Penyesalan Seni & Mencipta Imej Baru
"To go ahead and always in search of the new." - Baudelaire
Saya membesar dengan seorang ayah yang melukis, sebagai kerjaya dan nikmat kesenian, imej konvensional (atau realistik) dan juga imej eksperimental (atau moden); kedua-dua dilukiskan mengikut waktu dan mood dan tuntutan berbeza; kedua-dua melukiskan pandangan dunia ayah saya (dia sangat dekat dengan suasana kampung dan pada masa sama imaginasinya sentiasa merantau ke luar negara) dan - tanpa dia sedari - turut melukiskan potret dirinya (saya pernah tanya, tapi dia enggan melukiskan potret autobiografi) yang di mata saya, setelah membesar selama dua puluh enam tahun melihat dan memerhatikan setiap lukisan di studionya, terbahagi kepada dua bahagian: pertama, diri ayah saya yang ingin merakamkan memori tempat dia dibesarkan, iaitu Kedah; dan kedua, iaitu diri ayah saya yang ingin membuka jalan baru dalam lapangan keseniannya - diri ayah saya yang selama enam puluh tahun mengumpul majalah lukisan dan mencuba pelbagai teknik baru - dan dirinya yang kedua ini ialah diri ayah saya yang saya jarang temui; lebih-lebih lagi sekarang - ini ialah dirinya yang melukis semata-mata kerana kepuasan emosi. Atau kepuasan seni.
Dia jarang melukis dalam tempoh yang lama untuk satu keping lukisan - masa perlu dikejar dan duit perlu dicari. Kadang-kadang, disebabkan tidak ada duit untuk membeli kanvas baru, dia akan ambil lukisan lama dalam koleksinya dan padamkan lukisan itu untuk dilukiskan dengan yang lain bagi tujuan jualan (tabiat ini sering kali melukakan hati saya kerana terpaksa melihat lukisan-lukisan yang suatu masa dulu menghiburkan mata saya, hilang begitu saja dalam sekelip mata).
Kadang-kadang saya ingin bertanya pada dia - usia dia sekarang menghampiri tujuh puluh - adakah dia menyesal apabila dia menghapuskan sisa-sisa memorinya. Tetapi saya tidak pernah. Mungkin belum masanya. Mungkin masa itu itu tidak akan tiba. Dan mungkin dia akan mati dulu sebelum saya sempat menanyakannya.
Beberapa bulan lalu seorang rakan penulis menceritakan kepada saya tentang perbualan dia bersama seorang sasterawan besar kita - sekarang sudah uzur - dan sebelum dia menemui sasterawan itu, rakan saya ini minta satu soalan daripada saya untuk dibawa dan ditanyakan nanti. Saya berikan dia satu soalan: "Apakah penyesalan di lewat usia?" Entahlah; bagi orang kita, mungkin kurang ajar untuk tanya orang tua begitu; tetapi saya anggapnya sebagai suatu penghormatan kerana kita mengakui yang sasterawan ini hanya manusia biasa seperti orang lain, dan seperti mana-mana seniman, usia kepengarangannya pasti ada pasang dan surut (cuba baca karya lewat John Updike dan anda akan menemui maksud saya). Rakan saya kemudian menceritakan jawapan yang sasterawan itu telah berikan kepadanya: "Tidak ada. Tidak ada satu detik yang saya menyesal." Lebih kurang begitulah. Saya terdiam. Dan ia terus mengingatkan saya kepada ayah.
Comments