Suara Edna O' Brien







Seorang penulis (kita anggap sahaja penulis ini seorang penulis urban kalau anda suka) memberitahu saya beberapa hari lepas - dan perbualan ini bermula dengan subjek kejujuran pengarang - tentang hubungan suara autentik pengarang dengan bahasa: penulis ini percaya hubungan ini tidak wujud. Alasannya ialah seorang penulis autentik - dia percaya - hanya ulangi sesuatu yang lama atau kegagalan yang sama. Aneh, saya fikir, kerana kalau suara pengarang itu sudah autentik - seperti suara kepengarangan sang penulis urban yang saya sebut tadi - bagaimana dia boleh ulangi kesilapan lama atau membawa suara yang bukan miliknya? Saya tidak percaya anda akan menemui suatu suara autentik dalam penulisan seorang pengarang tanpa terlebih dahulu menemui suatu bahasa yang benar-benar peribadi dan unik dan bertenaga dan jelas dan merupakan - ini ialah kemuncaknya - lukisan persona atau peribadi yang lebih sempurna. 

Suara autentik seorang pengarang - sama ada kita suka atau tidak - adalah sangat memikat  apabila kita menemuinya dalam bahasa. Ia bukan seperti wajah-wajah lesu di dalam sebuah komuter yang sesak atau wajah-wajah plastik dalam sebuah majalah hiburan atau wajah-wajah garang di dalam parlimen. Bahasa yang autentik datang dari sebuah pemikiran yang sudah diasah dan digunakan berkali-kali dalam hidup - secara terbuka mahupun secara dalaman - dan apabila ia hadir kepada kita dalam bentuk kata-kata, emosi dan minda kita akan dilukai. Tidak semua orang ingin dilukai apabila membaca. Sebab itu, daripada membiarkan dirinya terus dilukai, atau membiarkan orang lain dilukai, adalah lebih untuk membakar buku tersebut. Niat itu mungkin baik; tetapi ia tidak menutup kejahilan seorang pembaca untuk berdepan atau mendengar suara seorang pengarang menceritakan kepadanya tentang sesuatu kebenaran hidup. Dan berbanding dengan negara-negara lain, masyarakat kita ialah masyarakat yang lebih suka memilih kejahilan berbanding kebenaran. 

Kerana adalah lebih mudah untuk mempertahankan sebuah institusi berbanding berdiri dengan kedua kaki sendiri.

Suara autentik seorang pengarang perempuan adalah lebih sukar untuk ditemui dalam sastera berbanding lelaki; tetapi apabila ia ada dan apabila ia hadir di depan mata kita, pandangan kita terus menjadi kabur dan berbinar-binar. Emily Dickinson mempunyai suara kepenyairan yang sangat unik dan tajam pemikirannya sehingga ia menjadi mustahil sama sekali untuk menemui suara itu dalam tulisan seorang penyair lelaki (Walt Whitman atau Robert Frost misalnya). Ketika membaca novel-novel Edna O' Brien saya juga melalui perasaan yang sama seperti saya pertama kali membaca Emily Dickinson di sekolah menengah. Saya menemui suaranya. Dan suara itu kalau ia direndamkan dalam mangkuk air, warnanya akan larut, dan dari corak-corak warna yang terapung itu kita akan nampak bayang-bayang James Joyce (Edna O' Brien sangat meminati James Joyce). Novel pertama Edna O' Brien saya baca ialah The Country Girls. Ini ialah juga novel pertamanya dan ia ditulis dalam masa tiga minggu. Ini ialah novel yang ditulis selepas dia berhijrah ke England, dan, menurut Edna, tempat dia menemui suara kepengarangannya. Ini ialah novel pertama Edna (dan novel-novel selepas itu) yang kemudian diharamkan di Ireland - seperti novel James Joyce pernah diharamkan - kerana kritikan keras yang dibuat terhadap orang Irish. Untuk saya - sebagai pembaca luar dari Ireland - kritikan ini tidak menjadi masalah kerana yang saya akan lebih nampak ialah realiti novel itu sendiri dan bahasa Edna yang sangat memikat, terutama sekali apabila dia ingin melukiskan latar kampung kelahirannya. 

Bukan semua suara autentik seorang pengarang itu kita akan suka (saya misalnya tidak menyukai suara Dostoyevsky dan suara F. Scott Fitzgerald). Tetapi ia tetap akan di situ apabila kita membuka sebuah buku. Dan buku Edna O'Brien ialah buku yang saya akan sentiasa buka untuk mencari keindahan sebuah pembacaan.

Comments

Popular Posts