space where the worlds walk, high society, slowly, silently, fastidiously. Now I love you as I have never loved you - truly, painfully. I don't know how... Walking through the street that returns our footsteps and our voices to us in a cavern..."   
 
Sebuah novel memerlukan puisi. Dan kadang-kadang puisi lebih penting daripada cerita mahupun gagasan yang besar.
  

Comments

Anonymous said…
The Guest Cat kalau ditulis orang Melayu akan jadilah kucing yang berketayap.

Okay, tak kelakar.

Popular Posts