10 Buku Terbaik 2022

Sudah lama saya tidak kongsi apa-apa senarai. Seperti mana saya banyak bergantung pada senarai dan cadangan buku pembaca lain, saya berharap senarai ini dapat mencetuskan keinginan orang lain untuk membaca. Saya akan bataskan senarai ini hanya kepada buku esei, falsafah, dan memoir. Mungkin hujung tahun baru saya kongsi senarai buku fiksyen dan puisi. Lagipun dua tahun kebelakangan ini saya memang lebih banyak menggali dunia teori, kritikan, dan falsafah. Tukar mood orang puteh kata. Okay, ke senarai terbaik saya telah baca setakat bulan Jun. 


1. Nothing Is Sacred, Salleh Ben Joned, 2003 Maya Press

Saya perlu sebut buku ini dulu kerana ia antara kumpulan esei terbaik Malaysia. Dan tidak banyak pun buku kumpulan esei yang kita boleh rujuk di Malaysia. Di sebalik sindiran, carutan, dan kutukan tajam Salleh, ada jenaka dan renungan kritis mengenai sastera dan budaya di Malaysia. Wajib baca buat kaki gosip di kalangan pembaca dan penulis. 


2. Catatan Si Malin Kundang: Antologi Esei, Umar Junus, 1989 Dewan Bahasa dan Pustaka 

Buku yang mesti diulang cetak dan berada di rak setiap pengarang esei. Terkenal sebagai kritikus aliran linguistik, Umar Junus membuktikan beliau boleh lepaskan jubah akademik, dan menulis secara santai esei hebat dalam pelbagai topik seperti filem, politik, kamus, cerita koboi, tangan penari, dan Kuala Lumpur. Jika suatu hari nanti ada orang ingin menggariskan sejarah penulisan esei di Malaysia, maka buku ini dan buku Salleh Ben Joned mesti masuk ke dalam senarai. 


3. Neo-Existentialism, Markes Gabriel, 2018 Polity Press

Kita selalu guna perkataan seperti "minda" dan "akal" walaupun kalau minta dilukis, kita tidak tahu bagaimana hendak menggambarkannya secara fizikal. Minda bukan otak seperti mana golongan materialis ingin kita percaya. Minda adalah konsep atau alat pemikiran yang kita cipta untuk menerangkan hubungan kita dengan alam. Namun adakah minda, seperti jiwa, satu unit tunggal dalam diri manusia? Menurut ahli falsafah Jerman, Markus Gabriel, minda tidak bersifat tunggal, seperti mana dunia tidak bersifat tunggal. Dalam falsafah neo-existentialism Gabriel, minda wujud dalam wilayah dan rangsangan sensual yang berbeza-beza.     

4. Strike Anywhere: Essays, Reviews, and Other Arsons, 2016 The Porcupine's Quill

Sesuai dengan judulnya, buku ini adalah himpunan mercun yang akan meletup di muka anda. Ia juga pengenalan terbaik kepada perkembangan tradisi puisi di Canada. Saya ingat sebelum saya mengenali Roberto Bolano, pengetahuan saya tentang sejarah sastera Amerika Latin sangat terbatas. Namun melalui novel, cerpen, dan esei Bolano saya mengenali lebih ramai pengarang Amerika Latin di luar generasi Boom. Lista memberi pengalaman sama, malah mendengarnya mengutuk penyair-penyair Canada membuat kita rasa lebih teringin untuk membaca dan menyelidik. 


 5. The Ethics of Deconstruction: Derrida and Levinas, Simon Critchley, 2014 Blackwell 

Saya sedar baru-baru ini yang Jordan Peterson kerap membuat serangan ke atas Derrida dan pemikiran pascamoden. Tanggapan Peterson mengenai deconstruction sangat mirip dengan komen pedas saya pernah  terima ketika memberikan syarahan di Kedah: "karya pascamoden hanya sekadar budaya koyak dan pijak buku." Peterson menuduh deconstruction sebagai tidak bertanggungjawab kerana ia sekadar meruntuhkan idea dan menggalakkan pentafsiran tanpa batas. Pandangan ini bukan sahaja salah, tetapi sangat cetek serta menggambarkan kefahaman terbatas Peterson tentang deconstruction dan pemikiran pascamoden. Namun Peterson bukanlah orang pertama menyerang Derrida. Semenjak lahirnya pendekatan deconstruction di Eropah, ia sentiasa menerima kritikan daripada sarjana dan ahli falsafah, malah pendirian Derrida politik yang agak kabur memburukkan lagi reputasi deconstruction sebagai kaedah pemikiran tanpa etika dan moral. Buku Simon Critchley merupakan reaksi kepada kritikan ini di mana Critchley mempertahankan deconstruction sebagai gesture atau kaedah yang memang mengandungi "etika" dalam struktur atau jejak-jejak pembangunannya.      


