Novel Ketujuh: Boyhood Island

 
Masalah besar rumah keluarga saya di Kedah adalah anai-anai. Bertahun-tahun punya masalah. Dan berapa banyak sisa memori saya daripada rumah itu sudah terhapus? Permainan papan Mad, permainan papan Risk, permainan papan Jumanji, koleksi lengkap komik Mutiara Naga, novel-novel Star Trek, mainan-mainan abang saya, jaket dan kot yang ayah beli dari Amerika, dan poster berbingkai kayu taman tema Disneyland di Los Angeles. Barang terakhir itu adalah mangsa terkini. Anai-anai perosak ini tidak boleh dihapuskan secara fizikal dengan racun atau api (percayalah, kami telah cuba). Mereka adalah ibarat waktu yang menjelma ke dalam kehidupan dan membina sarang di dalam dinding dan di bawah lantai. Rumah kami tidak ada kekuatan untuk melawan waktu: ia hanya mampu bertahan selama yang mungkin. Rumah kami itu pun, saya kira, sudah tua dan uzur seperti kedua-dua orang tua saya. Setiap kali saya pulang (dan saya jarang pulang sebenarnya) ada bahagian daripada rumah itu yang hilang. Ibarat usia yang semakin surut wajahnya. Barangkali yang tinggal hanya foto.
 
Karl Ove Knausgaard menulis dalam Boyhood Island (buku ketiga siri My Struggle) yang foto tidak boleh menceritakan apa-apa. Hanya orang dalam foto itu yang tahu apa sebenarnya berlaku. Tetapi ini pun tidaklah tepat sepenuhnya. Saya selalu melihat foto-foto zaman kanak-kanak saya dan saya tidak kenal orang dalam foto itu. Foto itu sekadar mengukuhkan beberapa keping imej dalam album memori saya. Selain daripada itu: ruang kosong. Ada cerita yang telah dipadamkan atau mungkin disunting dengan usia dan waktu.  
 
Perlahan-lahan kita melepaskan, tanpa sedar, emosi dan ingatan dari masa lalu. Kita menulis semula cerita hidup kita dan setiap hari halaman-halaman baru itu bertindan dan bertindan di atas halaman-halaman lama. Sehingga semua kata-kata menjadi kabur atau terpadam sama sekali.
 
Justeru kita berpaut dengan sekuat hati pada memori yang masih tinggal. Kita berpaut pada kepingan-kepingan foto dalam kepala kita.
 
* * *
 
Tiga tahun berturut-turut novel Karl Ove Knausgaard masuk ke dalam senarai saya. Fakta itu sahaja sudah cukup untuk menunjukkan karyanya sangat kuat dan padat dengan nafas kehidupan. Boyhood Island agak ringan kalau nak dibandingkan dengan dua novel sebelum ini. Tetapi jangan salah sangka: novel ini sendiri adalah pulau. Sebaik sahaja anda  mendarat di halaman pertama, anda akan terperangkap. Anda akan bersama Knausgaard ke mana-mana anda berjalan. Dia akan bercerita dan anda akan mendengar. Anda dan Knausgaard akan kembali menjadi kanak-kanak.    
 
"Memory is not a reliable quantity in life. And it isn't for the simple reason that memory doesn't prioritise the truth. It is never the demand for truth that determines whether memory recalls an action accurately or not. It is self-interest which does. Memory is pragmatic, it is sly and artful, but not in any hostile or malicious way; on the contrary, it does everything it can to keep its host satisfied. Something pushes a memory into the great void of oblivion, something distorts it beyond recognition, something misunderstand it totally, something, and this something is as good as nothing, recalls it with sharpness, clarity and accuracy. That which is remembered accurately is never given to you to determine." 
 
Membaca Knausgaard selalu memberikan saya kekuatan dan harapan: untuk hidup dan untuk percaya sebuah novel masih boleh mengajar saya menjadi dewasa.
 
(Sedang mendengar lagu Pulang oleh Float.)
 
 

Comments

Popular Posts