Tiram Tolstoy & Resepi Kek Kelapa Emily Dickinson

Water, Lukisan Giuseppe Arcimboldo

Dalam fiksyen, makanan bukan sekadar makanan apabila ia dimasukkan ke dalam sebuah cerita. Antara babak kegemaran saya melibatkan makanan ialah hidangan tiram dalam novel Tolstoy Anna Karenina.

Stepan Arkadyevitch membawa sahabatnya Levin ke sebuah restoran selepas pertemuan mereka di taman meluncur ais. Kita dapat rasakan tempat ini begitu asing buat Levin kerana dia datang datang daripada kelas sosial yang berbeza dengan Stepan; dan di fikirannya pun hanya ada ingatan terhadap Kitty; malah makanan mewah tidak boleh menenangkan kegundahan hatinya. 

And the Tatar ran off with flying coattails, and in five minutes darted in with a dish of opened oysters on mother-of-pearl shells, and a bottle between his fingers.

Stepan Arkadyevitch crushed the starchy napkin, tucked it into his waistcoat, and settling his arms comfortably, started on the oysters.

  "Not bad", he said, stripping the oysters from the pearly shell with a silver fork, and swallowing them one after another. "Not bad", he repeated, turning his dewy, brilliant eyes from Levin to the Tatar.

 Levin ate the oysters indeed, though white bread and cheese would have pleased him better. But he was admiring Oblonsky. Even the Tatar, uncorking the bottle and pouring the sparkling wine into the delicate glasses, glanced at Stepan Arkadyevitch, and settled his white cravat with a perceptible smile of satisfaction.

 "You don't care much for oysters, do you?" said Stepan Arkadyevitch, emptying his wine glass, or you're worried about something. Eh?

 He wanted Levin to be in good spirits. But it was not that Levin was not in good spirits; he was ill at ease. With what he had in his soul, he felt sore and uncomfortable in the restaurant, in the midst of private rooms where men were dining with ladies, in all this fuss and bustle; the surroundings of bronzes, looking glasses, gas, and waiters--all of it was offensive to him. He was afraid of sullying what his soul was brimful of.

Kita tidak tahu adakah tiram merupakan makanan kegemaran Tolstoy sendiri. Kalau Tolstoy ialah penulis di abad kedua puluh satu, mungkin dia akan menulis artikel tentang restoran-restoran hebat di Moscow. Selalunya apabila penulis membincangkan subjek yang domestik - makanan, misalnya - dia akan memberikan satu sudut pandang yang puitis, serta intelligent, berbanding artikel yang ingin menyemakkan memori kita dengan fakta. Tetapi fakta bukan kebenaran; fakta bukan kehidupan. Fakta ialah hidangan yang polos dan rapuh buat santapan memori kita; sementara puisi sentiasa mengenyangkan.

Membuat pemerincian dalam fiksyen kini dilihat sebagai kaedah kuno dan klise: ia merupakan perisai terakhir buat penulisan realisme kerana tanpa objek-objek terperinci (buah tembikai dalam cerpen terkenal Chekhov, sebagai contoh), realisme akan hilang keistimewaannya untuk memikat kita. Serangan terhadap realisme sudah tentu datang daripada mereka yang menulis di luar tradisi ini. Dan saya terpaksa akui - lebih-lebih lagi sekarang - mereka ini hidup dan membesar dalam suasana budaya yang sama dengan saya. Generasi lapan puluhan; dan sebahagian besarnya generasi sembilan puluhan. Video. VCD. DVD. MTV. Star Wars. G. I. Joe. The Simpsons. Siri komik Mutiara Naga. Siri komik Penyiasat Remaja. Piala Dunia 1994,1998, 2002... Dan kemudian datang internet bersama mainan-mainan dosa di dalam kotak pandoranya (nak halang pun tak boleh lagi, kerana kita sama-sama berdosa membukanya). Fiksyen lebih bebas dan nakal di zaman kita berbanding seratus tahun dahulu. Sastera (atau reaslime) bukan lagi ibu tunggal yang melahirkan budak ini. 

