Siri Sejarah Novel: Pengenalan: Kajian Franco Moretti


Franco Moretti ialah antara sarjana sastera yang paling dikenali di dunia sekarang. Sama ada kita bersetuju dengan pendekatan saintifik dan kaedah pembacaan berjaraknya, kita harus akui Moretti telah memperkenalkan kajian baru kepada perkembangan ilmu teori yang sudah agak lama menjadi bungkam. Justeru apabila saya mengetahui Moretti menjadi editor kepada sebuah antologi mengenai sejarah novel, saya terus mencarinya. Judulnya mudah The Novel: Volume I and Volume II. Tetapi ini bukan buku nipis! Sebelum ini buku sejarah novel paling tebal saya pernah baca ialah The Novel: A Biography karangan Michael Schmidt (1187 halaman). Antologi susunan Moretti telah mengatasi buku Schmidt; ia terbahagi kepada dua jilid dengan setiap jilid mempunyai 1000 halaman lebih. Ya, berbeza dengan Schmidt, Moretti tidak mengarang sendiri buku ini; namun ia tetap membuka pelbagai topik dan sudut pandang mengenai sejarah penulisan novel. 

Saya sahaja membuat catatan ini sebagai membantu saya membaca setiap kertas kajian yang dipilih oleh Moretti. Justeru catatan saya lebih kepada rumusan dan komentar ringkas kepada topik dalam sesuatu bab. Mungkin apabila saya telah berjaya berkelana hingga ke jilid kedua, saya akan memberi pendapat yang lebih menyeluruh dan "berjarak." Menurut Moretti, The Novel mempunyai dua perspektif utama: novel sebagai pencetus budaya, dan novel sebagai bentuk. Kehadiran novel telah banyak mengubah cara manusia mentafsir dirinya, hubungan dengan masyarakat, di samping sentiasa mencabar, mengubah, dan melahirkan penemuan baru dalam teknik penceritaan.   

Subjek yang dipilih untuk jilid pertama adalah sejarah, geografi, dan budaya. Kita diajak melihat novel dari luar, sementara subjek jilid kedua adalah bentuk novel itu sendiri. Apa yang Moretti ingin kecapi akhirnya ialah memperlihatkan hubungan "penceritaan" dengan "kuasa sosial." Katanya, "kenikmatan dan kritikan tidak harus dipisahkan." 

Saya akan masuk ke dalam bab pertama dahulu yang diberi judul "A Struggle For Space." (... bersambung) 

Comments

Popular Posts