Tiga Puisi Komik Marsli N. O

Hero boleh menang dalam sebuah komik. Kalau si hero lemah, dia ada pintu suka hati atau mesin terowong masa untuk mengubah nasibnya. Tetapi penyair bukan hero mahupun korban tragedi. Dalam dunia kepenyairan Marsli N. O, penyair ialah pemerhati — anjing menyalak di luar tembok rumah agam — dan korban kepada permainan kuasa golongan licik dan penipu. Puisi Marsli membungkam rahsia, dan kalau kita boleh merapatkan telinga, rahsia ini akan meraung-raung dengan kedukaan. 

Berbeza dengan puisi, komik adalah dunia permainan tanpa batas. Komik menawarkan pelbagai kemungkinan. Naga menghidupkan orang mati, dan orang mati boleh membunuh naga yang menghidupkannya. Komik adalah penjelmaan kanak-kanak Heraclitus dan api Nietzsche dalam erti kata sebenar. Tetapi di manakah seorang kartunis meletakkan sempadan atau bingkai kepada hasil ciptaannya? Adakah usia watak? Takdir dewa naga? Kelahiran semula? Jenaka lucah yang berulang-ulang? Tumbang tentera Selendang Merah, datang Pikor, tumbang Pikor, datang Fliza, tumbang Fliza, datang Majin Buu. Tragedi komik ialah komedi yang tidak pernah ketawa. Sementara komedi puisi ialah tragedi yang tidak pernah diam.   

Apa akan berlaku apabila komik bergabung dengan puisi? Kita dapat Nobita. Figura komik tragedi yang ideal kerana Nobita boleh kalah dan menang. Nobita sentiasa mendapat markah kosong dalam ujian, sentiasa didenda di luar kelas, sentiasa kena belasah dengan Giant, sentiasa kena marah dengan mak, dan sentiasa terperangkap dalam usia tubuh yang sama. Tetapi berbeza dengan aturan kehidupan sebenar, Nobita boleh guna cheat code. Dia boleh mencipta ruang permainan peribadi bersama Doraemon untuk merawat luka dan menafikan kekejaman permainan sosial. Seperti penulisan puisi, permainan menjadi pharmakon: racun dan penawar kepada hati yang terluka.

Cara Marsli menulis tiga puisi komik di bawah akan mengingatkan kita kepada Roland Barthes: beliau bukan sahaja merungkai mitos dalam budaya pop, tetapi menyuluh api ke bayang-bayang di dinding.

* * *

WATAK KOMIK
Oleh Marsli N. O

mereka hidup dan berulang muncul di depan kita. dengan pelbagai
nama dan rupa. pemilik watak di dalam kisah yang ditentukan
pengarang rajin dan dilukis oleh dakwat imaginasi sang pelukis.

kita percaya dengan apa yang dituliskan pengarang. si baik
yang selalu menjadi wira dan pembela kemenangan. mereka
adalah manusia gagah berwajah cantik dan tampan. lelaki atau
perempuan, kita menyukai dan kadang memilihnya sebagai idola

walau kita tahu mereka hanyalah wajah yang hidup di dalam
komik dan bergerak kerana imaginasi pengarang serta dilukis
dengan cinta pelukis. tetapi kita menyanyangi dan mengagumi
mereka.

kerana di luar komik, kita semakin melihat dunia yang kabur atau
berbalam dan menemui semakin ramai manusia berwajah kusam.
hatinya terbelah oleh dukacita yang dalam dan berjalan dengan
langkah berat. sambil menyeretkan masalah ke dalam perasaan. 
yang tidak tenteram.

walau wajah mereka kaku dan membeku di dalam komik. kita
menyukai dan mengagumi mereka. kerana hanya dengan mereka,
kita berkongsi duka dan suka
di dalam perasaan. 

NOBITA
Oleh Marsli N. O

dua pelukis dan kaya imaginasi, fujio dan fujiko memulakan   
wataknya. kanak-kanak lemban dan pemalas bernama nobita
bertemankan doraemon, robot kucing yang dikirimkan oleh cucu
dan cicitnya dari masa depan

bersama doraemon, nobita menjalani hidup biasa kanak-kanaknya
menghadapi bulit giant, sindir suneo dan kebaikan shizuka. dari
poket ajaibnya doraemon mendatangkan berjuta perkakas pemuas
hendak nobita yang selalu gopoh dan tergesa. kerana cuainya,
nobita memanggil masalah dan rendah markah ujian sekolah
mendatangkan marah ibu yang peleter. nobita membesar tanpa
suara bentak seorang ayah. doraemon menjadi penasihat setia di
depan masalah. tanpa doraemon, nobita adalah anak yang kecewa
dan gagal.

dari wilayah komik kisah nobita menjalar ke kaca tv
tanpa sedar, nobita hidup dan bernafas dalam jiwa anak kita
menghasut mereka menjadi pemalas dan peragu nasihat orang tua

hanya di jiwa anak kebal dengan benteng agam dan nasihat sopan
nobita tewas dan tak mampu menjadi penghasut. 

SEORANG ANAK DAN TOPENG GOKU
Oleh Marsli N. O

di luar pasar yang berbau pagi itu
kulihat di depan sebuah gerai yang rimas
seorang anak meminta ayahnya
membelikan sebuah topeng
dan ayah yang penyayang tidak segan
menunaikan.

kulihat laut ghairah di wajah si kecil
setelah jual beli ditunaikan dan segera
ke wajah kecilnya topeng itu dia sarungkan

dan tubuh kecilnya kini meresapkan jiwa goku
wira kaum saiya yang hidup di dunia komik mutiara naga
bersama karibnya kurin, pahlawan botak dari kuil shaolin
berkelana mencari tujuh mutiara
pengabul segala hajat

di jiwa kecil di dalam jasadnya anak itu mulai hidup
bersama kisah wira goku dari 42 jilid buku

ditemani kurin, goku menumpaskan maharja pikor,
fliza, para cyborg, cell dan majin buu
pengadang niat yang selalu cemburu

dan anak kecil itu kini hidup dengan semangat goku
yang sebelumnya dikenal dari dunia komik dan hidup di dalam tv
pada setiap hujung minggu
di setiap rumah kita. 

 

Comments

Popular Posts