Ulysses: Pengenalan Kepada Leopold Bloom



Terdapat dua watak utama dalam novel James Joyce Ulysses iaitu Stephen Dedalus dan Leopold Bloom. Bloom hanya muncul kemudian selepas Joyce membawa kita berjalan dan keluar masuk minda Dedalus. Sudut pandang Dedalus sebagai penyair ternyata sensitif dan masih dalam kemurungan selepas kematian ibunya, sentiasa kaya dengan renungan panjang, berlirik, berkonflik, sentimental, dan berhantu. Ia memberi gambaran awal kepada pembaca bahawa Ulysses bukan sekadar novel tentang kota Dublin; ia adalah novel tentang kehilangan, keruntuhan waktu, dan rasukan dari masa lalu. 

Justeru, apabila kita dibawa masuk ke bab berjudul "Calypso" di mana watak Bloom diperkenalkan, Joyce menukar warna dan tekstur bahasanya. Bloom bukan seorang penyair seperti Dedalus. Maka sudah tentu monolog dalaman Bloom lebih mudah difahami, langsung, dan dekat dengan objek harian. Saya akan kongsi cara Joyce mengatur naratifnya pada bahagian awal bab ini. Banyak kita boleh belajar, terutama sekali cara menggunakan teknik monolog dalaman dengan puitis dan tersirat. Perhati bagaimana Joyce bermain-main dengan dialog seekor kucing tanpa memberitahu kita itu adalah sudut pandang Bloom.  

Saya turunkan versi asal teks ini kerana itu cara terbaik untuk mengenali kaedah penulisan Joyce. 

* * *

  Mr. Leopold Bloom ate with relish the inner organs of beasts and fowls. He liked thick giblet soup, nutty gizzards, a stuffed roast heart, liver slices fried with crustcrumbs, fried hencods' rose. Most of all he liked  grilled mutton kidneys which gave to his palate a fine tang of faintly scented urine.

 Kidneys were in his mind as he moved about the kitchen softly, righting her breakfast things on the humpy tray. Gelid light and air were in the kitchen but out of doors gentle summer morning everywhere. Made him feel a bit peckish. 

 The coals were reddening.

 Another slice of bread and butter: three, four: right. She didn't like her plate full. Right. He turned from the tray, lifted the kettle off the hob and set it sideways on the fire. It sat there, dull and squat, its spout. stuck out. Cup of tea soon. God. Mouth dry. The cat walked stiffly round a leg of the table with tail on high. 

 – Mkgnao!

 _ O, there you are, Mr Bloom said, turning from the fire. 

 The cat mewed in answer and stalked again stiffly round a leg of the table, mewing. Just how she talks over my writingtable. Prr. Scratch my head. Prr. 

 Mr Bloom watched curiously, kindly, the lithe black form. Clean to see: the gloss of her sleek side, the white button under the butt of her tail, the green flashing eyes. He bent down to her, his hands on his knees. 

 – Milk for the pussens, he said.

– Mrkgnao! the cat cried.

 They call them stupid. They understand what we say better than we understand them. She understands all she wants to. Vindictive too. Wonder what I look like to her. Height of a tower? No, she can jump me. 

* * *

Kita boleh melihat nukilan ini dari banyak sudut bagi memahami gaya bahasa Joyce yang sangat dinamik dan beraneka ragam. 

Makanan. Membuka bab dengan melukis keghairahan Bloom meratah organ dalaman binatang ternyata memberi kesan visual yang jelas serta memperkenalkan pembaca kepada sifat dan tabiatnya. Ini turut dibantu oleh pengulangan konsonan "g" "f," "t" dan "c" yang dimulai dengan kata "organ" kemudian meningkat dramatik dengan "giblet," "stuffed," "gizzards," "crustcrumbs," "hencods," "grilled mutton." Nafas kita terhenti sekejap di setiap kata seolah Bloom sedang menarik nafas dalam apabila dia menelan makanan.    

Mood. Walaupun saya tidak pernah ke Dublin, tapi saya boleh membayangkan suasana pagi di dapur rumah Bloom. Ambil contoh frasa "gelid light." Gelid bermaksud udara dingin. Tapi bolehkah cahaya turut rasa gelid? Cahaya dingin memberi warna suram kebiruan dalam fikiran saya. Kemudian apabila Bloom kata dia rasa lapar, kita tahu udara dapur itu sangat sejuk. Sekarang letak sebelah-menyebelah udara sejuk itu dengan imej arang yang sedang terbakar merah. Seru!

Cerek. Lihat cara Joyce menggambarkan cerek itu diletakkan di atas sapur: "dull and squat." Macam binatang atau budak tengah merajuk. Seperti Shahnon Ahmad, Joyce adalah genius apabila melukis benda-benda menjijikkan dengan jelas. Realiti Joyce bukan realiti Chekhov yang sentimental. Dia tidak segan dan malu untuk membaurkan rasa indah dan jijik dalam satu babak. 

Aliran kesedaran. Bloom sedang menyediakan sarapan untuk isterinya dalam bab ini. Sambil menyeka mentega pada roti, fikirannya melompat ke masa lalu (isterinya tidak suka makan terlalu banyak), kemudian beralih kepada teh yang membuat tekaknya kering sebelum perhatiannya beralih kepada kelibat seekor kucing. Inilah cara monolog dalaman memerlahankan naratif di samping membuka sempadan waktu. 

Suara kucing. "Mkgnao." Ini betul ke suara kucing? Mustahil kita dapat memecahkan suara kucing ke dalam kata. Oleh itu "mkgnao" adalah bunyi yang Bloom membayangkan dalam fikirannya. Seperti mana dia membayangkan dirinya adalah puncak menara untuk seekor kucing melompat. Tersirat dan memikat.  

Penjara perkahwinan. Perkara terakhir saya ingin sentuh ialah judul bab ini iaitu "Calypso." Dalam Odysses, watak Odysseus terperangkap selama 7 tahun di atas pulau Ogygia milik dewi Calypso. Dewi ini menawarkan Odysseus usia abadi sekiranya dia bersetuju menjadi suaminya. Mungkin ini sedikit banyak memberi gambaran kepada pembaca bahawa perkahwinan Bloom adalah ibarat penjara di atas pulau. Menyediakan makanan – terutama sekali organ dalaman binatang – adalah ibarat memberi hidangan korban kepada tuhan.       

   

Comments

Popular Posts