Gerald Murnane: Fiksyen Dengan Sejuta Jendela

Gerald Murnane di Goroke, Australia



Inception ialah sebuah filem luar biasa di mana rompakan berlaku dalam mimpi manusia. Bukan satu lapisan mimpi, tapi mimpi dalam mimpi. Namun adakah dunia yang Nolan bayangkan mirip dengan bagaimana manusia sebenarnya bermimpi? Adakah memori manusia sangat logik dan kukuh sehingga ia boleh dipengaruhi dan dibentuk oleh penceroboh asing? Bukankah mimpi kerap kalinya menakutkan kita? Jangan kata bangunan terbalik, dalam mimpi tubuh boleh terbakar, dan sayap tumbuh di kedua-dua belah telinga. Namun semua ini harus berlaku secara semula jadi dalam mimpi seseorang. Sekiranya ada musuh atau agen asing menceroboh masuk, maka minda bawah sedar kita akan bertindak balas lalu membunuhnya. 

Tetapi dalam dunia seorang Gerald Murnane, watak mimpi dan agen asing —narator — dibenarkan wujud secara harmoni dan saling melengkapi. Murnane tidak ingin menyembunyikan naratornya. Dia ingin kita melihat sang narator berjalan, mengintip, dan memerhati pergerakan seorang watak. Pemerhatian narator ialah tanggapan seorang pengarang ke atas wataknya. Dalam novelnya A Million Windows, Murnane memberikan contoh daripada tulisan Ernest Hemingway: 

Nick rubbed his eye. There was a big bump coming up. He would have a black eye, all right. It ached already. That son of a crutting brakeman.

Pembaca yang teliti akan perasan kehadiran dua suara dalam petikan di atas. Murnane menyebut teknik ini sebagai double-voicing. Kita mendengar suara narator dan juga suara Nick. Ayat pertama ialah sudut pandang narator yang paling objektif. Selepas ayat kedua dan ayat ketiga, suara narator mula tenggelam, dan apabila sampai ke ayat keempat, suara Nick telah menggantikan suara narator.  

Sesiapa yang mengikuti karya Murnane akan tahu bahawa inilah kualiti "fiksyen sejati" yang disanjungnya. Beliau menulis dalam A Million Windows:

I have been sometimes dissatisfied with the sort of narration in which the thoughts and feelings of the chief character alone are reported. ('Nick rubbed his eye...') I have sometimes felt concerned that such fiction diminishes the importance of the narrator. The undiscerning reader of such fiction might well suppose himself or herself merely to be witnessing one after another, so to call it, in the life, so to call it, of the chief character in almost the way the viewer of a film supposes himself or herself to be witnessing, actuality, so to call it. 

Murnane ialah penulis kelahiran Australia, dan beliau dikatakan calon terbaik untuk menang Hadiah Nobel dari benua kangaroo itu. Beliau tidak pernah mengembara luar dari Australia, beliau adalah peminat tegar perlawanan lumba kuda, beliau fasih berbahasa Hungary, dan beliau sudah lama berhenti menonton wayang. Kita boleh bayangkan Murnane sebagai watak lelaki asing dalam dunia Samuel Beckett. Hidup sendirian di sebuah kamar dan dikelilingi oleh padang rumput yang terbentang luas. Tetapi berbeza dengan Beckett, Murnane masih percaya kepada bahasa. Beliau masih percaya kepada fiksyen. Hanya melalui jendela-jendela fiksyen, Murnane dapat melihat kehidupannya sendiri dengan lebih jelas. 

"Sejujurnya saya tak boleh nak bezakan antara fiksyen saya, fikiran saya tentang fiksyen saya, dan hidup saya sendiri," jelas Murnane dalam sebuah wawancara.      

Di atas watak dan narator ialah suara di belakang teks yang Murnane sebut sebagai personage. Suara ini tidak semestinya suara pengarang bernama Gerald Murnane. Malah bagi Murnane, ia tidak mungkin satu suara sahaja, kerana sebuah rumah fiksyen mempunyai sejuta jendela, sejuta kamar untuk sejuta jenis personage. Murnane mengambil metafora ini daripada Henry James, dan kembangkan ia menjadi sebuah novel bernama A Million Windows. Tetapi seperti dunia filem Nolan, dunia Murnane ialah dunia yang rasional dan logik. Setiap personage ialah fragmen daripada diri Murnane. Apabila kita sudah membaca sampai separuh novel Murnane, kita tertanya-tanya juga di manakah ruang kita sebagai pembaca dalam rumah fiksyennya? Di manakah kenalan-kenalan lain dalam hidup beliau? Di manakah tersembunyi rahsia hidup beliau yang paling gelap? Sepatutnya rumah dengan sejuta jendela dapat memberikan kita sejuta jawapan dan sejuta pengalaman. Mungkin kita perlu selam lebih dalam ke dasar mimpinya, dan mencari tiket-tiket perlawanan lumba kuda.   

Comments

Popular Posts