Tetapi buat kebanyakan penulis, nak meninggalkan terus realisme bermaksud melakukan penderhakaan secara terbuka. Dan mereka yang menentang realisme - iaitu peneroka wilayah baru - selalunya turut menulis dalam tradisi itu secara tidak langsung. Malah ada yang bermula dengannya sebelum menyimpang ke jalan lain. Sebelum Zadie Smith menulis NW (bentuknya mungkin eksperimental, tapi ia masih realisme buat saya), dia ialah penulis kepada White Teeth. Dalam eseinya kepada New York Review of Books berjudul Two Paths for the Novel dia membahagikan novel kepada dua jalan iaitu realisme lirik dan avant-garde. Idea ini dibincangkan melalui dua buah novel iaitu Netherland karya Joseph O’Neill (di jalan realisme lirik) dan Remainder karya Tom McCarthy (di jalan avant-garde). Di satu sudut, kita boleh membaca esei Zadie sebagai provokasi terhadap posisi keramat realisme sebagai objek transcendental. Atau keabsahan realisme untuk menyampaikan kebenaran. Selain itu, dia memang mengangkat novel Tom McCarthy yang katanya hadir ke dalam sastera untuk "menggoncangkan novel daripada masalah semasanya." Mungkin maksud Zadie ialah novel sastera perlukan satu tamparan keras ke pipinya. Ya, kita tahu itu ialah kerja seniman avant-garde dari dulu. Kita selalu dengar yang avant-garde muncul untuk menghancurkan sesuatu bentuk atau tradisi konvensional; tetapi saya fikir ini adalah mustahil, kerana tidak ada bentuk yang pernah dihapuskan. Tradisi seni bukannya bangunan yang boleh diruntuhkan dan digantikan dengan yang baru. Setiap tradisi seni hadir untuk memberikan ruang nafas kepada jiwa manusia. Dan seni bukan kapitalisme; ia bukan tentang keuntungan dan monopoli. Seni membebaskan ruang; bukan menyempitkannya lagi. 

Jadi, untuk kembali kepada esei Zadie, provokasi terhadap realisme tidak lebih daripada usaha untuk menekan, dan mungkin memaksa, realisme untuk keluar daripada lubangnya. Ia ingin memaksa Gregor Samsa supaya bangun daripada katil dan menemui kita yang risau menunggunya di luar pintu. Tetapi saya juga melihat esei Zadie sebagai manifesto terhadap dirinya. Ini bukan kali pertama Zadie mempertahankan penulis dalam tradisi avant-garde. Ketika James Wood menyerang fiksyen-histeria dalam karya David Foster Wallace, Zadie Smith bangkit dan membina kubu pertahanan; untuk dirinya dan juga Wallace (tulisan Zadie adalah esei terbaik yang membincangkan seni penulisan David Foster Wallace). Zadie mungkin bermula dengan realisme, tetapi melalui tulisan esei, wawancara, dan senarai buku yang diminatinya (Nabokov, Amis, Touissaint), kita tahu Zadie ingin menyusur ke jalan yang lebih mencabar - jalan yang lebih eksperimental barangkali. Dan itu yang dia buat dalam NW. Adakah Zadie akan kembali kepada realisme?  Berdasarkan esei ini, kita mungkin boleh membacanya sebagai ucapan selamat tinggal Zadie kepada tradisi tersebut:

"It’s a credit to Netherland that it is so anxious. Most practitioners of lyrical Realism blithely continue on their merry road, with not a metaphysical care in the world, and few of them write as finely as Joseph O’Neill. I have written in this tradition myself, and cautiously hope for its survival, but if it’s to survive, lyrical Realists will have to push a little harder on their subject."

Mungkin anda terfikir sekarang, apakah kaitan semua ini dengan hidangan tiram Tolstoy? Tidak ada pun barangkali. Ada kemungkinan saya sengaja ingin bermain-main sentimental dengan novel Tolstoy yang sudah dua tahun saya tidak membacanya. Atau mungkin saya bersimpati dengan dillema Zadie Smith kerana dia sedang berada di persimpangan antara dua tradisi penulisan. Mungkin saya ingin menawarkan Tolstoy sebagai jalan keluar untuk Zadie. Atau mungkin untuk saya sendiri kerana saya tidak pernah menyusuri jalan tradisi tersebut. Tetapi ternyata ia sangat susah. Kerana di Malaysia, jalan ini sudah terlalu sesak dan banyak pagar dawai berduri di kiri dan kanannya. Lebih baik saya berdiri dan berjalan saja di mana-mana saja kaki saya suka tanpa perlu bersaing dengan jalan orang lain. 

Namun saya masih sayang kepada realisme. Kerana apabila kita laparkan kehidupan, ia menawarkan hidangan paling enak. Saya nak lupakan dulu tiram Tolstoy, kerana sebenarnya, saya tidak ada selera dengan makanan laut. Mungkin saya boleh cuba resipi kek kelapa yang dicadangkan oleh Emily Dickinson.

Resipi kek kelapa tulisan Dickinson sendiri

            
Kek Kelapa Emily Dickinson

1 cawan kelapa
2 cawan tepung
1 cawan gula
1/2 cawan mentega
1/2 cawan susu
2 biji telur
1/2 sudu soda
1 sudu krim tartar

Ini separuh daripada resipi itu -

Kalau kita cuba resipi ini, mungkin kita akan lebih memahami kepenyairan Emily Dickinson. Tetapi, baru saya ingat, kelapa pun bukan menu kegemaran saya. 

  

Comments

Naskah Percuma said…
rupa-rupa rahsia Emily ialah kek kelapa!

Popular Posts