Reaksi Hafiz Jelir Kepada "Esei-Esei Orhan Pamuk"
Pertanyaan
untuk Azriq
*Nota
ringkas ini merujuk kepada tulisan Esei-esei Orhan Pamuk oleh Wan
Nor Azriq, yang terbit di dalam buku Kata 3.
Membaca
Esei-esei Orhan Pamuk membuatkan saya berasa khuatir. Yang cuba di
sampaikan hanyalah bayang-bayang; tak ada
satu pun pernyataan yang mencadangkan bahawa tulisan itu cuba diserlah
bersandarkan kepada ketekunan pembacaan yang kemudian, dicerna untuk
menampakkan sisi-sisi teras yang sejurus selepas itu, ingin dibincangkan, baik
oleh penulisnya – Wan Nor Azriq – ataupun subjeknya (esei-esei Pamuk sendiri).
Menurut
mata dan akal saya, ini adalah contoh sebuah tulisan yang tidak terarah. Tak
tahu ke mana ingin di bawa hal yang ingin disebutkan itu (ini belum lagi sampai
ke peringkat untuk 'dibincangkan', hanya 'disebutkan'). Lihat, berapa banyak
nama yang disebut-sebut di dalamnya. Memang, untuk setengah orang, mereka boleh
saja terpukau dengan nama-nama itu. Betapa si penulisnya banyak membaca
karangan yang ditulis nama-nama tersohor dunia sastera. Itu bagus. Tetapi,
soalan saya, kenapa hal-hal kecemerlangan tulisan seperti itu tidak tercermin
langsung di dalam tulisan Azriq yang satu ini?
Sekejap
dia membuka tulisan dengan memetik Virginia Woolf. Selepas itu menggantung nama
Pamuk pada mukasurat yang sama. Kemudian beralih kepada Goenawan Mohamad (yang,
ironinya, paling lama digauli di dalam tulisan itu) dan kemudian, Aidil Khalid
yang menurut Azriq, lebih sukakan buku Other
Colours yang menampilkan wajah Pamuk di muka depan, manakala Azriq sendiri
lebih selesa dengan versi muka depan 'yang memaparkan potret, yang agak kabur,
bayang seorang lelaki sedang menyusuri kegelapan kota Istanbul'. Tingkat
tulisan jenis apa ini, Azriq?
Jika
berkesempatan nanti, baca sendiri tulisan ini. Mungkin ada yang akan ketakutan
mendengar banyak lagi nama-nama tokoh pengarang yang bertebaran di sepanjang
lapan muka tulisan itu berlangsung. Mungkin dengan cara ini, Azriq cuba
membangunkan tanggapan bahawa setiap yang membaca tulisannya, orang itu akan
terpana dengan kemampuannya untuk meramahi nama-nama pengarang besar dunia. Dan
ini memang betul-betul berlaku seperti yang di harapkan oleh Azriq, yang juga
melihat diri sebagai kritikus sastera (seperti yang dicadangkan oleh nama
blognya). Dia memang berjaya; berjaya untuk bergelumang dengan nama-nama yang
selalu disebutkannya, tetapi bukan dengan zat-zat yang sepatutnya dihisap
daripada semua nama-nama itu. Kerana begitu berusaha untuk menonjolkan diri
melalui senarai bacaan-bacaannya yang dipermukaan, saya fikir Azriq sendiri
sudah menunjukkan yang dia terbeban dengan semua itu.
“Hari ini ialah kali keempat
saya mengulang baca buku Orhan Pamuk Other Colours: Essays and a Story.
Saya menganggap buku ini sebagai salah satu bacaan wajib seumur hidup saya.
Kalau saya akan diterbangkan ke bulan saya lebih suka membawa Montaigne dan
Emerson sebagai peringatan kepada kebijaksanaan tamadun manusia. Tetapi Orhan
Pamuk sudah tentu pilihan yang lebih baik berbanding esei yang ditulis oleh
Tolstoy atau Jonathan Franzen. Bagaimana pula dengan Edward Said? Atau Zadie
Smith? Atau Mohd Affandi Hassan? Nama-nama ini tidak termasuk langsung di dalam
senarai bacaan saya. Lima puluh atau seratus tahun akan datang, esei mereka
akan hanya tinggal sebagai nota kaki dalam lembaran sejarah sastera.”
Saya
kurang pasti bagaimana orang lain membaca perenggan di atas. Tetapi, untuk
saya, ia hanya memperlihatkan keangkuhan yang tak bertempat. Dan, apa yang
dicadangkan oleh perenggan ini? Mungkin, satu daripada maksudnya ialah;
mana-mana pengarang yang tidak dibaca oleh Azriq adalah pengarang-pengarang
yang lekeh. Di sini, Azriq ingin berperanan selaku dacing sastera, agaknya.
Atau melihat dirinya sebagai penentu citarasa sastera, yang mungkin berhasil
bagi lingkungan terdekatnya. Dan, di sini juga saya begitu yakin, kebolehan
Azriq paling tinggi adalah untuk bermain dengan nama-nama sahaja. Tak lebih
dari itu. Tak ada permenungan. Tak ada ketajaman pandangan. Tak ada disiplin
untuk membuka ruang perbincangan yang lebih bermanfaat. Semuanya berjalan satu
hala, dan harap-harap nanti, tak tergolek. Saya juga berasa ini amat janggal
untuk di lakukan oleh seorang yang duduk juga di kerusi akademik, mengajarkan
sastera Inggeris kepada orang lain.
Membaca
perenggan ini, soalan paling asas yang ingin saya pertanyakan kepada Azriq
ialah; apa itu sastera? Adakah sastera itu hanya untuk dikalungkan kepada
mereka yang menulis novel (walaupun novel itu buruk)? Adakah sastera itu
merujuk kepada orang yang menulis puisi (walaupun puisinya suam-suam kuku)?
Atau adakah sastera itu merujuk kepada orang-orang yang mengulas tentang
nama-nama pengarang yang dirasakan cukup resepi untuk dianggap pengarang
sastera? Ini perlu dijelaskan.
Saya
boleh faham ketidaksenangan Azriq terhadap Mohd Affandi Hassan yang menolak ke
tengah khalayak teori persuratan barunya. (Ini juga, diharap akan ada tulisan
menyeluruh dari Azriq untuk mengimbangi pandangan sastera persuratan baru itu.)
Tetapi, Tolstoy? Edward Said? Adakah betul kononnya dua nama ini, sebagai
contoh, tidak menulis esei (atau Azriq mencari esesi 'sastera') dengan baik?
Atau adakah yang tidak disedarinnya sendiri, di dalam dirinya, wujud
ketidak-pekaan terhadap objektiviti sastera yang rencam, yang sepatutnya ada?
Berkenaan
Edward Said, kalau saya perlu untuk menyebut satu nama (sebagai menghormati
kearifan gaya penulisan Azriq), adakah kita sudah terlupa (atau, jangan malu
untuk mengaku jika kita tak pernah tahu) yang orang ini terlebih dulu dikenali
kerana dia muncul sebagai antara scholar ulung yang menerbitkan kajian
menyeluruh, yang dirujuk hingga hari ini berkaitan Joseph Conrad? Atau, adakah
itu belum cukup 'sastera' menurut Azriq?
Ini
masalahnya; Azriq tak sedar dia kerap membiarkan dirinya terapung di dalam
angan-angan, walaupun ketika menulis esei.
Comments