Novel Kelapan: Bukan Pasarmalam
Enrique Vila-Matas pernah bilang bahawa penulis selalunya bukan orang yang pandai, malah semakin kurang pandai akan semakin bagus penulisannya (dan dia kutip pendapat ini daripada Georges Simenon). Ya, memang betul juga kerana bukan kepandaian akal yang mencipta sebuah karya. Melainkan peribadi pengarangnya.
Peribadi adalah tanah, debu, dan asap yang melekat pada kata-kata apabila ia disentuh oleh imaginasi dan emosi pengarang. Peribadi adalah berjangkit; peribadi adalah pembacaan yang tidak boleh diubati. Sehingga ke hari ini saya masih ingat kemarahan saya rasa ketika membaca novel Ivan Turgenev Fathers and Sons walaupun sudah bertahun ia tergeletak di bahagian belakang rak buku saya. Sebetulnya Turgenev bukanlah sosok peribadi yang saya selesa nak berkenalan (Albert Camus pun sama). Tetapi peribadi itu jugalah warna-warna yang melekat pada bahasanya. Kita tidak boleh mengelak.
Saya berasa agak kecewa membaca karya terbaru Afrizal Malna Kepada Apakah. Dari awal bahasanya meluncur deras ibarat bunga api yang baru meletus dari dalam kotak. Tetapi ia berhenti di situ. Bahasa Afrizal melayang tanpa arah seolah mengharapkan bunga api ini membentuk dengan sendirinya imej cantik di angkasa. Afrizal ternyata menulis tanpa ada kesedaran pada bentuk. Kepada Apakah dikatakan sebuah novel, tetapi peribadi Afrizal sebagai novelis itu terlalu longgar (malah tidak wujud) untuk membolehkan naratifnya dikawal menjadi sebuah novel.
Pilihan novel Indonesia saya tahun ini terbahagi antara dua: Bukan Pasarmalam oleh Pramoedya Ananta Toer dan Seperti Dendam, Rindu Harus Dibayar Tuntas oleh Eka Kurniawan. Dua novel yang sangat kuat oleh dua orang novelis yang hampir sama peribadi kepengarangan. Bagaimana mahu pilih ya? Novel Eka lebih santai, suspens, dan cepat pergerakan ceritanya, bahkan ada waktu kita tidak cukup nafas menahan debar ketika watak-wataknya berlumba di atas jalan atau bertinju di dalam gelanggang. Novel Eka pun selalunya lebih erotis daripada novel Pram, bahkan tidak berlebihan untuk saya kata novel Eka menghiburkan, sementara novel Pram teramatlah serius dan teliti. Novel Pram adalah tipikal novel orang tua. Kalau bukan untuk pengalaman hidup, untuk apa lagi kita membaca novel orang tua? Jadi akhirnya pilihan saya bukanlah bertunjang pada soal kualiti, tetapi lebih kepada selera peribadi dan semasa. Saya memilih novel orang tua Pram berbanding novel orang muda Eka.
* * *
Tidak sangka novel nipis ini (kalau nak dibandingkan dengan tetralogi terkenal Pram) mempunyai banyak detik bermakna untuk ditarik keluar dan dipegang sebagai spesimen penulisan realistik kelas tertinggi. Penulisan realistik kelas rendah adalah realisme tanpa tujuan. Pokok semata-mata untuk pokok; angin semata-mata untuk angin; senyum semata-mata untuk senyum. Sementara di tangan Pram, pemandangan di luar tingkap kereta api boleh bertukar menjadi sebuah lukisan:
"Kuhisap sebatang rokok. Dan dingin pagi serta dingin angin pun tiada terasa betul kini. Sawah yang tandus dan yang hampir masanya dipaneni silih berganti berkejar-kejaran. Dan di sawah-sawah itu dahulu, kadang-kadang kapal capung Belanda melempari petani dengan granat-tangan. Adakalanya juga capung itu mendarat di lapangan tandus dan mencuri kambing penduduk. Ya, semua itu teringat kembali kini. Dan di rumput-rumput itu pula sebagian dari kawan-kawan yang mempertahankan garis jalan keretapi dulu menggelepak gugur, dan darahnya menyirami rumput yang menghijau selalu itu."
"Kereta berjalan terus dan berjalan terus. Sampai di Rembang, dia mulai membelok ke selatan dan melintasi hutan jati dan sawah. Kian dekat dengan kota kelahiran, kian nyata terbayang-bayang jalan-jalan yang sempit, penduduknya yang miskin, dan ayah. Kadang-kadang nampak kijang berlari-lari masuk ke semak-semak dengan kaki depan dan belakang hampir tersilang, dan perutnya tertekan sehingga kelihatan kembung ke atas."
Tidak lama kemudian pencerita novel ini sampai ke rumah ayahnya dan di situ kita menemui sentuhan deskripsi yang sangat halus dan indah:
"Kalau aku masuk ke dalam rumah, kepalaku tersenggol pada palang atap. Dan aku jadi berpikir, aku jadi tinggi sekarang. Waktu aku meninggalkan rumah ini, palang itu masih tinggi di atas kepala."
Semua yang kita ingin tahu tentang latar belakang watak itu telah dijelaskan dalam satu perenggan ringkas. Tidak perlu nak bazirkan naratif dengan melakukan imbas kembali yang panjang lebar. Dan bukankah kepulangan selalunya lebih kepada mencari kehidupan yang sudah hilang, berbanding kehidupan yang masih ada?
Ada banyak lagi yang boleh diperkatakan tentang Bukan Pasarmalam (terutama tentang soal kematian dan kewujudan). Tetapi perjalanan kereta api baru bermula, dan saya belum bersedia untuk turun, dan menggelintar ke wilayah-wilayah lain.
Comments