Fernando Pessoa & Islam
Fernando Pessoa ialah penyair Portugal yang terkenal sebagai manusia dengan pelbagai topeng. Setiap topeng ini mempunyai nama, dan setiap topeng ini menulis dan memandang dunia dengan cara berbeza. Namun, seperti mana-mana penulis eksentrik, pemikiran Pessoa lebih rumit daripada yang kita sangka. Kita tahu Pessoa percaya kepada Sebastianism (mitos bangsa Portugal mengenai kepulangan Raja Sebastian untuk menyelamatkan mereka daripada kesusahan). Tapi Pessoa juga mempunyai hubungan intim dengan Islam.
Bagi memahami hubungan ini, kita perlu kembali ke zaman awal Pessoa ketika dia bersekolah di Durban High School, Afrika Selatan, antara tahun 1896 hingga 1905. Kita boleh membayangkan Pessoa melalui pendidikan bercorak kolonial, dan sudah tentu terdedah kepada bahan bacaan dalam bahasa Inggeris. Pada tahun 1903, Pessoa menerima Queen Memorial Prize daripada pihak sekolah yang termasuk buku karangan Harry Johnston berjudul The Nile Quest. Buku ini memperincikan sejarah dunia Islam. Ketika ini, selain mempunyai keinginan untuk membaca "Hikayat Seribu Satu Malam," Pessoa juga menulis tiga buah prosa dalam bahasa Inggeris mengenai Islam dan kisah orang Arab. Sayang sekali para pengkaji Pessoa belum menemui tulisan ini dalam simpanannya.
Pada waktu ini, Pessoa menulis menggunakan nama Alexander Search, dan dalam puisi Search, ada disebut tentang tanah Arab dan sejarah Perang Salib. Di antara tahun 1904 hingga 1905, sebelum dia pulang ke Lisboa, Pessoa telah membaca dan membuat anotasi esei Thomas Carlyle berjudul "The Hero as a Prophet. Mahomet: Islam," dan juga esei Emerson berjudul "Persian Poetry." Menurut Hubert Dudley Jennings, Durban pada masa itu ialah sebuah kota pelabuhan kosmopolitan. Maka kehadiran pedagang Muslim di pelabuhan itu pasti bukan sesuatu yang asing. Malah sekolah Pessoa terletak berdekatan dengan Grey Street Mosque.
Selepas Pessoa kembali ke Lisbon pada 1906, dia menulis puisi Inggeris berjudul "Mahomet's Coffin," dan dia juga mula membaca puisi Percy Bysshe Shelley "The Revolt of Islam." Pessoa juga dikatakan bercadang untuk membeli kitab Quran dan buku-buku tulisan Ibnu Rusyd dan Imam Ghazali. Namun buku-buku ini tidak pernah ditemui dalam koleksi estate Pessoa.
Satu perkembangan penting pada masa ini ialah kelahiran watak lelaki tua Arab bernama Al-Cossar. Tidak dinafikan lagi, nama ini direka oleh Pessoa sendiri. Namun maksudnya mempunyai kaitan dengan sebuah tempat di Morocco di mana Raja Sebastian dikatakan hilang. Al-Cossar disebut sebagai penyair dan pemikir. Melalui Cossar, Pessoa memperkenalkan pemikir Islam seperti Ibu Sina dan Ibnu Tufail. Satu perkara yang perlu diingatkan ialah apabila Pessoa menyebut "Arab," dia sedang merujuk kepada golongan Muslim, dan tidak semestinya mereka yang berbangsa Arab.
Karya yang memberi kesan paling besar terhadap Pessoa ialah "Rubaiyat" karangan Omar Khayam yang kemudian diterjemahkan oleh Edward FitzGerald. Inilah versi yang Pessoa baca dan kemudian terjemahkan sebahagian daripadanya ke bahasa Portugis. Namun Pessoa sendiri sedar, ada masalah besar dengan terjemahan FitzGerald. Omar Khayam dalam terjemahan FitzGerald lebih mirip persona seorang penyair Eropah. Selain menterjemahkan rubaiyat, Pessoa juga menulis puisi menggunakan bentuk itu.
We sleep the universe away. The boundless
Mass if disparate things weaves dreams
In us, and the drunken human confluence
Hollowly echoes from race to race.
Siapakah di antara alter ego/ heteronim Pessoa yang menulis rubaiyat ini? Tidak ada. Rubaiyat ini ditulis oleh Pessoa sendiri, atau alter-ego bernama Pessoa yang beliau sebut sebagai ortonim. Malah Pessoa pernah menyatakan perbezaan di antara alter ego bernama Pessoa dan Omar Khayam:
"Omar ada personaliti, saya pula, malangnya, tidak ada sebarang personaliti. Dalam masa sejam, saya akan menyimpang daripada diri saya sekarang, dan esok, saya akan lupa siapa diri saya hari ini. Ada orang, seperti Omar, hidup hanya dalam satu dunia, iaitu dunia luar. Sementara ada orang, seperti saya, hidup dengan dunia luar, tapi pada masa sama sentiasa berubah dalam dunia dalamannya."
Selain Omar Khayam, sarjana-sarjana Pessoa juga menemui tulisan sufi lain di rak biliknya seperti Rumi, Inayat Khan, Baijnath Singh, dan sudah tentu... Hafiz.
Comments