6. An Event, Perhaps: A Biography of Jacques Derrida, Peter Salmon, 2021 Verso 

Falsafah bukan soal teks, makna, dan aplikasinya semata-mata. Falsafah terikat dengan semua perkara termasuk peristiwa, emosi, sejarah, objek dan kehidupan pemikirnya. Buku Salmon merupakan dialog mesra dan pengenalan terbaik kepada riwayat dan karier Jacques Derrida. Kita akan lebih faham kenapa deconstruction sentiasa meragui dan mempersoalkan keutuhan sesuatu idea apabila kita melihat bagaimana Derrida membesar dalam suasana penuh diksriminasi sebagai remaja Yahudi di Algeria dan Perancis. Salmon turut menerangkan dalam bahasa mudah asal-usul kepada setiap idea utama Derrida serta hubungan idea itu dengan pemikiran lain pada abad kedua puluh. 


 7. The Lonely City: Adventures in the Art of Being Alone, Olivia Laing, 

Ini satu topik yang saya rasa jarang dibincangkan dalam masyarakat kita. Seperti kemurungan, kesunyian dilihat sebagai sifat yang lemah dan hina. Kalau hati penuh iman, kenapa nak rasa sunyi? Kalau kita sibuk bekerja dan beribadah, kenapa nak murung dan bunuh diri? Tetapi pandangan sempit itu sama sekali tidak membantu mereka yang sedang hidup terasing di tengah kota. Olivia Laing membawa kita berjalan bersamanya sambil menggambarkan perasaan sunyi menjadi warga kota, dan bagaimana keterasingan itu ada waktunya menjadi bukti kukuh bahawa kita sebenarnya sedang hidup dalam sebuah pengembaraan panjang. 


8. To Walk Alone in the Crowd, Antonio Munoz Molina, 

Buku ini boleh dibaca secara bergandingan dengan buku Olivia Laing, terutama sekali buat pejalan kaki tegar. Buku Molina bukan sekadar tentang berjalan, ia juga menyentuh tentang sastera dan penulisan. Beliau banyak merujuk kepada karya dan kehidupan Walter Benjamin. Molina menyusun naratifnya secara fragmen, ibarat episod berjalan kaki di tengah kota yang berbeza-beza. 


 9. Though and Poetry: Essays on Romanticism, Subjectivity, and Truth, John Koethe, 2022 Bloomsbury

Rasanya selepas Wallace Stevens, John Koethe ialah penyair-falsafah paling dekat yang Amerika pernah lahirkan. Malah beliau lebih Wallace Stevens daripada John Ashbery. Setiap kali membaca puisi Koethe, saya seperti sedang mendengar penerangan seorang pemikir tentang alam, waktu, dan identiti. Esei Koethe turut menggambarkan kecenderungan metafizik dan intelektual beliau sebagai penyair. Kalau anda tidak pernah membaca Koethe, atau minat puisi metafizik, esei-esei ini masih berbaloi untuk dibaca dalam menerangkan bagaimana puisi membina jambatan di antara subjek dan alam. 

10. The Forms of the Affects, Eugenie Brinkema, 2014 Duke University Press

Teori kesan atau affect sedang berkembang dalam ilmu kritikan di barat. Ia merupakan reaksi langsung kepada falsafah kebenuaan abad kedua puluh yang sangat taksub dengan peranan linguistik. Jika segala-galanya adalah teks dan simbol, maka di mana terletaknya emosi dan tubuh manusia? Apakah reaksi kita sebagai manusia tidak penting dalam membina hubungan dengan sesuatu peristiwa dan kejadian? Eugenie Brinkema membawa teori kesan ke dalam dunia sinema dengan pengkhususan menarik pada imej air mata dan kesan formalnya terhadap penonton. 

 

Comments

Popular Posts