Teksi


Pemandu teksi
Oleh Muhammad Haji Salleh



keretanya
sudah disalut wataknya
tiada terlalu bersih, dan tidak terlalu lurus.
ada gaya kampung pada plastik lengkung.

seperti kereta
dia hidup di jalanan
sering disunyikan oleh deru
lautan lalulintas
yang berderum panjang.
dia kecewa dengan negerinya,
tapi setiap kali dia bangun
masih ada lagi dalam kotak logamnya
hasrat untuk menghidupkan enjin,
kerana ada anak yang harus kejar ke sekolah
baju yang harus menyarung idilfitri
tong gas yang harus dipikul.

jadi disewakan harinya
kepada orang yang tidak dikenal
sehari lagi.


Pada zaman sekarang, teksi boleh dilihat di mana-mana sahaja; ia tidak terhad kepada bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Apabila pembaca membaca puisi Muhammad Haji Salleh di atas, mereka boleh terus kaitkan dengan pengalaman peribadi. Barangkali pembaca sasaran (implied reader) puisi ini ialah warga kota memandangkan baris empat dan lima bait dua menggambarkan suasana di kota besar. Namun, itu tidak bermakna pembaca umum (actual reader) tidak dapat menikmati karya ini kerana makna dan nilai sebuah puisi itu menjadi milik pembaca. Karya ini tidak akan menjadi sempurna tanpa penilaian pembaca.

Penyair memulakan puisinya dengan memperkenalkan kita kepada watak utama yang ingin diceritakan iaitu seorang pemandu teksi. Di Kuala Lumpur , kita akan bertemu dengan pemandu teksi yang datang daripada negeri berbeza-beza. Seperti penyair puisi ini, saya juga pernah naik teksi yang dipandu oleh seorang anak desa. Dalam bait pertama digambarkan kepada kita bahawa teksi itu sendiri sudah menjadi seperti kanvas peribadi si pemandu sehingga penyair menyebut "ada gaya kampung pada kerusi lengkung." Mungkin akan ada pembaca yang tidak bersetuju dengan tafsiran penyair kerana bukan semua teksi yang nampak macam kampung itu dipandu oleh pemandu yang berasal dari kampung. Tetapi sebagai pembaca sastera, kita haruslah terlebih dahulu menyimpankan kesangsian kita dan terus membaca hingga ke bait terahkir. Puisi itu memang adakalanya sukar digarap kerana sang penyair telah menghimpunkan sebuah pengalaman kehidupan yang besar menjadi secebis pengalaman yang halus dan indah. Maka, jika pembaca umum ingin mengangkat diri mereka menjadi pembaca unggul, maka mereka haruslah belajar menghalusi makna sebuah sajak dengan membacanya berulang-ulang kali.

Dalam bait kedua, penyair mula mengembangkan watak utamanya dengan menceritakan rencah kehidupan si pemandu yang dikiaskan dengan sebuah kereta. Manusia itu secara fitrahnya lebih dekat dengan alam kerana kedua-duanya adalah hasil ciptaan Tuhan, dan kesempurnaan kewujudan mereka saling bergantung antara satu sama lain. Namun, apabila manusia dibandingkan dengan sebuah objek tidak bernyawa, maka secara tidak langsung kita boleh mengatakan bahawa ada sesuatu yang tidak sempurna dalam kehidupan manusia itu. "... dia hidup di jalanan/sering disunyikan oleh deru/ lautan lalulintas..." Tiga baris ini memberitahu kita bahawa seorang pemandu teksi sudah terpisah dengan alam; dia sudah menjadi penghuni jalanan yang bertilamkan bunyi hon dan pekikkan warga kota. Kehidupan seperti ini hanya selayaknya dihuni oleh kereta kerana benda konkrit dicipta untuk tinggal dalam sebuah kota konkrit. Apabila manusia cuba tinggal di dalamnya, maka pasti sahaja manusia akan rasa terasing.

Pada baris-baris seterusnya diceritakan oleh penyair bahawa pemandu teksi "kecewa dengan negerinya" tetapi diteruskan juga hidup kerana adanya rasa tanggungjawab terhadap keluarga. Apakah yang dikecewakan oleh pemandu teksi ini? Seperti yang disebut oleh penyair dalam bait pertama, pemandu ini mungkin datang dari desa. Dia datang ke kota ini dengan hanya berdompetkan harapan bahawa dia akan dapat membeli sebuah kehidupan yang bahagia. Dan seperti kebanyakkan orang yang tinggal di Kuala Lumpur, dia akhirnya kecewa kerana hanya boleh hidup cukup-cukup makan. Nak pulang ke kampung? Barangkali tidak kerana dia akan hanya membawa kekecewaan dalam beg barangnya berbanding kemewahan yang mungkin dinanti-nantikan oleh orang kampung. Jadi dia nak salahkan siapa ke atas kesusahan hidupnya? Pastilah kehidupan itu sendiri. Bukan dirinya yang terus-menerus dibiarkan menjadi orang biasa dan tidak berusaha menjadi manusia yang lebih cemerlang.

Muhammad Haji Salleh merumuskan dalam bait ketiga bahawa pemandu teksi itu meneruskan kehidupannya yang tidak seberapa dengan membawa penumpang-penumpang yang tidak dikenali. Dalam kata mudah, pemandu teksi itu menyandarkan kehidupannya pada orang lain. Penyair sememangnya bersimpati dengan kesusahan hidup pemandu teksi ini, tetapi penyair tidak memberikan kepada pembaca jalan keluar. Penyair hanya merelakan pemandu teksi itu meneruskan kehidupan yang sebegitu seolah-olah penyair adalah penonton televisyen kehidupan yang hanya boleh mengusap air mata, dan apabila sudah bosan ditukarnya ke rancangan yang lebih menarik. Kita sebagai pembaca memang bersimpati dengan kehidupan pemandu teksi yang digambarkan oleh penyair, tetapi sebagai manusia kita tidak ingin terus hidup sengsara. Kita tidak ingin terus menjadi penghuni jalanan atau makhluk sosial yang terus-menerus menyandarkan kehidupan pada orang-orang yang tidak dikenali apatah lagi mempedulikan kehidupan kita. Hakikatnya, kita inginkan kehidupan yang lebih baik, dan kita ingin jadi lebih manusia yang lebih sempurna. Orang yang hanya menggantungkan tali kehidupannya pada dunia, belum menjadi inidividu yang sejati, kerana keindividuan sejati bermakna kita membina kehidupan dengan menemui Tuhan dalam diri kita sendiri.



Comments

Anonymous said…
oh, beautiful poem, even apt with the very good analysis. terima kasih wan, saya sangat menyukai puisi ini kerana saudara meng'highlight'nya.
Wan Nor Azriq said…
terima kasih fadz kerana selalu membaca artikel di blog saya :)

Popular Posts