Cerpen-Mikro Antonio Fernandez Molina
Mencipta cerpen pendek atau cerpen-mikro ialah seperti menulis puisi pendek: ia mencabar tanggapan pembaca, dan, ia mempersoalkan kefahaman kita tentang batas atau ruang atau keupayaan fiksyen untuk menghiburkan pembaca. Dan kerana sifatnya yang mencabar itu - atau kita boleh katakan memberontak - ia menjadi genre pilihan penulis avant-garde: Calvino dan enam manifestonya; Perec dan cerita-cerita apartmennya; Barthelme dan muzium Tolstoynya - pembaca mana yang tidak rasa macam fikirannya diceroboh apabila seorang penulis seperti Barthelme menjadikan pembacaan kita sebagai sebuah lawatan muzium. Ini hanya sebahagian daripada cerpen-mikro yang kita boleh temui. Lydia Davis sudah tentu ialah cerpenis-mikro (label yang barangkali dia sendiri akan nafikan) terbaik di dunia sekarang - dalan fiksyen Davis, dia bukan lagi memberontak, atau bermain, atau mencuba, atau mengusik pembaca; tetapi dia telah mentafsirkan semula genre penulisan cerpen - kita keluar dari cerpennya seperti kita dilahirkan semula oleh seorang komposer muzik yang genius.
Di Sepanyol, cerpen-mikro sedang menjadi semacam budaya penulisan di kalangan penulis generasi muda mereka seperti David Roas, Fernando Iwasaki, dan Miguel A. Zapata. Masing-masing telah menerbitkan buku kumpulan cerpen-mikro (kebanyakan masih belum diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris). Membaca cerpen David Roas berjudul Das Kapital mengingatkan saya kembali kepada cerpen Julio Cortazar: kita mula dengan cerita yang realistik, dan selalunya dekat dengan kehidupan harian (cerita David Roas ialah tentang seorang penumpang kapal terbang), sebelum penulis mengejutkan kita dengan peristiwa atau latar yang aneh dan luar biasa. Antara cerpen menarik Cortazar ialah tentang lelaki yang pergi ke pusat akuarium dan kemudian menjadi amfibia yang dia sedang perhatikan. Tetapi ia bukanlah cerpen-mikro. Yang lebih sesuai - dan mempunyai persamaan dengan cerpen Cortazar - ialah yang ditulis Antonio Fernandez Molina berjudul Telur Pecah (terjemahan saya sendiri):
"Di waktu kesengsaraan, sebiji telur ialah ibarat hidangan malam yang jimat dan tidur yang tenang: aku mengambilnya ke dalam tanganku dan kupecahkan ia di atas belanga. Kusangkakan putih telur yang keluar, tapi sebaliknya muncul seorang lelaki seperti aku. Dia juga sedang memecahkan telur di atas belanga, dan muncul lelaki lebih kecil, yang juga memegang telur di tangannya. Dan ini berterusan tanpa kesudahan..."
Kalau cerpen ini ialah jam, ia adalah jam yang terperangkap dalam satu detik waktu: ia ibarat sebuah memori yang sentiasa diputarkan kembali berulang-ulang kali. Atau kita boleh katakan, ia adalah sebuah pembacaan infiniti, yang sentiasa membawa kita kembali ke petak mula, sebelum kita dapat mencari jalan keluar dari kota labirinnya yang misteri.
Comments