Babak Pembukaan 400 Blows


Pembukaan filem 400 Blows




Gabungan muzik dan imej. Hanya filem yang boleh memberikan kita kenikmatan ini. Dan dalam sesetengah filem (dan selalunya filem ini lebih muzikal daripada filem yang mengkategorikan diri sebagai muzikal), muzik itu ialah segala-galanya seolah-olah setiap imej yang ditatap oleh penonton adalah baris-baris dalam sebuah puisi. Apakah filem Woody Allen tanpa muzik? Apakah filem Herzog tanpa muzik? Apakah filem Kubrick 2001 - malah ia bukan filem pun; ia adalah opera atau puisi - tanpa muzik?

Saya pertama kali menonton filem Francois Truffaut 400 Blows beberapa tahun lalu. Dalam dunia filem, Truffaut ialah Marcel Proust saya; dan 400 Blows ialah Swan's Way Truffaut. Ini ialah siri pertama yang menceritakan kehidupan watak lelaki bernama Antoine Doinel yang semuanya akan dilakonkan oleh Jean-Pierre Leaud. Menonton 400 Blows buat saya ialah kembali ke zaman sekolah; ia adalah filem yang menjadikan saya seorang budak sekali lagi. Dan emosi itu sangat jelas dalam babak pembukaan kepada filem ini. Sebuah kereta meluncur di tengah kota Paris yang sepi seolah-olah tidak ada manusia yang menghuninya. Seolah-olah hanya dinding, pintu dan jendela bangunan yang mampu menceritakan kisah hidup kepada sepasang mata yang bagaikan terjaga daripada sebuah mimpi. Dan apakah yang dia cari? Eiffel Tower. Kota Paris ialah kota memori; dan Eiffel Tower ialah rumah api yang membawa minda kembali ke pelabuhan. Setiap kali saya dengar muzik di babak awal ini, saya rasa seperti filem ini sudah selesai; seolah-olah Truffaut telah menceritakan semua visinya dalam telinga saya. Yang tinggal untuk saya lakukan ialah rebah ke belakang dan pejamkan mata.
        

Comments

jhnrdzi said…
Saudara Azriq, mana saya boleh dapatkan filem ini ya? saya juga tengah mencarinya.
Wan Nor Azriq said…
Saya beli dvd masa di kedah dulu.Kalau susah nak cari, boleh tonton saja di YouTube secara percuma
jhnrdzi said…
Oh, dikedah pun ada dijual. Ok baik baik, terima kasih ya!

Popular Posts